Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura upaya atasi cabaran baru meski berdepan masa sukar

Gesa rakyat bersatu, lihat jangka panjang, sedia rebut peluang
Aug 8, 2025 | 7:00 PM
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan dari Padang.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan dari Padang. - Foto MDDI

Singapura berupaya mengatasi cabaran-cabaran baru yang akan datang seperti mana ia telah lakukan selama 60 tahun yang lalu, meskipun negara berdepan dengan masa-masa yang sukar.

Ini akan dilaksanakan melalui “cara kita tersendiri” di mana rakyat akan membentuk masa depan yang diimpikan bersama sebagai satu negara, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

“Dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini, rakyat Singapura membuat pilihan yang jelas dan nyata. Anda pilih pasukan terbaik yang anda percaya boleh bawa Singapura kemudi cabaran ini.

“Kebijaksanaan dan kepercayaan anda memberi pemerintah jaminan politik untuk bertindak tegas, dan memimpin dengan penuh keyakinan. Itulah yang sedang kami lakukan,” kata PM Wong.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan pada 8 Ogos – sehari sebelum Singapura sambut Hari Kebangsaan yang ke-60 atau SG60 pada 9 Ogos.

Dalam video yang dirakamkan di Padang, PM Wong berkata kestabilan sejagat yang membolehkan Singapura berkembang maju selama puluhan tahun sedang berubah.

Walaupun ekonomi Singapura berdaya tahan, gambaran masa hadapan kekal tidak menentu dan pemerintah jangka ekonomi dunia akan terus bergolak untuk tempoh yang lama.

Beliau berkata Singapura perlu memandang ke hadapan, melihat jangka panjang dan bersiap sedia merebut peluang daripada gelombang perubahan selain tangani cabaran segera.

“Lantaran itu, pemerintah kini menyegarkan semula strategi ekonomi untuk mengukuhkan daya saing kita, memperkukuh keupayaan dan menjamin masa hadapan kita dalam dunia yang jauh berbeza.

“Untuk kekal di hadapan, Singapura mesti pastikan kita terus kekal luar biasa, dari segi perpaduan, iltizam dan kelakonan kita. Kita mesti tangkas bertindak, mudah sesuaikan diri dan bijak berinovasi,” kata PM Wong.

Beliau memberi contoh langkah menubuhkan Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.

PM Wong berkata pasukan petugas itu kini sedang bekerja keras melaksanakan langkah-langkah yang disasarkan untuk menyokong perniagaan dan membantu rakyat Singapura kekal bekerja.

Selain itu, jawatankuasa itu juga akan terus menilai risiko, mengenal pasti peluang-peluang baru dan mempersiapkan perniagaan serta pekerja untuk menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang, tambahnya.

Akur bahawa rentak perubahan akan menjadi pantas dan tidak selalu selesa bagi sesetengah masyarakat, PM Wong memberi jaminan bahawa pemerintah “tidak akan biarkan sesiapa pun menghadapi cabaran-cabaran ini sendirian”.

PM Wong berkata: “Pemerintah ini akan bersama anda, seperti yang telah lakukan selama 60 tahun.

“Kami akan sediakan lebih banyak peluang bagi meningkatkan dan memperoleh kemahiran, memperkukuh jaringan keselamatan sosial, serta membantu setiap rakyat Singapura yang menghadapi kegenjotan untuk bangkit semula dan maju ke hadapan.

“Kami akan memberi lebih banyak bantuan kepada para pekerja dan keluarga bergaji rendah untuk memperbaiki kehidupan mereka. Kami juga akan mewujudkan lebih banyak laluan kejayaan untuk setiap rakyat Singapura, tanpa mengira titik permulaan hidup anda,” kata PM Wong.

Beliau menambah pemerintah akan bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan masyarakat, perniagaan, kesatuan sekerja dan individu yang bersemangat untuk mencari huraian, melaksanakan idea, dan memberikan kesan pada peringkat akar umbi.

PM Wong berkata sebagai sebuah negara kecil, Singapura tidak mampu berpecah-belah dan menggesa rakyat Singapura untuk terus kekal bersatu sedang rentak perubahan menjadi semakin pantas dan dunia menjadi semakin tidak menentu.

“Dalam masa 60 tahun, kita telah berkembang maju, daripada negara dunia ketiga menjadi negara dunia pertama. Bukan disebabkan tuah, tetapi disebabkan kita bertekad, berdaya tahan dan bersatu padu.

“Kini, kita berada di ambang lembaran baru. Mari kita terus menimba kekuatan daripada masa lalu, dan terus maju dengan penuh keyakinan,” kata PM Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg