“60 tahun yang lalu, Singapura menjadi negara merdeka.
Pada mulanya, kita menghadapi banyak kesukaran seperti ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat kita.
Tetapi, kita berjaya mengatasi cabaran-cabaran ini dan membina sebuah masyarakat yang kukuh dan bersatu padu.
Masyarakat Melayu/Islam memainkan peranan penting dalam perjalanan ini.
Ketika Singapura berpisah daripada Malaysia, kebimbangan rakyat sangat ketara.
Ramai dalam kalangan anda ada keluarga di Malaysia.
Namun, anda memilih untuk jadi orang Singapura!
Kerana anda percaya kepada prinsip sebuah masyarakat berbilang kaum yang adil dan saksama.
Kita telah bekerjasama dan berganding bahu demi membina Singapura yang kita nikmati hari ini.
Atas sumbangan dan sokongan padu anda, terima kasih!
Inilah semangat kita! Tidak kira bangsa – Melayu, Cina, India ataupun Serani – kita semua sama.
Kita semua rakyat Singapura!
Tetapi sedang kita imbas masa lalu, kita juga mesti pandang ke hadapan.
Saya dan pasukan saya komited untuk bekerjasama dengan anda untuk mendengar, belajar, dan membina masa hadapan yang kita kongsi bersama.
Itulah sebabnya saya giat mendekati masyarakat Melayu/Islam kita.
Pada awal tahun ini, saya bertemu sekumpulan usahawan Melayu/Islam.
Kami gembira berbuka puasa bersama!
Mereka daripada pelbagai bidang niaga termasuk teknologi, seni dan fesyen.
Mereka berjaya bukan sahaja di Singapura, malah di peringkat serantau.
Misalnya, Shaffiq Olia! Shaffiq ialah pengasas bersama syarikat ‘Onestop’.
Syarikatnya membekalkan perabot tempahan khas kepada resort-resort mewah seperti di Maldives dan Fiji.
Ibu pejabatnya di Singapura manakala kilangnya di China dan Indonesia.
Shaffiq dan individu lain sepertinya mengibarkan bendera Singapura di luar negara sekali gus mengharumkan nama negara kita.
Syabas!
Saya juga bertemu sekumpulan wanita Melayu/Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pendidik, pekerja sosial, suri rumah dan asatizah.
Kami berbincang secara mendalam tentang penjagaan keluarga, integrasi sosial dan cara mengukuhkan peranan wanita dalam masyarakat.
Mereka berkongsi pandangan secara jujur dan ikhlas mengenai pelbagai isu penting yang memerlukan kerjasama kita semua.
Saya bangga dengan usaha mereka untuk memperkasa wanita Melayu/Islam Singapura.
Tahniah!
Saya juga melawat Madrasah Aljunied.
Madrasah ini punya sejarah yang panjang dan kaya.
Ramai pemimpin yang dihormati pernah menuntut di sana termasuk Mufti kita sekarang, Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Semasa lawatan itu, saya berpeluang kenali program-program madrasah dengan lebih dekat dan berinteraksi dengan para pelajar.
Mereka berkongsi impian dan hasrat untuk menyumbang kepada masyarakat.
Saya puji kerja keras dan usaha mereka.
Andalah pelapis asatizah Singapura masa hadapan!
Teruslah mengejar cita-cita murni anda!
Dalam sesi-sesi ini, saya mendengar pelbagai keprihatinan dan pandangan.
Ada yang khusus melibatkan masyarakat Melayu/Islam.
Tetapi banyak juga isu yang turut disuarakan oleh rakyat Singapura yang lain seperti isu kos sara hidup dan tekanan menjaga keluarga.
Saya dan pasukan saya akan terus bekerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam untuk menangani keprihatinan anda dan membina masa hadapan yang lebih cerah untuk semua.
Saya telah melantik Profesor Faishal selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Sejak dilantik, beliau aktif turun padang mendekati keluarga, pemimpin masjid dan tokoh masyarakat.
Beliau disokong barisan Anggota Parlimen Melayu/Islam generasi baru.
Saya bekerja rapat dengan mereka demi menyokong keperluan dan aspirasi anda semua.
Ini termasuk pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan perkara penting lain dalam hidup. Saya akan kongsi lebih lanjut dalam ucapan bahasa Inggeris nanti.
Kami juga akan melaksanakan pelbagai inisiatif baru bersama masyarakat.
Kita ingin melestarikan dan memupuk warisan Melayu.
Misalnya, Taman Warisan Melayu akan dibuka semula pada tahun depan.
Ia akan ada galeri dan program baru untuk pamerkan budaya Melayu Singapura yang kaya dan penuh semangat.
Selain membuka semula pusat tersebut, kami juga akan menyegarkan kawasan sekitar Kampong Gelam.
Tahun lalu, saya umumkan bahawa kami akan menubuhkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Sejak itu, Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi tempatan dan luar negara untuk membangunkan kurikulum yang baik.
Malam ini, saya gembira untuk mengumumkan bahawa SCIS akan mempunyai kampus tersendiri.
Ia di sebelah kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) di Rochor. SCIS dan SUSS akan mempunyai bangunan berbeza yang mencerminkan matlamat serta identiti unik masing-masing.
Pelajar SCIS boleh mengambil kursus sains sosial SUSS sebagai sebahagian daripada pengajian mereka.
Kedua-dua institusi juga dapat berkongsi kemudahan.
Melalui pengalaman ini, para pelajar SCIS dan SUSS boleh berinteraksi dengan baik dan lebih mendalam.
Ini juga akan memperkaya kehidupan kampus mereka.
Masih banyak lagi yang boleh kita lakukan bersama.
Ada kalanya, kita mungkin berhadapan dengan isu-isu sukar.
Tetapi saya mahu beri anda jaminan.
Saya dan pasukan saya akan sentiasa mendampingi anda dengan setulus hati, mendengar dengan penuh hormat dan bekerjasama dengan anda untuk mencari huraian terbaik.
Bak kata pepatah Melayu, “muafakat membawa berkat”.
Kami ingin membantu anda berjaya sebagai sebuah Masyarakat Gemilang yang kukuh, bersatu padu dan berwawasan.
Dengan kepercayaan dan kerjasama anda, saya yakin kita boleh terus maju bersama sebagai satu rakyat.
Bersama-sama, mari kita memacu Singapura ke masa hadapan yang lebih cerah untuk kita dan anak-anak kita!
Majulah Singapura!”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg