Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

IMDA: Permintaan bagi karyawan teknologi meningkat

Oct 6, 2025 | 6:25 PM
Menurut laporan Ekonomi Digital Singapura (SGDE) 2025 yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 6 Oktober, ekonomi digital Singapura telah meningkat sebanyak $12 bilion kepada $128.1 bilion pada 2024, yang menyumbang sebanyak 18.6 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura.
Menurut laporan Ekonomi Digital Singapura (SGDE) 2025 yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 6 Oktober, ekonomi digital Singapura telah meningkat sebanyak $12 bilion kepada $128.1 bilion pada 2024, yang menyumbang sebanyak 18.6 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura. - Foto fail

Permintaan untuk karyawan teknologi terus meningkat pada 2024, dengan peningkatan dalam permintaan untuk pekerja yang mempunyai kemahiran dalam sistem berasaskan awan dan kecerdasan buatan (AI), lapor Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 6 Oktober.

Diterajui oleh permintaan untuk karyawan teknologi daripada sektor bukan Informasi dan Komunikasi (I&C), bilangan karywan tersebut meningkat sebanyak 2.7 peratus daripada 208,300 pada 2023 kepada 214,000 pada 2024, membentuk 5.3 peratus daripada jumlah pekerjaan.

Demikian adalah antara penemuan yang dikongsi dalam laporan Ekonomi Digital Singapura (SGDE) 2025, yang membentangkan analisis menyeluruh tentang keadaan ekonomi digital Singapura.

Laporan tersebut, antara lain, meliputi saiz ekonomi digital, keadaan pendigitalan perniagaan dan keadaan tenaga kerja teknologi Singapura.

“Bahasa program seperti Python dan SQL adalah antara kemahiran teknologi yang paling dicari dalam tempoh lima tahun yang lalu.

“Pada 2024, 24 peratus daripada semua pengiklanan kerja teknologi memerlukan Python, satu peningkatan sebanyak 9 peratusan mata daripada 2019, manakala SQL diperlukan dalam 20 peratus pengiklanan kerja teknologi, satu peningkatan sebanyak 5 peratusan mata.

“Permintaan yang kukuh berkemungkinan mencerminkan kebolehgunaan kemahiran ini merentas pelbagai fungsi, seperti analisis data, aliran kerja automatik dan pembangunan model pembelajaran mesin,” kata IMDA.

Pekerjaan dalam bidang teknologi juga menawarkan gaji yang lumayan pada 2024, dengan gaji median sebanyak $7,950, peningkatan daripada $7,000 pada 2023.

Gaji tersebut lebih tinggi daripada gaji median penduduk Singapura secara keseluruhan sebanyak $4,860 pada 2024.

Laporan itu juga menunjukkan pada 2024, ekonomi digital Singapura telah meningkat sebanyak $12 bilion kepada $128.1 bilion, yang menyumbang sebanyak 18.6 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) negara, meningkat daripada 18.0 peratus pada 2023 dan 14.9 peratus pada 2019.

Pertumbuhan digital Singapura bukan sahaja didorong oleh syarikat teknologi, bahkan oleh pendigitalan merentas semua industri.

Industri berkenaan termasuk sektor bukan I&C seperti kewangan dan insurans yang kekal sebagai penyumbang terbesar, diikuti dengan perdagangan borong, dan pembuatan.

Secara khusus, kadar penggunaan digital dalam kalangan semua perusahaan terus meningkat, sebanyak 95.1 peratus daripada semua perusahaan telah menggunakan sekurang-kurangnya satu bidang digital pada 2024, meningkat daripada 94.6 peratus pada 2023.

Terdapat enam bidang digital yang dikenal pasti, iaitu keselamatan siber, sistem berasaskan awan, pembayaran elektronik, e-dagang, analisis data dan AI.

Firma juga mencapai kemajuan yang ketara dalam kadar penggunaan digital, dan secara purata, sebuah firma menggunakan sebanyak 2.3 daripada enam bidang digital pada 2024, berbanding 2.0 pada 2023.

Dari sudut bidang digital lanjut seperti pengkomputeran awan, analisis data dan AI, kededua syarikat kecil dan sederhana (SME) dan bukan SME telah mencapai peningkatan pada 2024.

“Sebagai contoh, kadar penggunaan AI dalam kalangan bukan SME meningkat hampir 20 mata peratusan, meningkat daripada 44.0 peratus pada 2023 kepada 62.5 peratus pada 2024.

“Bagi SME, (kadar itu) meningkat lebih tiga kali ganda daripada 4.2 peratus kepada 14.5 peratus pada 2024.

“Bagi SME, peningkatan dalam penggunaan AI adalah sebahagian besarnya dipacu oleh mikro-SME dan SME kecil, majoriti menggunakan alat AI generatif (Gen AI) siap pakai seperti ChatGPT, Gemini, Midjourney, Copilot, dan lain-lain,” kata IMDA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg