Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

IMF ramal ekonomi S’pura tumbuh lebih rendah walau Asia diunjur lebih tinggi

Oct 18, 2023 | 3:35 PM
EKONOMI LEBIH SURAM: Ekonomi Singapura bagi 2023 dijangka tumbuh 1 peratus daripada anggaran awal 1.5 peratus.
EKONOMI LEBIH SURAM: Ekonomi Singapura bagi 2023 dijangka tumbuh 1 peratus daripada anggaran awal 1.5 peratus. - Foto: The Straits Times

Ekonomi Asia besar kemungkinan tumbuh sebanyak 4.6 peratus pada 2023, naik daripada 3.9 peratus pada 2022, walaupun dalam persekitaran global yang mencabar, kata Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Rabu.

Bagaimanapun, IMF menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Singapura bagi 2023 kepada 1 peratus daripada anggaran awal 1.5 peratus pada April.

Ini memandangkan beberapa ekonomi negara Asia terjejas lebih teruk oleh permintaan lebih lemah bagi eksport barangan pada peringkat global, di samping ekonomi China semakin perlahan.

Pertumbuhan Singapura dijangka meningkat 2.1 peratus pada 2024, namun prospek ekonomi Asia dijangka lebih sederhana lagi, kata IMF dalam kemas kininya dalam Ramalan Ekonomi Serantau.

Ia berkata rentak pertumbuhan semakin perlahan kerana permintaan pada peringkat global telah bertukar daripada barangan kepada perkhidmatan.

Pada masa sama, bank pusat di seluruh dunia telah menaikkan kadar faedah bagi melawan inflasi dan mengetatkan pinjaman kepada perniagaan dan isi rumah.

Sementara itu, ekonomi China pula mengalami kemerosotan selepas peningkatan singkat menyusuli pembukaan semula sepenuhnya ekonomi pada awal 2023. Ini akan menjejas permintaan di seluruh rantau ini, tambahnya.

Ekonomi kedua terbesar di dunia itu kini semakin perlahan disebabkan pelaburan suram dan kemerosotan dalam sektor hartanah.

IMF telah menaikkan prospek pertumbuhan bagi Amerika Syarikat dan Jepun – kedua-duanya pembeli utama barangan Asia. Bagaimanapun, ia percaya ini tidak akan mengimbangi sepenuhnya kesan kemerosotan ekonomi China.

Pertumbuhan jangka sederhana bagi rantau ini dijangka menjadi sederhana lagi kepada 3.9 peratus, sedang kelembapan struktur China dan pertumbuhan produktiviti lebih lemah dalam banyak ekonomi negara lain menjejas rantau ini, kata IMF dalam laporan itu.

Ia menambah bahawa dalam ekonomi maju Asia, termasuk Australia, New Zealand, Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura, keadaan kewangan ketat dengan kadar faedah tinggi akan mengurangkan permintaan, manakala prospek eksport akan bergantung pada pergerakan harga komoditi global dan kitaran teknologi.

Ekonomi China, yang dijangka berkembang 5 peratus pada 2023, dijangka merosot kepada 4.2 peratus pada 2024, sebahagian besarnya disebabkan kelemahan dalam sektor hartanah.

IMF turut berkata pertumbuhan ekonomi Amerika bagi 2023 dan 2024 telah dinaikkan dalam laporan Ramalan Ekonomi Dunia pada Oktober 2023 – masing-masing sebanyak 0.5 peratus dan 0.4 peratus, berbanding April.

“Walaupun peningkatan besar pada pertumbuhan Amerika berbanding kemerosotan lebih kecil bagi China biasanya akan memberi kesan positif bersih untuk rantau ini, komposisi permintaan Amerika mungkin bermakna Asia akan meraih kurang faedah kali ini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg