Selama 26 tahun, Masjid Alkaff Kampung Melayu bukan sekadar tempat bagi Encik Salil Mohamed Ali menunaikan solat.

Masjid ini menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

Tempat beliau membina persahabatan, berbakti kepada masyarakat dan mencipta kenangan bersama keluarga.

Kini berusia 68 tahun dan telah bersara, Encik Salil masih setia berjemaah di masjid yang terletak di Bedok Reservoir ini.

Beliau memilih menetap berhampiran masjid, sekali gus memudahkan anak-anak menghadiri kelas madrasah pada hujung minggu ketika mereka masih bersekolah. 

“Masjid Alkaff Kampung Melayu sangat bermakna kepada keluarga saya kerana banyak kenangan indah kami tercipta di sini,” kata bapa dua anak ini. 

Antara kenangan yang masih segar dalam ingatan Encik Salil ialah suasana ibadah korban pada Hari Raya Haji, solat tarawih bersama keluarga serta penglibatannya sebagai sukarelawan sepanjang Ramadan.

Pada suatu ketika dahulu, ketika kegiatan memasak bubur masih dijalankan di kawasan masjid, beliau turut membantu membungkus dan mengagihkannya kepada jemaah. 

Beliau juga pernah giat membantu dalam program maulid, tahlil, korban, serta Nisfu Syaaban.

Kini, walaupun keadaan kesihatan tidak lagi mengizinkan beliau giat seperti dahulu, kenangan berbakti bersama rakan-rakan masjid tetap menjadi sesuatu yang amat dihargainya. 

Encik Salil berkata: “Kenangan bersama rakan masjid ketika melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat akan sentiasa saya hargai.”

Namun, perubahan usia turut membawa cabaran. Tangga berhampiran tempat wuduk membuatkan beliau lebih berhati-hati kerana bimbang terjatuh, manakala tingkat dua hingga empat sukar diakses kerana beliau tidak lagi mampu menaiki tangga dengan mudah.

Pada waktu solat Jumaat dan solat Hari Raya, kesesakan di tingkat bawah juga menjadi cabaran. “Untuk solat Hari Raya, saya biasanya kekal di masjid selepas subuh supaya dapat tempat di tingkat bawah,” jelasnya. 

Justeru, beliau menyambut baik usaha menaik taraf masjid dengan kemudahan seperti lif, tanjakan dan tandas mesra warga senja. Kemudahan ini bukan sahaja memudahkan warga emas, malah memberi akses yang lebih baik kepada jemaah berkerusi roda.

Menurut Eksekutif Media Masjid di Alkaff Kampung Melayu, Encik Mahy Umar, kemudahan yang lebih baik diharap dapat memastikan masjid mudah diakses oleh semua golongan dan memberi keselesaan kepada jemaah.

“Harapan kami ialah Masjid Alkaff Kampung Melayu terus dekat di hati masyarakat dan menjadi wadah yang merentasi generasi,” kata Encik Mahy sambil mengajak orang ramai bersama menyokong usaha masjid. 

Bagi Encik Salil, masjid yang lebih selesa juga akan menggalakkan jemaah meluangkan lebih banyak masa mengikuti kuliah, kelas dan kegiatan bersama. Beliau berharap program yang melibatkan pelbagai peringkat usia terus diadakan agar generasi lama, golongan muda dan keluarga dapat berinteraksi serta mengeratkan silaturahim.

Beliau turut mengajak masyarakat Islam setempat supaya bersama-sama menyokong usaha naik taraf masjid tersebut. 

“Tiada sumbangan yang terlalu kecil. Yang penting ialah keikhlasan dan niat. Marilah kita bersama-sama menjayakan projek ini demi manfaat masyarakat hari ini dan generasi akan datang,” tambahnya. 

Bagi Encik Salil, Masjid Alkaff Kampung Melayu bukan sekadar tempat beribadah, malah merupakan sebahagian daripada perjalanan hidupnya. Di sinilah persahabatan terjalin, masyarakat disatukan dan kenangan keluarga tercipta, sebuah masjid yang terus dekat di hati dan merentasi generasi. 

SEKILAS

CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:

1. Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Kirim cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’, tulis nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan ke Masjid Alkaff Kampung Melayu di alamat 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

5. Pergi ke pejabat masjid, Isnin hingga Khamis, antara 9 pagi dengan 5.30 petang, atau pada Jumaat, dari 9 pagi hingga 5 petang.

 * Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm; Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu; dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti