Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Impian jadi jururawat tercetus ketika teman arwah nenek di hospital

Jul 12, 2024 | 7:15 PM
Antara tugas Encik Noormazreen Maswan (dua dari kanan), sebagai Pendidik Jururawat ialah membimbing jururawat lain menyesuaikan diri dengan perkembangan dan teknologi. Bersama beliau dalam sesi latihan ialah Jururawat Staf Kanan, Cik Nurhazirah Hatman (kiri); Pembantu Jururawat Klinisian, Cik Chen Jing (dua dari kiri); dan Jururawat Staf, Encik Royce Tay (kanan).
Antara tugas Encik Noormazreen Maswan (dua dari kanan), sebagai Pendidik Jururawat ialah membimbing jururawat lain menyesuaikan diri dengan perkembangan dan teknologi. Bersama beliau dalam sesi latihan ialah Jururawat Staf Kanan, Cik Nurhazirah Hatman (kiri); Pembantu Jururawat Klinisian, Cik Chen Jing (dua dari kiri); dan Jururawat Staf, Encik Royce Tay (kanan). - Foto BH oleh KHALID BABA

Impian Encik Noormazreen Maswan menjadi seorang jururawat berputik ketika berusia 15 tahun.

Berada di sisi neneknya yang terlantar di hospital setelah menjalani pembedahan jantung, beliau mengamati penjagaan pesakit yang diberikan jururawat di sana dan menguruskan pesakit lain di wad tersebut.

“Saya sangat rapat dengan arwah nenek saya. Jadi, semasa cuti sekolah, saya selalu mengulang kaji pelajaran saya di sebelah katil nenek saya di hospital.

“Dari situ, saya mendapat pendedahan dan tertarik dengan tugas yang dilakukan jururawat,” kata Encik Noormazreen, 44 tahun.

Beliau mula berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 2004.

Pada 2010, beliau mendapatkan ijazah dalam bidang kejururawatan dan beralih ke kampus kesihatan Jurong (JurongHealth) pada 2012, sebagai Pengajar Klinikal.

Kini, beliau Pendidik Jururawat di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH).

Beliau adalah antara 150 jururawat yang menerima Anugerah Merit Jururawat baru-baru ini bagi menghargai prestasi cemerlang dan dedikasi terhadap bidang kejururawatan.

Sebagai Pendidik Jururawat, beliau dan 13 jururawat lain bertanggungjawab menguruskan latihan jururawat dalam wad dan setiap jururawat – novis dan berpengalaman – akan menjalani latihan tersebut.

Buat julung-julung kalinya, Encik Noormazreen, akan memimpin pasukan beliau dalam latihan tersebut sejak menjadi Pendidik Jururawat pada 2019.

“Selain mengatur dan merancang latihan, kami perlu mengemas kini kurikulum latihan, melakukan penghuraian keperluan pembelajaran dan mengenal pasti kelemahan yang ada di latihan kami. Kemudian, kami merancang kurikulum baru dan menghasilkan satu kursus baru.

“Walaupun ia memakan masa, ini semua adalah sebahagian daripada tugasan seorang pendidik,” ujar beliau.

Dalam usaha Encik Noormazreen mendidik dan mempertingkatkan kemahiran jururawat di bawah naungannya, beliau juga mengambil langkah mempertingkatkan kemahiran beliau.

Sejak 2014, Pendidik Jururawat itu telah mengambil pelbagai kursus semasa bertugas di NTFGH. Pada 2023, beliau memulakan pengajian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam Sarjana Sastera dalam Pendidikan Profesional (Latihan dan Pembangunan).

“Terdapat banyak perkembangan baru dan pengetahuan yang perlu diperoleh dalam jurusan penjagaan kesihatan ini.

“Ilmu yang saya sampaikan kepada jururawat adalah untuk meningkatkan kemahiran mereka agar dapat memberikan penjagaan yang lebih baik kepada pesakit-pesakit,” ujar beliau.

Bagi Encik Noormazreen, menerima Anugerah Merit Jururawat sangat bermakna bagi beliau, kerana ia mengiktiraf pencapaian beliau dalam bidang kejururawatan selama ini.

“Saya rasa berbesar hati kerana diiktiraf atas segala dedikasi dan kerja keras saya selepas 20 tahun. Ini pasti mendorong saya untuk bekerja lebih keras bukan hanya untuk diri saya sendiri, malah menyumbang kembali kepada masyarakat,” kata beliau.

“Saya rasa berbesar hati kerana diiktiraf atas segala dedikasi dan kerja keras saya selepas 20 tahun. Ini pasti mendorong saya untuk bekerja lebih keras bukan hanya untuk diri saya sendiri, malah menyumbang kembali kepada masyarakat.”
 Encik Noormazreen Maswan, penerima Anugerah Merit Jururawat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg