Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim baru bantu individu hilang kerja bakal mula April 2025

Pemerintah akan labur lebih $200j setahun; bantu individu gaji purata $5,000 atau kurang
Aug 27, 2024 | 5:30 PM
(Dari kiri) CEO Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Cik Caryn Lim; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; pakar utama (khidmat kerjaya) di e2i, Cik Jurcannie Yeong; dan Timbalan CEO e2i, Encik Brian Tan, berinteraksi ketika lawatan Dr Tan dan Encik Ng ke Pusat Kerjaya e2i di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja Devan Nair di Jurong East.
(Dari kiri) CEO Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Cik Caryn Lim; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; pakar utama (khidmat kerjaya) di e2i, Cik Jurcannie Yeong; dan Timbalan CEO e2i, Encik Brian Tan, berinteraksi ketika lawatan Dr Tan dan Encik Ng ke Pusat Kerjaya e2i di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja Devan Nair di Jurong East. - Foto BH oleh IRMA KAMARUDIN

Pemerintah akan melabur lebih $200 juta setahun bagi satu skim sokongan baru yang memberikan bantuan kewangan sementara kepada pekerja yang menganggur tanpa pilihan, seperti diberhentikan kerja atau kehilangan pekerjaan kerana syarikat gulung tikar, yang diumumkan baru-baru ini, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Di bawah Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture itu – diumumkan oleh Perdana Menteri Encik Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos – individu berpendapatan rendah dan pertengahan yang sebelum ini membawa pulang gaji purata $5,000 atau kurang sebulan boleh menerima sokongan sehingga $6,000 dalam tempoh enam bulan.

Pembayaran akan dilakukan secara berperingkat, dengan sehingga $1,500 diberi dalam bulan pertama sokongan.

Ia kemudian akan berkurangan kepada $1,250 pada bulan kedua; $1,000 pada bulan ketiga; dan $750 setiap bulan dari bulan keempat hingga keenam.

Pembayaran bulanan itu dihadkan pada pendapatan bulanan purata individu sebelum mereka hilang pekerjaan. Ini bermakna jika seseorang itu sebelum ini membawa pulang gaji sebanyak $1,200, mereka akan menerima $1,200 dalam bulan pertama dan kedua.

Pembayaran juga akan dihentikan tatkala individu berjaya mendapat pekerjaan baru. Contohnya, jika individu menemui pekerjaan baru pada bulan ketiga, dia tidak lagi layak menerima bantuan pada bulan keempat hingga keenam.

Bagaimanapun, untuk layak menerima sokongan di bawah skim itu, individu perlu mencari pekerjaan baru secara aktif seperti memohon pekerjaan, menghadiri sesi bimbingan kerjaya atau menyertai kursus latihan yang layak.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dalam satu kenyataan bersama berkata butiran lanjut mengenai syarat pencarian kerja itu akan dikongsi kelak.

Sekitar 60,000 penduduk Singapura dianggarkan layak bagi skim itu setiap tahun yang akan membentuk lebih 60 peratus daripada individu yang menganggur tanpa pilihan.

Skim baru itu akan dilancarkan WSG pada April 2025 untuk rakyat Singapura, diikuti dengan Penduduk Tetap (PR) pada suku pertama 2026.

MOM dan WSG berkata skim itu menyediakan sokongan sementara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi individu menganggur tanpa pilihan yang tergesa-gesa mencari pekerjaan baru yang mungkin tidak sesuai untuk mereka.

Berkongsi butiran lanjut mengenai skim itu semasa acara Siri Bimbingan Kerjaya Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 27 Ogos, Dr Tan berkata skim itu merupakan satu anjakan paradigma untuk pemerintah.

Meskipun terdapat pelbagai skim bantuan sosial seperti ComCare untuk menyokong isi rumah yang mengalami cabaran kewangan, Dr Tan berkata pemerintah memahami terdapat segelintir lain yang mungkin menghadapi tekanan kewangan apabila menganggur tanpa pilihan.

“Oleh itu, buat julung-julung kalinya, kami akan menyediakan sokongan kewangan sementara kepada individu yang menganggur tanpa pilihan – jika mereka menyertai kegiatan yang menjadikan ia lebih berkemungkinan untuk mereka mendapatkan pekerjaan baik.

“Ini komitmen pemerintah kepada rakyat Singapura... kami akan sentiasa membantu dan menyediakan sumber kepada mereka mempertingkat diri dan ingin melakukan lebih banyak lagi untuk diri mereka,” kata beliau.

Skim itu dibuka kepada individu berusia 21 tahun dan ke atas yang sebelum ini bekerja sepenuh masa atau sambilan dan menerima caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) daripada majikan.

Untuk layak menerima bantuan di bawah skim itu, individu perlu memenuhi beberapa kriteria selain mencari pekerjaan secara aktif dan terlibat dalam kegiatan yang berkaitan.

Ini termasuk membawa pulang gaji purata $5,000 atau kurang setiap bulan dalam tempoh 12 bulan terakhir (tidak termasuk caruman CPF oleh majikan) sebelum hilang pekerjaan, dan tinggal di hartanah dengan nilai tahunan $25,000 atau kurang.

Takrif menganggur tanpa pilihan pula dinyatakan sebagai mereka yang diberhentikan kerja, kehilangan pekerjaan akibat syarikat gulung tikar, dipecat atau kerja ditamatkan kerana sakit, cedera atau kemalangan.

Individu juga perlu bekerja sekurang-kurangnya enam bulan dalam tempoh 12 bulan lalu sebelum dapat memohon bagi skim itu, dan telah menganggur sekurang-kurangnya sebulan daripada hari terakhir pekerjaan sebelum menerima pembayaran.

Mereka yang telah menerima bantuan di bawah skim itu tidak boleh membuat permohonan lagi dalam tempoh tiga tahun daripada pembayaran yang terakhir.

MOM berkata individu yang menganggur tanpa pilihan selama lebih enam bulan dalam tempoh 12 bulan lazimnya tidak akan layak bagi skim itu kerana skim itu “bertujuan menggalak mereka yang menghadapi cabaran pekerjaan mengambil tindakan segera untuk memasuki semula alam pekerjaan dan tidak menangguhkan pencarian kerja mereka”.

Namun, pemerintah akan memberi konsesi sekali sahaja buat rakyat Singapura yang menganggur tanpa pilihan pada atau selepas 1 April 2024 dan kekal tanpa pekerjaan apabila skim itu dilancarkan pada April 2025.

Dr Tan berkata dengan menyediakan bantuan kewangan yang dilengkapi dengan sokongan pemudahan latihan dan pekerjaan, kesihatan kerjaya dan prospek jangka panjang pekerja akan dapat diperkukuh.

“Inilah yang dimaksudkan dengan kompak sosial baru kami. Selagi pekerja memainkan peranan anda untuk membina kesihatan kerjaya anda, dengan mengejar peluang pekerjaan dan latihan secara fokus dan disengajakan, pemerintah akan berjalan bersama anda,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg