Impian jadi nyata.

Begitulah kisah Encik Muhammad Ariel Syakir Mohamed Helmi, 19 tahun, yang pernah bermimpi untuk menyertai Ensembel Tarian Politeknik Temasek (TPDE), satu kegiatan kokurikulum (CCA) tarian moden di Politeknik Temasek (TP), setelah tamat peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ beliau pada 2023.

Encik Syakir yang pernah menyaksikan TPDE semasa satu pertandingan tarian, Super 24, tiga tahun lalu, ingin menyertai kumpulan itu kerana ingin mencabar dirinya di peringkat posmenengah demi mengasah bakat tarian dan kreatif beliau.

Cita-cita tersebut akhirnya terkabul apabila beliau dapat memasuki TPDE pada 2024.

Bagi Encik Syakir, peluang yang baru dan mencabar amat penting untuk dirinya terus membangunkan kemahiran dan menceburi dunia tarian.

Semasa di TPDE, beliau diberikan banyak peluang mengasah bakat menari dan koreografi di acara tarian TP seperti Oomph! dan Gem 17: Arcana.

“Semasa saya cipta koreografi untuk Gem 17, saya dan rakan mencabar diri untuk hasilkan tarian yang lebih abstrak dan eksperimental untuk menyampaikan mesej tentang perasaan takut dan bersendirian, sesuatu yang kurang dilakukan TPDE,” kongsinya yang juga ahli jawatankuasa TPDE buat tahun akademik 2025/26.

Buat Encik Syakir, pengalaman ini membuatnya fikir di luar zon selesanya untuk mencabar pemikiran penari dan penonton tentang isu yang ingin diketengahkan.

“Dalam persiapan menjelang pertandingan Super 24, saya juga mempelajari lebih tentang daya tahan dan perspektif yang berbeza.

“Kedua-duanya membantu saya untuk menjadi seorang penari yang dapat memahami dan menjiwai persembahan dengan lebih baik,” tambahnya.

Encik Syakir merupakan antara lebih 1,600 pelajar dan pelatih TP yang mendapat pengiktirafan di majilis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar Temasek (TSEA) pada 26 Jun di atas sumbangan mereka kepada sekolah dan masyarakat.

Berkat dedikasi, bakat, dan usaha, Encik Syakir telah diiktiraf sebagai penerima Anugerah Artis Cemerlang.

Sementara itu, Encik Syakir juga menjadi lebih peka tentang kerja di belakang tabir untuk menghasilkan satu pementasan.

“Pelatih saya banyak mengajar saya tentang perkara di balik tabir seperti pengawalan orang ramai dan pengurusan logistik, yang tidak pernah terlintas dalam fikiran saya,” katanya semasa menyingkap tentang pengalamannya sebagai penerbit bagi konsert Hari Kebangsaan TP pada 2025.

Dengan kemahiran ini, beliau menjadi seorang penari yang bukan sahaja fokus pada tarian teknikal, malah peka terhadap kerja di belakang tabir dan mesej di sebalik satu karya tarian.

Sebagai pelajar dan penari, pengimbangan masa penting untuk tidak ketinggalan dalam akademik serta minat untuk tarian.

Kini, Encik Syakir berlatih enam hingga tujuh kali seminggu untuk persiapan persembahan dan pertandingan akan datang.

Namun, beliau rasa lebih tertekan apabila musim pertandingannya berlaku semasa musim peperiksaan, sesuatu yang kerap berlaku.

“Memang mencabar bagi saya mengimbangi kedua-duanya tapi kerja sekolah tetap menjadi keutamaan saya dan saya selalu ingatkan diri untuk menghabiskan kerja sekolah sebelum latihan,” kongsinya.

Satu lagi cabaran yang beliau alami adalah mengimbangi masa sebagai seorang ketua TPDE dan penari.

“Seringkali, kami di TPDE fikir bahawa ahli jawatankuasa tidak perlu menari kerana kesuntukan masa menguruskan kerja di balik tabir.

“Namun, saya mencabar diri saya melakukan kedua-duanya kerana saya tidak mahu terlepas peluang dan mengorbankan minat saya untuk menari.

“Saya rasa kami boleh melakukan kedua-duanya sekiranya mempunyai pengurusan masa yang baik,” kongsi pelajar tahun ketiga itu.

Di sebalik kejayaan mengimbangi pelbagai tanggungjawab, sistem sokongan Encik Syakir memainkan peranan yang penting.

“Saya beruntung kerana mempunyai rakan yang memahami saya dan sentiasa beri sokongan,” kongsi beliau.

Apabila musim peperiksaan beliau pada 2026 berlangsung semasa persiapan untuk Super 24, rakan-rakan seperjuangannya dalam TPDE banyak membantunya mengurangkan tekanan.

“Mereka yang telah lihat susah senang perjalanan ini dan sangat memahami keadaan saya dalam mengimbangi hidup sebagai seorang pelajar dan penari.

“Semasa musim Super 24, mereka sampai membelikan saya makanan dan minuman untuk pastikan saya makan sambil menghabiskan tugasan sekolah,” ujarnya.

Dengan adanya rakan yang positif, Encik Syakir berjaya menempuhi rintangan yang dialaminya.

Walaupun rakannya hanya melakukan perkara sekecil itu, Encik Syakir berasa sangat terharu dan menjadikan mereka pembakar semangat untuk terus mengimbangi kedua-dua tanggungjawabnya.

Menuju pengakhiran pengajian beliau di TP, Encik Syakir ingin terus berbakti kepada industri seni dalam bidang pengajiannya – hospitaliti & pengurusan pelancongan.

Beliau berharap dapat menceburi bidang pengurusan acara dalam industri seni, berbekalkan pengetahuan dan kemahiran yang dicapai semasa pengajiannya.