Topic followed successfully
Go to BHkuIMDA siasat gangguan Singtel jejas lebih 600,000 pelanggan
IMDA siasat gangguan Singtel jejas lebih 600,000 pelanggan
IMDA siasat gangguan Singtel jejas lebih 600,000 pelanggan
Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) sedang menyiasat gangguan yang dialami pelanggan Singtel dalam beberapa kejadian berasingan dari 16 hingga 18 Mac, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Semasa menjawab soalan yang diaju Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast-Jurong West); Encik Melvin Yong (Radin Mas); Cik Poh Li San (Sembawang West); dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Dr Neo Kok Beng, di Parlimen pada 7 April berhubung gangguan itu, Cik Teo berkata IMDA akan mengeluarkan hasil siasatan kepada umum.
IMDA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya hasil siasatan mendapati sebarang tatalaku salah, tambahnya.
Beliau menjelaskan hasil siasatan awal mendapati tiada bukti gangguan itu disebabkan serangan siber dan siasatan juga sedang dijalankan untuk mengetahui sama ada perkhidmatan kecemasan terjejas.
“Sungguhpun gangguan tidak boleh dikekang sepenuhnya, IMDA memerlukan penyedia perkhidmatan utama seperti Singtel untuk meletakkan langkah teguh untuk mengurangkan kesan gangguan dan memastikan pemulihan yang pantas.
“Ini termasuk menyediakan langkah lewahan dan pertukaran sistem secara automatik atau failover untuk fungsi rangkaian teras,” kata Cik Teo.
Bagi gangguan yang berlaku pada 16 Mac, beliau berkata ia terjadi selama lebih kurang sembilan jam dan menjejas sekitar 600,000 pelanggan Singtel.
Menurutnya, gangguan itu adalah akibat kerosakan mekanikal di salah satu kemudahan rangkaian Singtel. Gangguan pada 17 Mac berlaku dek pepijat perisian bagi pengemaskinian sistem dan menjejas sekitar 2,000 pelanggan, ujarnya.
Beliau berkata gangguan pada 18 Mac pula menyebabkan beberapa pelanggan mengalami gangguan ketika waktu sibuk kepada rangkaian pada sebelah petang disebabkan pengemaskinian sistem.
Susulan gangguan itu, Singtel dan anak syarikatnya, Gomo, menawarkan “rebat muhibah” sebanyak $5 hingga $10 serta data sebanyak 50GB, kepada pelanggan.
Dalam pesanan yang dihantar kepada pelanggan pada 31 Mac, syarikat telekomunikasi itu berkata ia “memohon maaf atas isu rangkaian yang dihadapi baru-baru ini”.
Rebat tersebut akan ditolak daripada bil pelanggan dalam tempoh satu hingga dua kitaran bil seterusnya dan mereka tidak perlu mengambil apa-apa tindakan.
Cik Teo berkata IMDA memerlukan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk melaksanakan ujian bebanan atau ‘stress testing’ bagi mengenal pasti sebarang kelemahan pada sistem rangkaian.
Namun, beliau akur dengan bertambahnya kerumitan rangkaian telekomunikasi, terdapat keperluan memperkukuh peraturan dan meletakkan kewajipan dan jangkaan yang betul.
“Kami sentiasa memperkenal penambahbaikan perkhidmatan baharu – daripada rangkaian 3G, 4G kemudian 5G – jadi sudah tentu… sistem ini perlu bertindak balas terhadap keperluan pengguna yang lebih besar,” ujarnya.
Justeru, beliau berkata antara tujuan hasil siasatan itu juga akan menyelongkar dan memberi gambaran bagaimana sistem rangkaian berinteraksi antara satu sama lain agar peraturan semasa dapat diperketat dan diperhalusi lagi.
Cik Teo berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan tambahan oleh Encik Yong sekiranya IMDA memerlukan ujian bebanan atau simulasi pertukaran sistem secara automatik.
Di samping itu, Cik Teo juga berkata tempoh yang diambil khidmat telekomunikasi untuk memaklumkan pelanggan ketika berlakunya gangguan boleh diperbaiki sebagai menjawab soalan susulan daripada Encik Alex Yeo (Potong Pasir).
Encik Yeo bertanya jika pemerintah dapat mempertimbangkan untuk mewajibkan syarikat khidmat telekomunikasi agar memaparkan maklumat masa nyata apabila berlakunya gangguan dan tidak semata-mata bergantung pada kenyataan media.
“Penyedia perkhidmatan sudah pasti dapat mempertingkatkan tempoh tindak balas dan bagaimana mereka memberi pengemaskinian kepada pelanggan dan orang awam.
“Hari ini, sebahagian besar maklumat (terhadap gangguan) diraih daripada sumber orang ramai – salah satu daripadanya adalah aplikasi (pemantau gangguan) yang dipanggil ‘downdetector’,” kata Cik Teo.

