Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah mengesan 65 aplikasi yang didapati mempunyai kandungan tidak sesuai atau berbahaya untuk orang awam.

Aplikasi tersebut yang ditawarkan di lima khidmat pengedaran aplikasi yang ditetapkan (D-ADS) utama di Singapura, telah dikesan IMDA dalam satu usaha audit aplikasi, menurut Laporan Penilaian Keselamatan Dalam Talian (OSAR) bagi D-ADS, yang julung-julung kalinya diterbitkan pada 24 Oktober.

Menurut laporan itu, jenis kandungan berbahaya paling kerap ditemui adalah kandungan seksual, kandungan berunsur keganasan, serta kandungan yang memudahkan kegiatan maksiat.

Ini termasuk antara lain aplikasi permainan berunsur keganasan dan aplikasi mencari jodoh dengan kandungan berbaur seksual.

IMDA telah mengarahkan platform terlibat untuk memadam 65 aplikasi berkenaan sejak penemuan itu, kata laporan tersebut, yang mengambil kira data dan maklumat D-ADS dari tempoh 1 April 2025 hingga 31 Disember 2025.

Ia menggunakan dua kaedah ujian bagi menilai keberkesanan langkah keselamatan yang dilaksanakan D-ADS – meliputi penetapan akaun ujian dan kaedah individu terlatih yang menyamar sebagai pelanggan biasa.

“Secara keseluruhan, bilangan aplikasi yang dikenal pasti (mengandungi kandungan tidak sesuai) adalah kecil berbanding jumlah aplikasi yang ada di wadah D-ADS dan tidak menunjukkan sebarang kegagalan sistemik.

“Namun, hasil dapatan ini menunjukkan sesetengah aplikasi tidak sesuai barangkali masih dapat melepasi langkah perlindungan sedia ada.

“Terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam proses penyederhanaan kandungan dan semakan aplikasi oleh pihak D-ADS,” tambah laporan itu.

Daripada 65 aplikasi yang terbabit, 30 aplikasi ditemui di Apple App Store; 10 di Google Play Store; 11 di Huawei App Gallery; tiga di Microsoft Store dan 11 di Samsung Galaxy Store.

Sehubungan itu, IMDA turut mengesan 24 aplikasi di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery yang diberikan penarafan usia lebih rendah daripada yang sepatutnya, sedangkan kandungannya hanya sesuai untuk pengguna berusia 18 tahun dan ke atas.

Hasil ini ditemui setelah IMDA menguji lebih 7,000 aplikasi merentasi kelima-lima penyedia khidmat pengedaran aplikasi tersebut.

“(Dapatan) ini adalah satu kelemahan dalam proses penarafan usia dalam kalangan D-ADS yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan yang tidak bersesuaian dengan usia, atau memberikan maklumat tidak tepat kepada ibu bapa dan penjaga mengenai kesesuaian aplikasi itu untuk si anak,” ujar tinjauan itu.

Jenis kandungan bagi 24 aplikasi ini merangkumi kandungan seksual, kandungan berunsur keganasan dan kandungan yang memudahkan kegiatan maksiat.

Kesemua penarafan usia bagi aplikasi terbabit telah dikemas kini kepada 18+ atau sesuai untuk mereka berusia 18 tahun dan ke atas.

Ia turut mendapati kelima-lima D-ADS – Apple App Store, Google Play Store, Huawei App Gallery, Microsoft Store dan Samsung Galaxy Store – mempunyai saluran pelaporan bagi pengguna, namun ia tidak memaklumkan sepenuhnya hasil laporan dibuat.

Oleh itu, pengguna tidak dapat mengetahui sama ada laporan yang dikemukakan telah dinilai oleh pihak D-ADS mahupun keputusan yang diambil susulan laporan tersebut.

Tambah laporan itu, penyedia aplikasi ini “memaklumkan pengguna yang membuat laporan mengenai hasil laporan mereka secara tidak konsisten, atau langsung tidak berbuat demikian”.

Google Play Store dan Samsung Galaxy Note pula didapati tidak memaklumkan pengguna yang telah memuat turun aplikasi dalam enam bulan sebelum ini, tetapi aplikasi itu dipadamkan daripada wadah penyedia ini, tambah laporan itu.

Justeru, IMDA telah mengadakan perbincangan dengan kelima-lima penyedia aplikasi dan memastikan ia mempunyai proses sedia ada atau komited untuk melaksanakan proses dalam sistem.

Sementara itu, laporan tersebut juga mendapati kesemua D-ADS telah menetapkan proses jaminan asas bagi mengenal pasti usia.

Ini merangkumi mekanisme pengesahan usia demi memastikan langkah secukupnya diambil untuk melindungi golongan muda daripada kandungan aplikasi yang tidak sesuai atau tidak diingini.

Bagaimanapun, masih ada langkah yang boleh dipertingkatkan – khususnya berhubung pemadaman aplikasi yang mengandungi kandungan berbahaya dan memberi penilaian usia lebih tepat, kata IMDA.