Skim yang menyediakan bantuan kepada mereka yang menganggur tanpa pilihan akan memperkenalkan sistem berasaskan kegiatan.
Ini bermakna pencari kerja akan layak menerima bantuan kewangan jika mereka aktif menyertai kegiatan mencari pekerjaan, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon.
Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture itu – kali pertama diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan 2024 – akan membimbing pencari kerja menyertai kegiatan mencari pekerjaan, seperti menghadiri pameran kerjaya, mengemas kini resume mereka dan mendapatkan bimbingan kerjaya.
Jika mereka selesai melakukan kegiatan sedemikian, pencari kerja akan layak menerima bantuan kewangan sementara sehingga $6,000 dalam tempoh enam bulan di bawah skim tersebut.
Pemerintah akan melabur lebih $200 juta bagi skim itu, dengan sekitar 60,000 individu yang menganggur tanpa pilihan, seperti diberhentikan kerja atau kehilangan pekerjaan kerana syarikat gulung tikar, dijangka layak bagi skim itu setiap tahun.
Skim itu akan dilancarkan pada pertengahan April.
Berkongsi lanjut semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya di Parlimen pada 7 Mac, Dr Koh berkata skim tersebut “lebih daripada sekadar pembayaran kewangan dan pekerjaan”.
“Ia merangkumi rangka kerja yang mudah untuk membimbing pencari kerja sepanjang kegiatan yang harus mereka lakukan untuk melengkapi diri dalam mencari pekerjaan dan memasuki semula pasaran kerja dengan yakin,” kata beliau.
Dr Koh menambah bahawa sistem berasaskan kegiatan itu direka bagi memastikan pencari kerja tidak perlu melalui perjalanan pencarian kerja secara bersendirian.
“Mereka boleh memanfaatkan sumber Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan bercakap dengan pembimbing kerjaya WSG, membolehkan mereka mendapat manfaat daripada bimbingan profesional.
“Melalui saluran bantuan ini, pencari kerja akan rasa lebih yakin bahawa mereka berada di landasan yang betul untuk masuk semula ke alam pekerjaan.
“Sedang pencari kerja memulakan kegiatan ini sebagai sebahagian daripada perjalanan pencarian kerja mereka, kami berharap dapat membina keyakinan mereka.
“Dan apabila pencari kerja akhirnya kembali bekerja, kami berharap mereka akan mendapat semula rasa identiti dan nilai diri mereka,” kata beliau.
Menjelaskan lanjut tentang sistem berasaskan kegiatan itu, Dr Koh berkata individu yang hilang pekerjaan, misalnya, yang memohon bantuan di bawah skim itu boleh memanfaatkan sokongan pemudahan pekerjaan yang menyeluruh, seperti bimbingan kerjaya, kursus SkillsFuture dan pameran kerjaya.
Individu berkenaan akan juga mengemas kini resumenya dan memohon pekerjaan yang sepadan dengan kemahirannya.
Sepanjang proses pencarian kerja itu, individu akan dapat memberi tumpuan dalam membina semula kerjayanya kerana Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture itu akan menyediakan sokongan kewangan sementara sehingga $6,000 dalam tempoh enam bulan, kata Dr Koh.
Untuk layak menerima bantuan di bawah skim itu, individu perlu memenuhi beberapa kriteria selain mencari pekerjaan secara aktif dan terlibat dalam kegiatan yang berkaitan.
Ini termasuk membawa pulang gaji purata $5,000 atau kurang setiap bulan dalam tempoh 12 bulan terakhir (tidak termasuk caruman CPF oleh majikan) sebelum hilang pekerjaan, dan tinggal di hartanah dengan nilai tahunan $31,000 atau kurang.
Individu juga perlu bekerja sekurang-kurangnya enam bulan dalam tempoh 12 bulan lalu sebelum dapat memohon bagi skim itu, dan telah menganggur sekurang-kurangnya sebulan dari hari terakhir pekerjaan sebelum menerima pembayaran.
Dr Koh bagaimanapun menekankan bahawa skim itu tidak boleh dilihat secara berasingan, dengan pemerintah melaksanakan pelbagai skim lain untuk menyediakan sokongan kewangan kepada mereka yang menjalani peningkatan kemahiran atau mengalami cabaran kewangan.
Ini seperti Program Peningkatan SkillsFuture yang menyediakan elaun apabila seseorang menjalani latihan.
Dengan itu, individu boleh menerima sehingga $21,000 dalam tempoh enam bulan – $15,000 elaun latihan dan $6,000 daripada pembayaran Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture.
“Kuncinya adalah untuk menyediakan pencari kerja dengan bantuan kewangan, dilengkapi dengan ekosistem latihan dan sokongan pemudah pekerjaan yang kukuh.
“Dengan cara ini, kita boleh memperkukuh kesihatan kerjaya pekerja kita dan prospek jangka panjang mereka, dan membantu membina semula keyakinan mereka untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik dan mengorak langkah kerjaya lebih berani,” kata Dr Koh.
“
“Kuncinya adalah untuk menyediakan pencari kerja dengan bantuan kewangan, dilengkapi dengan ekosistem latihan dan sokongan pemudah pekerjaan yang kukuh. Dengan cara ini, kita boleh memperkukuh kesihatan kerjaya pekerja kita dan prospek jangka panjang mereka, dan membantu membina semula keyakinan mereka untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik dan mengorak langkah kerjaya lebih berani.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg