Individu ComLink+ jalani latihan, sambung belajar akan terima $500
Individu ComLink+ jalani latihan, sambung belajar akan terima $500
Insentif diberi setiap suku tahun untuk galak tingkat kemahiran, prospek kerja
Individu di bawah skim ComLink+ akan menerima insentif $500 bagi setiap suku tahun melalui program perintis, jika mereka kembali menuntut sepenuh masa atau menjalani latihan vokasional, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Ini bertujuan untuk menggalakkan mereka mempertingkatkan kemahiran, sekali gus melonjak prospek pekerjaan.
Pilihan kursus meliputi kelayakan sepenuh masa seperti Nitec, Nitec Lanjutan dan diploma politeknik, selain kursus vokasional terpilih yang ditawarkan institusi dibiayai MOE, diiktiraf WSQ atau yang layak menggunakan Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA).
Program Perintis Sokongan Peningkatan Kemahiran ComLink+ itu – diperkenalkan pada Januari 2026 – juga akan menyediakan sokongan kewangan bagi perbelanjaan kehidupan asas, jika mereka berhenti kerja untuk mempertingkatkan kemahiran.
Sokongan ini boleh dinikmati sehingga tiga tahun, bergantung pada tempoh kursus.
Program perintis itu menyasar individu berusia 18 hingga 39 tahun, yang kini bekerja dengan gaji rendah atau yang pernah berhenti sekolah untuk bekerja.
Bercakap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di Parlimen pada 6 Mac, Encik Zhulkarnain berkata pekerjaan ialah kunci utama untuk membantu keluarga berpendapatan rendah mengecapi masa depan yang lebih baik.
Namun, keluarga ini sering berhadapan dengan rintangan yang sukar ditempuhi, terutama dengan kekangan kewangan.
“Sesetengah keluarga ComLink+ hari ini mempunyai pencari kerja yang lebih muda, yang jika mempunyai kemahiran yang betul, boleh mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik.
“Walaupun skim berasaskan luas seperti SkillsFuture wujud, keluarga ComLink+ mungkin meraih manfaat daripada pendekatan yang lebih disasarkan.
“Sesebuah keluarga perlu menanggung beberapa kos apabila mereka memilih untuk meningkatkan kemahiran.
“Contohnya, pendapatan mereka terganggu semasa pengajian mereka, dan tidak pasti sama ada mereka akan mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi selepas itu.
“MSF telah memerhatikan bahawa ini menghalang sesetengah keluarga ComLink+ daripada meningkatkan kemahiran, walaupun mereka mahu dan mempunyai peluang,” kata beliau.
Encik Zhulkarnain menambah kementeriannya sedang menyemak cara menyediakan sokongan yang lebih disesuaikan bagi keluarga berpendapatan rendah dalam menempuh alam pekerjaan.
Ini kerana mereka mungkin berdepan lebih banyak cabaran untuk mencari pekerjaan yang sesuai.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan bahawa pencari kerja berpendapatan rendah sering bekerja dalam sektor perkhidmatan, di mana jadual kerja mereka sukar diubah dalam masa yang singkat.
Ini menyukarkan mereka untuk menguruskan kecemasan, seperti mengambil anak dari sekolah apabila mereka jatuh sakit.
“MSF sedang bekerjasama dengan rakan seperti Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i); peneraju global yang menghubungkan pencari kerja dengan kerjaya, AKG; dan Khidmat Masyarakat TOUCH untuk memperkukuh sokongan pekerjaan bagi keluarga ini mempersiapkan mereka bagi alam kerja, mencari pekerjaan yang sesuai, dan akhirnya berjaya dalam kerjaya tersebut,” kata beliau.
Kini, kira-kira 11,000 keluarga berada di bawah ComLink+, satu inisiatif nasional.
Skim ini bertujuan melonjakkan mobiliti sosial keluarga berpendapatan rendah, melalui insentif kewangan dan sokongan padu, agar mereka dapat meraih impian mereka.
Impian ini merangkumi untuk mendapatkan pekerjaan stabil, memastikan anak-anak ke prasekolah secara konsisten, atau memiliki rumah sendiri, semua dengan bimbingan erat pembimbing keluarga atau pekerja kes.
Semasa Belanjawan 2026, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengumumkan beberapa peningkatan kepada ComLink+.
Antara perubahan utama ialah pengenalan bayaran perkongsian baru sebanyak $500 setiap suku tahun, mulai suku ketiga 2026 kepada keluarga yang terus bekerjasama dengan pembimbing keluarga atau pekerja kes.
Bayaran $500 ini adalah dalam bentuk $200 wang tunai dan $300 yang akan disalurkan ke dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Menjawab pertanyaan Encik Xie Yao Quan (Jurong Central) sama ada pembimbing keluarga akan bekerjasama dengan institut pengajian tinggi (IHL) bagi Program Perintis Sokongan Peningkatan Kemahiran ComLink+, Encik Zhulkarnain berkata:
“Pembimbing keluarga bekerjasama rapat dengan keluarga yang melahirkan minat menyertai program perintis itu.
“Program itu baru diperkenalkan pada Januari dan kami menyasar 100 keluarga.
“Kami juga mendekati IHL untuk membantu individu dengan permohonan mereka.”

