Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

India: Lelaki ditahan, menyamar sebagai juruterbang SIA

Apr 29, 2024 | 3:21 PM
Sangeet Singh telah menipu keluarganya bahawa dia bertugas sebagai juruterbang SIA.
Sangeet Singh telah menipu keluarganya bahawa dia bertugas sebagai juruterbang SIA. - Foto NDTV

NEW DELHI: Polis India pada 25 April menahan seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa New Delhi kerana menyamar sebagai juruterbang syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA), selepas ditemui berligar di sekitar lapangan terbang tersebut dengan berpakaian lengkap sebagai juruterbang.

Lelaki berkenaan, Sangeet Singh, 24 tahun, dikesan pegawai keselamatan memakai pakaian seragam juruterbang tentera laut dan mempunyai kad pengenalan (ID) SIA palsu di lehernya yang memberinya akses kepada operasi dalam penerbangan, lapor The Straits Times (ST).

Selepas disoal siasat dan diperiksa oleh pegawai dari Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat, ID yang dipegang Singh itu didapati palsu.

Singh membuat ID palsu menerusi aplikasi dalam talian, Business Card Maker dan membeli pakaian seragam itu daripada Pilot 18, sebuah kedai aksesori penerbangan di Delhi, lapor Press Trust India, menukil kenyataan dari seorang pegawai polis.

Dia juga dilaporkan telah berbohong kepada keluarganya bahawa dia bertugas sebagai juruterbang SIA.

Siasatan awal mendapati Singh telah menyelesaikan satu kursus hospitaliti penerbangan

Siasatan awal mendedahkan Singh telah menyelesaikan satu kursus hospitaliti penerbangan selama setahun pada 2020 di sebuah institusi di Mumbai.

Berasal dari wilayah utara Uttar Pradesh, Singh, didakwa atas tuduhan menipu dan pemalsuan di bawah kanun keseksaan India dan siasatan masih diteruskan, kata polis tempatan.

“Sangat gembira dia ditahan,” tulis Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke India, Encik Simon Wong di laman X, turut disertai dengan gambar Singh.

SIA berkata pada 26 April, ia sedar terhadap insiden mengenai seorang individu yang menyamar sebagai juruterbang SIA di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, tetapi tidak berupaya memberi komen lanjut memandangkan siasatan masih dijalankan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi merupakan salah satu lapangan terbang paling sibuk di dunia, mengendalikan kira-kira 72 juta penumpang pada 2023, menurut penguasa lapangan terbang, Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

Berbanding, Lapangan Terbang Changi Singapura mengendalikan kira-kira 58.9 juta penumpang pada 2023.

Singapore Airlines menawarkan penerbangan setiap hari ke New Delhi, yang juga ibu negeri India.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg