Lebih ramai individu radikal telah ditangkap di sini, dan rakyat Singapura harus bersedia dari segi mental untuk berdepan dengan insiden pengganasan di negara ini, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, pada 11 Februari.
Beliau berkata kes terkini melibatkan remaja, suri rumah dan pekerja pembersihan yang dikenakan arahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menunjukkan satu trend yang membimbangkan.
Encik Shanmugam membuat kenyataan tersebut di Kuil Sri Thendayuthapani, bersebelahan Fort Canning, semasa sidang media sempena Festival Thaipusam 2025, lapor The Straits Times (ST).
Mengulas mengenai kejadian tersebut, Encik Shanmugam berkata:
“Ini adalah lelaki muda ketiga yang kami keluarkan arahan terhadap ideologi ekstremis (ganas) sayap kanan.
“Dia telah terpengaruh dengan semua bahan sampah berkaitan isu perkauman dan telah meyakinkan dirinya tentang keunggulan sayap kanan.”
Remaja berusia 18 tahun itu mengambil watak sebagai pengganas dalam satu permainan dalam talian dan mahu memulakan ‘perang perkauman’ antara bangsa Cina dengan Melayu.
Dia mengidolakan warga Australia, Brenton Tarrant, iaitu individu dipengaruhi ideologi ketuanan kulit putih yang membunuh 51 anggota jemaah di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada Mac 2019.
Remaja itu ingin menyerang umat Islam di sebuah masjid di Singapura dan telah mendapatkan tatu serta kemeja-T dengan cetakan logo yang dikaitkan dengan kumpulan neo-Nazi, sikap ketuanan kulit putih dan ideologi fahaman pelampau sayap kanan.
Pada 10 Februari, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berkata Arahan Penahanan (DO) bagi pemuda itu telah dikeluarkan pada Disember 2024.
Encik Shanmugam berkata arahan itu juga telah dikeluarkan terhadap seorang suri rumah dan seorang pekerja pembersihan yang menyokong pertubuhan pengganas yang menggunakan nama Islam.
Arahan Sekatan (RO) telah dikeluarkan kepada suri rumah yang menguruskan kumpulan media sosial yang menyokong organisasi militan dan pengganas.
Manakala pekerja pembersihan warga Malaysia yang bekerja di Singapura telah ditangkap pada November 2024 dan dihantar pulang pada bulan yang sama.
Encik Shanmugam berkata walaupun pihak berkuasa di sini proaktif dalam mencegah radikalisme dan pengganasan, rakyat Singapura perlu bersedia.
“Seperti yang saya selalu katakan, ia tidak seperti di negara lain. Keadaannya tidak begitu teruk dan ISD mempunyai kuasa untuk bertindak awal, mengatasinya selangkah lebih cepat.
“Tetapi seperti yang anda lihat daripada jumlah kes yang ada, kita tidak kebal dan ia semakin meningkat, dan saya rasa ia amat membimbangkan.
“Ingat slogan, SGSecure ‘Bukan Jika, Tetapi Bila’. Pada satu masa, sesuatu pasti akan berlaku. Kita hanya perlu bersedia dari segi psikologi,” jelas Encik Shanmugam.
Beliau menambah cara masyarakat bertindak balas apabila kejadian pengganasan berlaku adalah penting dan banyak usaha telah dilakukan untuk memastikan kekuatan dalam masyarakat.
Encik Shanmugam berkata: “Dunia luar lebih penuh cabaran, lebih bermasalah.
“Anda akan melihat lebih banyak perkara seperti ini di luar sana, dan melalui beberapa jalan, ia akan merebak masuk ke dalam Singapura juga.”
“
“... Seperti yang anda lihat daripada jumlah kes yang ada, kita tidak kebal dan ia semakin meningkat, dan saya rasa ia amat membimbangkan. Ingat slogan, SGSecure ‘Bukan Jika, Tetapi Bila’. Pada satu masa, sesuatu pasti akan berlaku. Kita hanya perlu bersedia dari segi psikologi.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg