Menjelang Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 yang bakal kembali ke Stadium Negara selepas sedekad, perhatian bukan sahaja tertumpu kepada pelbagai pembaharuan yang bakal diperkenalkan.

Bahkan, ia merupakan peluang mengimbau sejarah panjang stadium ikonik tersebut yang pernah menjadi pentas pelbagai detik bersejarah sambutan Hari Kebangsaan negara.

Sejak NDP pertama diadakan di Stadium Negara lama pada 1976, lokasi itu telah menyaksikan pelbagai pencapaian dan detik yang terus terpahat dalam ingatan rakyat Singapura.

Berita Harian (BH) mengimbau detik bersejarah yang pernah mencorakkan sambutan Hari Kebangsaan di medan ikonik itu.

1976

Sekitar 60,000 penonton memenuhi kapasiti Stadium Negara semasa NDP 1976. Stadium tersebut dibina pada 1973 dengan kos $50 juta.
Sekitar 60,000 penonton memenuhi kapasiti Stadium Negara semasa NDP 1976. Stadium tersebut dibina pada 1973 dengan kos $50 juta. - Foto fail

Buat julung-julung kalinya, NDP diadakan di Stadium Negara pada 9 Ogos 1976, menandakan bermulanya satu era baharu dalam sambutan Hari Kebangsaan Singapura.

Sekitar 60,000 rakyat Singapura memenuhi Stadium Negara bagi menyaksikan NDP pertama yang diadakan di lokasi tersebut.

Selain berbaris di dalam stadium, kontinjen turut berarak sejauh kira-kira enam kilometer menyusuri jalan-jalan yang dipenuhi ribuan penonton.

1980

Presiden Singapura ke-2, Dr Benjamin Sheares (memakai sut hitam), memeriksa Kawalan Kehormatan semasa NDP yang diadakan di Stadium Negara pada 9 Ogos 1980. Turut kelihatan di belakang beliau ialah Ketua Staf Am Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) ketika itu, Mejar-Jeneral Winston Choo.
Presiden Singapura ke-2, Dr Benjamin Sheares (memakai sut hitam), memeriksa Kawalan Kehormatan semasa NDP yang diadakan di Stadium Negara pada 9 Ogos 1980. Turut kelihatan di belakang beliau ialah Ketua Staf Am Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) ketika itu, Mejar-Jeneral Winston Choo. - Foto fail

NDP 1980 mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya tembakan perayaan, atau feu de joie, diperkenalkan dalam Perbarisan dan Upacara (P&C) kontinjen Kawalan Kehormatan (GOH).

Dalam tradisi tersebut, anggota GOH melepaskan tembakan secara berurutan, menghasilkan bunyi dentuman yang bergema di Stadium Negara.

Sejak diperkenalkan, feu de joie menjadi antara elemen penting dalam segmen P&C NDP sehingga hari ini.

1988

Kira-kira 250,000 pengunjung membanjiri Orchard Road sempena Swing Singapore bagi sambutan Hari Kebangsaan 1988.
Kira-kira 250,000 pengunjung membanjiri Orchard Road sempena Swing Singapore bagi sambutan Hari Kebangsaan 1988. - Foto fail

Sempena sambutan Hari Kebangsaan 1988, semangat perayaan diperluaskan ke luar Stadium Negara menerusi Swing Singapore, sebuah pesta jalanan di Orchard Road.

Skala pesta jalanan itu begitu besar sehingga penganjur menggunakan sistem bunyi yang cukup untuk 50 disko, pencahayaan yang mampu menerangi kira-kira 400 flat HDB, lebih 13 kilometer kabel serta sekitar 1.2 kilometer kain hiasan.

Acara yang menghimpunkan sekitar 250,000 pengunjung itu muncul sebagai pesta jalanan terbesar di Singapura ketika itu, dan kemudian menjadi antara tradisi Hari Kebangsaan paling ikonik.

1989

Salah seorang daripada 24 anggota pasukan payung terjun dari Sekolah Latihan Komando mendarat semasa acara terjun bebas NDP 1989 yang diadakan di Stadium Negara.
Salah seorang daripada 24 anggota pasukan payung terjun dari Sekolah Latihan Komando mendarat semasa acara terjun bebas NDP 1989 yang diadakan di Stadium Negara. - Foto fail

Antara titik penting dalam sejarah persembahan udara Hari Kebangsaan adalah apabila Pasukan Payung Terjun Angkatan Bersenjata Singapura (SAFPT) membuat penampilan sulung sebagai pasukan payung terjun rasmi bagi NDP 1989.

Sebelum itu, pertunjukan payung terjun pernah diadakan secara berkala oleh anggota Formasi Komando SAF sejak 1970-an.

Pasukan tersebut kemudiannya dikenali sebagai Red Lions, nama yang mula digunakan secara rasmi pada NDP 1996.

Sejak itu, aksi pasukan payung terjun Red Lions menjadi antara acara kegemaran ramai dan sentiasa dinanti-nantikan setiap kali tiba sambutan Hari Kebangsaan.

1991

Lebih 70,000 beg cenderahati diagihkan kepada peserta dan penonton yang pertama kali diperkenalkan semasa NDP 1991.
Lebih 70,000 beg cenderahati diagihkan kepada peserta dan penonton yang pertama kali diperkenalkan semasa NDP 1991. - Foto fail

Beg cenderahati NDP diperkenalkan buat kali pertama pada 1991.

Ketika itu, ia hanyalah beg cenderahati ringkas yang diisi dengan barang keperluan asas seperti minuman dan snek.

Ia juga menandakan penampilan pertama Menteri Kanan Emeritus (ESM) Encik Goh Chok Tong di NDP selaku Perdana Menteri ketika itu, yang disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.

1994

Tembakan Meriam Presiden dilepaskan dari dalam Stadium Negara semasa NDP 1994. Edisi tersebut mencipta sejarah apabila buat julung-julung kalinya tembakan penghormatan itu diadakan dari dalam stadium.
Tembakan Meriam Presiden dilepaskan dari dalam Stadium Negara semasa NDP 1994. Edisi tersebut mencipta sejarah apabila buat julung-julung kalinya tembakan penghormatan itu diadakan dari dalam stadium. - Foto fail

Satu detik bersejarah sekali lagi diukir apabila Tembakan Meriam Presiden (PGS) dilepaskan dari dalam Stadium Negara buat kali pertama.

Di samping itu, NDP 1994 dimulakan pada waktu malam buat julung-julung kalinya, dengan acara tersebut bermula pada 7.15 malam bagi membolehkan pelbagai persembahan cahaya dan visual disaksikan penonton.

NDP 1994 turut menyaksikan persembahan besar-besaran yang pertama dilakukan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), termasuk pegawai yang membuat aksi turun dari menara lampu stadium menggunakan kabel.

1997

Menempa sejarah menjadi jeneral Melayu/Islam pertama dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 1 Julai 2009, mantan Brigedier-Jeneral Ishak Ismail pernah menjadi Komander Perbarisan bagi NDP 1997 di Stadium Negara. Ketika itu, beliau berpangkat Leftenan-Kolonel (LTC) dan berusia 34 tahun.
Menempa sejarah menjadi jeneral Melayu/Islam pertama dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 1 Julai 2009, mantan Brigedier-Jeneral Ishak Ismail pernah menjadi Komander Perbarisan bagi NDP 1997 di Stadium Negara. Ketika itu, beliau berpangkat Leftenan-Kolonel (LTC) dan berusia 34 tahun. - Foto fail

NDP 1997 menyaksikan Leftenan-Kolonel (LTC) Ishak Ismail menggalas tanggungjawab sebagai Komander Perbarisan pada usia 34 tahun.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat ke Kolonel (Col) pada 2002 dan menempa sejarah sebagai Brigedier-Jeneral Melayu/Islam pertama dalam SAF pada 1 Julai 2009.

Mantan brigedier-jeneral itu bersara daripada SAF pada 2011.

Beliau merupakan antara barisan Komander Perbarisan NDP Melayu/Islam, dengan yang lain termasuk LTC Adam Haji Hamzah (2000), LTC Mohd Fahmi Aliman (2011), dan LTC Mohamed Firdaus Ghazali bagi NDP 2025.

Selain itu, NDP 1997 turut mencatat detik bersejarah apabila pasukan payung terjun Red Lions buat kali pertamanya mendarat di Stadium Negara sambil membawa bendera Asean dan negara-negara anggotanya.

Ia bersempena ulang tahun ke-30 penubuhan Asean, yang diasaskan pada 8 Ogos 1967 oleh Singapura, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.

1998

Penyanyi Kit Chan menyampaikan lagu ciptaan Dick Lee berjudul Home buat julung-julung kalinya semasa NDP 1998 di Stadium Negara. Lagu tersebut kemudian menjadi antara lagu Hari Kebangsaan malar segar dan paling digemari rakyat Singapura hingga kini.
Penyanyi Kit Chan menyampaikan lagu ciptaan Dick Lee berjudul Home buat julung-julung kalinya semasa NDP 1998 di Stadium Negara. Lagu tersebut kemudian menjadi antara lagu Hari Kebangsaan malar segar dan paling digemari rakyat Singapura hingga kini. - Foto fail

Ketika Singapura meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-33 di Stadium Negara pada 1998, lagu Home ciptaan Dick Lee diperkenalkan kepada orang ramai menerusi persembahan penyanyi setempat, Kit Chan.

Lagu tersebut, yang mengangkat tema rasa cinta kepada tanah air, mendapat tempat di hati rakyat Singapura dan sehingga hari ini, kekal sebagai antara lagu Hari Kebangsaan paling ikonik.

Bahkan, popularitinya terus bertahan merentas generasi apabila Home dirakam semula pada 2011 sempena Hari Pertahanan Mutlak, dengan menampilkan hampir 40 artis tempatan.

Ini sebelum Kit Chan sekali lagi mempersembahkannya dalam versi baharu pada 2023 bagi meraikan ulang tahun ke-25 lagu tersebut.

2002

Ribuan penonton di Stadium Negara mencuba buat kali pertama AirBaru atau dikenali sebagai NEWater, semasa NDP 2002. Edisi itu menandakan pelancaran rasmi air kitaran semula kepada orang ramai.
Ribuan penonton di Stadium Negara mencuba buat kali pertama AirBaru atau dikenali sebagai NEWater, semasa NDP 2002. Edisi itu menandakan pelancaran rasmi air kitaran semula kepada orang ramai. - Foto fail

Buat julung-julung kalinya, penonton berpeluang mencuba minuman air kitaran semula, AirBaru atau NEWater, yang diagihkan bersama beg cenderahati NDP.

Lebih 60,000 penonton yang memenuhi Stadium Negara membasahkan tekak dengan AirBaru.

Detik itu sekali gus menandakan pelancaran AirBaru kepada masyarakat pada NDP 2002, sekali gus menjadi satu detik bersejarah dalam perjalanan Singapura mencapai daya tahan bekalan air.

2003

Salah seorang daripada petugas kesihatan di barisan hadapan yang membantu dalam memerangi wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) ialah Cik Joyce Er, jururawat yang turut menyertai NDP 2003.
Salah seorang daripada petugas kesihatan di barisan hadapan yang membantu dalam memerangi wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) ialah Cik Joyce Er, jururawat yang turut menyertai NDP 2003. - Foto fail

Sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19, rakyat Singapura pernah menghadapi satu lagi wabak, iaitu wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) pada 2003.

Penularan wabak Sars merangkumi jumlah keseluruhan sebanyak 238 kes dan 33 kematian, dengan 40.8 peratus daripada kes melibatkan petugas kesihatan.

Bagi membendung penularan wabak itu, pelbagai langkah ketat telah dilaksanakan seperti kuarantin di rumah, penutupan sekolah dan pemeriksaan menyeluruh terhadap pelancong yang masuk ke Singapura.

Langkah kawalan jangkitan yang dipertingkatkan seperti penggunaan alat pelindung diri untuk kakitangan kesihatan dan pemeriksaan suhu harian turut dilaksanakan bagi mengurangkan penularan selanjutnya di hospital.

NDP 2003 memberi penghormatan kepada sekitar 240 petugas kesihatan yang berada di barisan hadapan ketika Singapura berdepan Sars.

Mereka tampil di pentas sambil memegang kertas berbentuk hati yang bercahaya sebagai simbol keberanian dan pengorbanan.

2006

Pertunjukan bunga api menerangi ruang udara Stadium Negara sebagai penutup tirai NDP 2006, edisi terakhir yang diadakan di stadium ikonik itu. Bermula tahun berikutnya, sambutan Hari Kebangsaan dipindahkan ke platform terapung The Float @ Marina Bay sementara Stadium Negara baharu dibina.
Pertunjukan bunga api menerangi ruang udara Stadium Negara sebagai penutup tirai NDP 2006, edisi terakhir yang diadakan di stadium ikonik itu. Bermula tahun berikutnya, sambutan Hari Kebangsaan dipindahkan ke platform terapung The Float @ Marina Bay sementara Stadium Negara baharu dibina. - Foto fail

Selepas menjadi tuan rumah kepada 18 sambutan Hari Kebangsaan sejak 1976, NDP 2006 menjadi edisi terakhir di Stadium Negara lama, sebelum ia ditutup bagi memberi laluan kepada pembangunan Hab Sukan Singapura.

Sebagai penutup era stadium tersebut, ia menampilkan pertunjukan bunga api pada permulaan, pertengahan dan penghujung sambutan – kali pertama format sedemikian diperkenalkan.

Sambutan itu turut memperkenalkan format pertunjukan bunga api pada tiga segmen serta penggunaan senapang SAR-21 oleh kontinjen Kawalan Kehormatan (GOH) buat kali pertama.

2016

Penonton menggerakkan 16 bendera gergasi Singapura semasa menyanyikan lagu kebangsaan pada NDP 2016 di Stadium Negara. Segmen ‘Negara Kita, Bendera Kita’ diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan lebih aktif daripada penonton.
Penonton menggerakkan 16 bendera gergasi Singapura semasa menyanyikan lagu kebangsaan pada NDP 2016 di Stadium Negara. Segmen ‘Negara Kita, Bendera Kita’ diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan lebih aktif daripada penonton. - Foto fail

Hampir sedekad selepas Stadium Negara lama ditutup, NDP kembali ke Kallang dengan sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Stadium Negara baharu pada 2016.

Diadakan setahun selepas sambutan Jubli Emas Singapura (SG50), edisi tersebut membawa tema ‘Membina Singapura pada Masa Depan’.

Sambutan itu bukan sahaja menghidupkan semula tradisi NDP di Kallang, malah memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih terangkum dan interaktif.

Ketika segmen ‘Negara kita, Bendera Kita’, penonton digalakkan bersama-sama menggerakkan bendera dari bahagian bawah galeri penonton hingga ke atas, sambil menyanyikan lagu kebangsaan.

SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.