Keluarga capai impian miliki rumah sendiri dengan bantuan Pakej Kemajuan ComLink+

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga capai impian miliki rumah sendiri dengan bantuan Pakej Kemajuan ComLink+

Feb 12, 2026 | 9:01 PM

Keluarga capai impian miliki rumah sendiri dengan bantuan Pakej Kemajuan ComLink+

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Belanjawan 2026, PM Wong, sokongan pada keluarga, miliki flat sendiri
Dengan sokongan Pakej Kemajuan ComLink+, Cik Hurul Ain Abdul Rahman (dua dari kiri) dan suami, Encik Muhammad Hafiz Hassan, bersama lima anak mereka kini kian hampir memiliki flat empat bilik Bina Ikut Tempahan (BTO) di Woodlands. - Foto KEMENTERIAN KEWANGAN

Meskipun Cik Hurul Ain Abdul Rahman dan suaminya, Encik Muhammad Hafiz Hassan, telah menetap di flat sewa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Sembawang bersama lima anak mereka sejak 2020, matlamat mereka untuk memiliki rumah sendiri dan menyediakan ruang lebih besar bagi keluarga tetap membara.

“Sebelum menyertai program Pakej Kemajuan ComLink+, pendapatan kami mencukupi, tetapi simpanan tunai kami masih terhad, terutama bagi menampung kos seperti pengubahsuaian rumah.

“Kami risau sama ada kami mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk membiayai kos membeli rumah.

“Anak-anak adalah motivasi saya, dan menyediakan ruang yang lebih besar untuk mereka mendorong kami untuk bekerja lebih keras,” ujar Cik Hurul Ain, ibu lima anak berusia antara tiga dengan 11 tahun, ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Pakej Kemajuan ComLink+ merupakan daya usaha bagi menyokong keluarga berpendapatan rendah dengan anak-anak kecil yang tinggal di flat sewa awam mencapai kestabilan dan mobiliti sosial agar menjadi lebih berdikari.

Sejak penglibatan keluarga itu dalam daya usaha pakej bantuan kelolaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sejak Februari 2025, mereka telah menerima bimbingan daripada jurulatih keluarga mereka, Encik Eugene Wang, dalam memberi dorongan supaya mereka dapat terus bekerja dan meningkatkan kemahiran diri.

Hasil usaha mereka bersama, Cik Hurul telah dinaikkan pangkat kepada Pengurus Perhubungan Pelanggan pada Jun 2025, sementara suaminya, Encik Hafiz, 32 tahun, meningkatkan kemahiran dan memperoleh pekerjaan lebih baik sebagai pemandu lori.

Encik Wang memperkenalkan mereka kepada program bantuan perumahan Keystart, yang membantu mereka merancang pemilikan rumah pertama dengan lebih yakin dan teratur.

“Beliau memberi dorongan kepada kami, sentiasa mengingatkan kami untuk kekal bekerja, dan mendorong kami mengikuti kursus serta meningkatkan kemahiran diri.

“Sekiranya peluang yang lebih baik muncul, beliau menggalakkan kami untuk menggenggamnya,” kongsi Cik Hurul.

Selain itu, Cik Hurul berkata keluarganya menerima tokokan sekali berjumlah $500 ke dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA) apabila anak bongsu lelakinya mencecah usia tiga tahun dan dimasukkan ke prasekolah.

Bahkan, anak lelakinya juga menerima tokokan $200 ke dalam CDA setiap tiga bulan, bersama dua anak perempuannya yang berusia lima dan enam tahun atas rekod kehadiran baik di prasekolah.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, menukil keluarga Cik Hurul Ain dan Encik Muhammad Hafiz, sebagai contoh keluarga yang berjaya memperbaiki keadaan kewangan mereka melalui usaha sendiri dengan sokongan Pakej Kemajuan ComLink+ semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 12 Februari.

Semasa menyampaikan ucapan Belanjawannya itu, Encik Wong berkata pakej tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, malah satu bentuk “kontrak sosial” yang mengiktiraf usaha keluarga untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Ini seperti mendapatkan pekerjaan stabil, menabung untuk membeli rumah atau memastikan anak-anak mendaftar dan menghadiri prasekolah secara tetap, tambahnya.

“Ini bukan sekadar bantuan kewangan; ia adalah satu bentuk kontrak sosial di mana jurulatih keluarga bekerjasama dengan keluarga tersebut menetapkan matlamat yang jelas.

“Apabila pencapaian ini berjaya diraih, keluarga berkenaan akan menerima bayaran tambahan,” kongsi beliau.

Mengulas lanjut, Encik Wong berkata ComLink+ dibina berasaskan sokongan rapat dan berterusan kepada keluarga, dan bergantung kepada individu termasuk jurulatih keluarga untuk membantu mereka membuat kemajuan secara berperingkat.

“Dari semasa ke semasa, kami telah memperkukuh keupayaan kami di lapangan. Kini, kami bersedia untuk mempertingkatkan Pakej Kemajuan ComLink+,” ujar beliau.

Mulai suku ketiga 2026, pakej tersebut akan dipertingkat bagi membantu keluarga mengekalkan kemajuan yang dicapai.

Antara perubahan utama ialah pengenalan bayaran perkongsian baru sebanyak $500 – iaitu dalam bentuk $200 wang tunai dan $300 disalurkan dalam CPF – setiap suku tahun kepada keluarga yang terus bekerjasama dengan jurulatih keluarga atau pekerja kes.

Selain itu, pencapaian pertengahan akan diperkenalkan bagi kehadiran ke kelas prasekolah dan kestabilan pekerjaan supaya lebih banyak keluarga layak menerima bayaran.

Bagi aspek prasekolah, setiap anak yang mencatat kehadiran ke kelas prasekolah sekurang-kurangnya 75 peratus bagi setiap suku tahun akan menerima $250 – iaitu $100 wang tunai dan tokokan $150 ke dalam CDA.

Bagi kanak-kanak yang mencatat kehadiran ke kelas prasekolah sekurang-kurangnya 50 peratus tetapi kurang daripada 75 peratus akan menerima $150 berupa $60 wang tunai dan tokokan $90 ke dalam CDA bagi tempoh yang sama.

Bagi aspek pekerjaan, setiap isi rumah dengan pendapatan bulanan antara $1,000 hingga kurang daripada $2,000 akan menerima $500 setiap suku tahun ($200 wang tunai dan $300 dalam CPF).

Sementara itu, isi rumah dengan pendapatan sekurang-kurangnya $2,000 akan menerima $1,250 setiap suku tahun ($500 tunai dan $750 CPF).

Jumlah maksimum bayaran yang boleh diterima oleh setiap keluarga di bawah semua pakej pula telah dinaikkan kepada $50,000.

Menyentuh tentang perjalanan keluarga Cik Hurul, Encik Wong berkata mereka telah telah mengambil langkah penting untuk menstabilkan kewangan mereka.

“Apa yang mereka perlukan adalah bimbingan dan sokongan yang berterusan untuk terus maju ke hadapan.

“Menerusi Pakej Kemajuan, keadaan kewangan mereka telah bertambah baik, dan kini mereka semakin hampir untuk memiliki flat HDB 4 bilik mereka sendiri,” ujar beliau.

Bagi Cik Hurul pula, memiliki kunci flat Bina Ikut Tempahan (BTO) 4 bilik di Woodlands pada suku ketiga 2028 merupakan pencapaian besar bagi keluarganya.

“Kami amat bersyukur dan menghargai peluang untuk menjadi sebahagian daripada program ini. Ia telah membawa perubahan besar dalam kehidupan kami.

“Saya mahu anak-anak selesa, terutama dengan mereka mendapat ruang yang lebih luas, dan saya mahu yang terbaik untuk mereka,” kongsi beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg