Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja 18 tahun ditahan ISD; mahu serang Muslim di S’pura

Remaja dipengaruhi ideologi ekstremis ganas sayap kanan; Suri rumah warga S’pura pula dikenakan Arahan Sekatan manakala lelaki warga M’sia ditangkap kerana sokong kumpulan militan
Feb 10, 2025 | 2:00 PM
Nick Lee Xing Qiu, 18 tahun, mempunyai tatu Sonnenrad (gambar), yang sering terkait dengan golongan sayap kanan dan mempromosikan ideologi berteraskan kesucian perkauman. Dia dikenakan Arahan Penahanan kerana ingin melakukan serangan terhadap masyarakat Melayu/Islam di Singapura.
Nick Lee Xing Qiu, 18 tahun, mempunyai tatu Sonnenrad (gambar), yang sering terkait dengan golongan sayap kanan dan mempromosikan ideologi berteraskan kesucian perkauman. Dia dikenakan Arahan Penahanan kerana ingin melakukan serangan terhadap masyarakat Melayu/Islam di Singapura. - Foto ISD

Dua warga Singapura berusia 18 tahun dan 56 tahun masing-masing telah dikenakan Arahan Penahanan (DO) dan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setelah mereka didapati menjadi radikal secara sendiri.

Dalam satu kenyataan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 10 Februari, Nick Lee Xing Qiu, 18 tahun, dikenakan DO pada Disember 2024 setelah remaja lelaki itu didapati menjadi radikal oleh ideologi ekstremis ganas sayap kanan dan ingin melakukan serangan terhadap masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Menurut ISD, Lee berhasrat menyerang orang Islam di salah satu masjid di sini dengan menggunakan senjata api buatan sendiri, pisau dan bom koktail Molotov (bom botol kaca yang diisi minyak mudah terbakar), dan ingin menyiarkan serangan itu secara dalam talian.

Modus serangan ini, tambah ISD, dipengaruhi oleh serangan yang dilakukan penyerang Brenton Tarrant di New Zealand pada Mac 2019 – serangan tembakan terburuk New Zealand selepas Tarrant melepaskan tembakan secara rambang ke arah penganut Islam di dua masjid di bandar Christchurch, mengakibatkan 51 orang terkorban.

ISD berkata Lee juga telah mempertimbangkan untuk mencipta bom koktail Molotov bersama kenalan dalam taliannya dan menggunakannya terhadap jiran Melayu/Islam semasa cuti masyarakat Islam.

Dia juga menghasut individu lain untuk menyerang masyarakat Melayu/Islam di sini atas dasar “perang bangsa” antara bangsa Cina dan Melayu setelah dia percaya bahawa keganasan harus dilakukan “bagi mencegah majoriti Cina di Singapura daripada digantikan oleh apa yang dianggapnya sebagai jumlah penduduk Melayu yang semakin berkembang”, tambah ISD.

“Anggota keluarga Lee, guru dan rakan-rakannya tidak menyedari radikalisasinya dan tiada isyarat dia cuba mempengaruhi mereka dengan pandangan ekstremis bersifat ganas.

“Semasa ditahan, idea serangan Lee adalah sekadar aspirasi semata-mata dan dia tidak mempunyai masa yang ditetapkan untuk melaksanakan serangan tersebut.

“Siasatan ke atas kenalan dalam talian Lee juga tidak mendapati sebarang ancaman nyata terhadap Singapura,” kata ISD.

Di samping itu, ISD mendedahkan bahawa seorang suri rumah berusia 56 tahun, Hamizah Hamzah, telah dikenakan RO pada Januari 2025 selepas didapati menjadi radikal akibat konflik Israel-Hamas.

ISD berkata wanita itu telah menunjukkan sokongan ke atas Axis of Resistance (AOR) – rangkaian ekstremis dan pengganas yang termasuk kumpulan politik dan separa tentera Hezbollah di Lebanon dan Briged Al-Qassam (AQB), sayap tentera kumpulan Hamas di Jaluran Gaza.

Menurut ISD, proses radikalisasi Hamizah tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Berikutan itu, dia mula mengikuti berita operasi ketenteraan AOR, menyertai beberapa kumpulan media sosial yang menggalakkan sokongan operasi ganas AOR dan menunjukkan sokongannya dengan memuat naik kandungan pro-AOR, antara lain, jelas ISD.

“Hamizah tidak merancang untuk menyerang atau terlibat dalam keganasan bersenjata di sini atau di luar negara.

“Namun, sokongan tegarnya terhadap AOR dan operasi keganasan kumpulan itu, kesanggupannya menyebarkan propaganda untuk mempromosikan matlamat AOR, dan menghasut individu lain untuk libatkan diri dalam keganasan bersenjata membuatkannya menjadi kebimbangan keselamatan,” kata ISD.

Kenyataan ISD itu turut menambah seorang lelaki Malaysia berusia 34 tahun, pekerja pembersihan di Singapura, telah ditahan pada November 2024 dan dihantar pulang ke Malaysia.

Saharuddin Saari didapati menyokong kumpulan pengganas ISIS, Hamas dan AQB serta didapati ingin ke zon konflik luar negara seperti Syria untuk terlibat dalam keganasan bersenjata, jelas ISD.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg