Menjelang akhir Mac 2026, Google Play Store akan menapis dan menghalang pengguna yang dianggarkan berusia di bawah 18 tahun daripada memuat turun aplikasi yang tidak sesuai, seperti yang menyediakan perkhidmatan dating atau mengandungi kandungan seksual.
Di YouTube, pengguna bawah 18 tahun akan menerima peringatan untuk berehat, serta dihadkan daripada menonton berulang kali kandungan tertentu seperti yang mengagungkan tahap kecergasan atau berat badan tertentu, atau mempromosi kekasaran dalam interaksi sosial, kata Google pada 3 Oktober.
Sekatan sedemikian dilaksanakan bersama pelaksanaan langkah pengesahan umur bagi pengguna gedung aplikasi, seperti yang ditetapkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Langkah pengesahan umur merujuk kepada kaedah untuk menentukan umur seseorang pengguna.
Ini sama ada dengan menggunakan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan pemerintah, atau melalui analisis umur wajah ataupun data penggunaan dalam talian.
“Ia bukan sekadar memberikan lebih banyak alat kepada ibu bapa.
“Ia mengenai sistem kami yang secara automatik menyediakan lapisan perlindungan tambahan untuk memastikan setiap orang muda mendapat pengalaman yang sesuai dengan usia mereka,” kata Pengarah Urusan Google Singapura, Encik Ben King.
Google menggunakan teknologi pembelajaran mesin untuk menganggarkan antara lain usia pengguna dengan menganalisis istilah carian dan kandungan yang ditonton dalam talian.
Pelaksanaan langkah pengesahan umur di Singapura ini susulan pelaksanaan serupa di Amerika Syarikat, Britain, dan pasaran terpilih dalam Kawasan Ekonomi Eropah (EEA), lapor akhbar The Straits Times (ST).
Keperluan IMDA juga akan tertakluk pada Apple, Google, Huawei, Samsung dan Microsoft kerana mereka mengendalikan portal atau gedung dalam talian untuk memuat turun aplikasi.
Keperluan sedemikian ditetapkan dalam Kod Amalan Keselamatan Dalam Talian untuk Perkhidmatan Pengedaran Aplikasi.
Kod baru itu menetapkan panduan keselamatan di pintu masuk aplikasi, yang sebelum ini dikritik kerana mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai kandungan bahaya termasuk bahan seksual dan ganas serta kandungan berkaitan membahayakan diri sendiri atau buli siber.
Menjelang akhir Mac 2026, Google juga akan melaksanakan sekatan pengesahan umur ke atas pengguna produk lain mereka, termasuk Gemini, Google Maps dan Carian Google.
Pengesahan umur melengkapi rangkaian alat sedia ada Google untuk melindungi pengguna muda.
Ini termasuk aplikasi Family Link, yang membolehkan ibu bapa menetapkan had masa skrin pada peranti anak mereka, menyekat muat turun aplikasi dan mengesan lokasi anak.
Pemeriksaan pengesahan umur memerlukan pengguna mempunyai akaun Google, supaya teknologi pembelajaran mesin dapat menganalisis tingkah laku penggunaan berkaitan dengan akaun tersebut.
Pengguna yang dianggarkan berumur bawah 18 tahun akan dimaklumkan melalui e-mel bahawa tetapan (settings) mereka telah diubah.
Jika seorang dewasa secara salah dianggarkan berumur bawah 18 tahun, mereka boleh memuat naik dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan pemerintah atau gambar swafoto untuk mengetepikan sekatan tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg