Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelia Alkaff semai harmoni, kongsi ilmu merentas agama
Belia Alkaff semai harmoni, kongsi ilmu merentas agama
Belia Alkaff semai harmoni, kongsi ilmu merentas agama
Berkongsi tentang Islam sambil memahami agama dan budaya masyarakat lain menjadi pengalaman paling bermakna buat dua belia Alkaff Youth.
Cik Nur Insyirah Muhammad Raizal, 19 tahun; dan Cik Nur Seri Aliyah Anwar, 21 tahun, mendapat kesempatan itu ketika bertugas sebagai sukarelawan di reruai Masjid Alkaff Kampung Melayu (MAKM).
“Kami bukan sekadar berkongsi tentang Islam, malah belajar memahami agama dan budaya orang lain,” kata mereka ketika mengimbau pengalaman menyertai program tersebut.
Mereka menyertai reruai dalam program, Jalan Harmoni 2026 di Bedok Reservoir, serta sambutan Hari Keharmonian Kaum Eunos di Kelab Masyarakat Eunos pada 25 Julai sempena Bulan Keharmonian Kaum dan Agama.
Masing-masing memainkan peranan untuk berkongsi pelbagai pengetahuan Islam kepada orang ramai, khususnya dalam kalangan bukan Muslim.
INTERAKSI TENTANG ISLAM
Dengan pendekatan santai dan interaktif, mereka berkongsi tajuk seperti solat, pemakanan halal dan haram, aurat serta adab memberi salam.
“Saya rasa program seperti ini sangat penting sebagai wadah untuk berinteraksi dan berbincang, tanpa mengira perbezaan latar belakang.
“Terdapat juga seorang wanita beragama Kristian bertanya tentang cara menunaikan solat. Saya menjelaskan sebaiknya,” tambah Cik Insyirah, yang baru menamatkan pengajian di Politeknik Temasek.
Cik Aliyah, lulusan Politeknik Republic yang bakal memulakan kerjaya sebagai Teknisyen Farmasi, pula menambah:
“Tidak semestinya apa yang dipamerkan di media sosial itu betul. Jadi, ia amat penting diadakan program sebegini bagi mengeratkan masyarakat dan menjauhi salah faham.”
ASAH BAKAT KOMUNIKASI
Menurut mereka berdua, berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali merupakan satu cabaran, namun pengalaman itu menjadikan mereka lebih berani.
Malah, Kem Kepimpinan Belia MAKM memainkan peranan besar dalam membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan pemikiran kritikal mereka berdua.
“Semasa tempoh kem, saya diberi peluang melakukan kegiatan pentas dan program berkumpulan.
“Oleh itu, saya belajar buang rasa gementar dan menggunakan kaedah pengucapan awam yang telah dipelajari daripada kem tersebut,” ujar Cik Insyirah yang kini bertugas sebagai guru prasekolah.
Dengan keberanian berdialog dan kesediaan untuk belajar, golongan belia mampu menjadi pemimpin yang membina masyarakat yang lebih bersatu, harmoni dan saling memahami.
CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:
1. Buat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Sila tulis ‘Dana Peningkatan’ di ruangan ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
2. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
3. Kirim cek atas nama ‘LPM ALKAFF KG MELAYU’ kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221. Sila tulis ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon di bahagian belakang cek.
4. Datang ke pejabat masjid antara Isnin dengan Khamis, dari 9 pagi hingga 5.30 petang, atau pada Jumaat, antara 9 pagi dengan 5 petang.
* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di Tik Tok: @alkaffkm. Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.