Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndranee akan bentang kenyataan menteri di Parlimen berhubung tatalaku Sylvia Lim, Faisal Manap
Indranee akan bentang kenyataan menteri di Parlimen berhubung tatalaku Sylvia Lim, Faisal Manap
Isu sekatan 14 hantaran media sosial menyasarkan masyarakat India turut dibincang pada sidang 7 Jul
Indranee akan bentang kenyataan menteri di Parlimen berhubung tatalaku Sylvia Lim, Faisal Manap
Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, bakal menyampaikan kenyataan menteri mengenai tatalaku pemimpin Parti Pekerja (WP), Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal Manap, apabila Parlimen bersidang pada 7 Julai.
Kenyataan tersebut akan menjadi satu ‘ketetapan’ terhadap hasil dapatan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) berkaitan tindakan mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan, yang berbohong di Parlimen pada 2021.
Demikian menurut kertas senarai agenda sidang Parlimen, yang diterbitkan pada 6 Julai.
Langkah ini menyusuli satu usul yang difailkan di Parlimen pada Januari 2026.
Di dalam usul berkenaan, Cik Indranee meminta Dewan mengambil maklum bahawa keputusan Mahkamah Tinggi dan dapatan COP mempunyai kesan terhadap Cik Lim dan Encik Faisal, dan ia perlu dipertimbangkan secara berasingan daripada kes Ketua WP, Encik Pritam Singh.
Encik Pritam, sebelum ini, disabitkan bersalah oleh mahkamah kerana berbohong kepada COP.
Sabitan ke atas beliau dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada Disember 2025 selepas beliau mengemukakan rayuan.
Cik Lim merupakan AP GRC Aljunied dan juga Pengerusi WP, manakala Encik Faisal menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat WP, namun bukan seorang AP.
Dewan sepakat menyokong usul tersebut meskipun kesemua 11 AP WP yang hadir menyatakan bantahan mereka.
Semasa usul tersebut dibentangkan – yang menyaksikan Dewan mendapati Encik Pritam tidak lagi layak menyandang jawatan Ketua Pembangkang (LO) – Cik Lim mempertikaikan tindakan mengaitkan beliau dan Encik Faisal dalam isu berkenaan.
Cik Lim berkata beliau dan Encik Faisal tidak diberi peluang membela diri di mahkamah, dan hasil dapatan itu tidak boleh digunakan terhadap mereka.
Cik Indranee, dalam responsnya, berkata meskipun Cik Lim tidak terlibat dalam kes mahkamah itu, COP mendapati beliau dan Encik Faisal telah berbohong mengenai perkara yang berlaku semasa satu mesyuarat bersama Cik Raeesah.
Ketiga-tiga pemimpin WP tersebut telah dipanggil menghadap COP semasa siasatan dijalankan berhubung tindakan Cik Raeesah berbohong di Parlimen.
Cik Indranee berkata meskipun Cik Lim bukan seorang saksi dan bukan pihak yang terlibat dalam prosiding mahkamah, mahkamah mendapati Cik Lim dan Encik Faisal berada di lokasi kejadian apabila Encik Pritam meminta Cik Raeesah agar tidak mendedahkan penipuannya itu hingga ke akhir hayat.
Beliau berkata perkara itu adalah konsisten dengan laporan COP, dan itulah sebabnya keputusan mahkamah mempunyai timbal balik terhadap Cik Lim dan Encik Faisal.
Cik Indranee menambah pada akhir perbahasan mengenai usul Januari 2026 itu, Dewan “tidak akan mengambil masa terlalu lama” untuk menyelesaikan kes mereka.
Sementara itu, Parlimen juga akan membincangkan tindakan Pemerintah menyekat 14 hantaran media sosial yang menyasarkan masyarakat India di Singapura.
Encik Darryl David (GRC Ang Mo Kio) telah bertanya sama ada hantaran berkenaan merupakan satu usaha terancang dan disengajakan oleh mana-mana agensi atau pertubuhan, dan jika ya, apa tindakan yang telah atau akan diambil terhadap mereka.
Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Neo Kok Beng, pula bertanya mengenai program untuk membendung pengaruh asing.
Beberapa AP PAP dan WP juga telah memfailkan 10 soalan mengenai Kempen Bertutur Bahasa Mandarin menyusuli kontroversi yang timbul berikutan keputusan awal Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk mengehadkan tayangan filem Cina, ‘Dear You’, yang sebahagian besar mengandungi pertuturan dalam dialek Teochew.
Sementara itu, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) WP, Cik Eileen Chong, bertanya sama ada penilaian Pemerintah terhadap keberkesanan Kempen Bertutur Bahasa Mandarin merangkumi sebarang petunjuk mengenai kesannya terhadap penggunaan dan pewarisan dialek Cina.
Kempen Bertutur Bahasa Mandarin telah dilancarkan pada 1979 oleh Perdana Menteri ketika itu, mendiang Encik Lee Kuan Yew, untuk menggalakkan penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa utama bagi masyarakat Cina di Singapura, berbanding penggunaan dialek.
