Topik diikuti
Pergi ke BHkuPritam kekal pimpin WP
Pritam kekal pimpin WP
Dipilih terus ketuai parti tersebut selama dua tahun lagi susulan mesyuarat khas kader
Pritam kekal pimpin WP
Encik Pritam Singh kekal memegang tampuk kepimpinan Parti Pekerja (WP) dan telah dipilih untuk terus memimpin parti tersebut bagi tempoh dua tahun lagi, susulan mesyuarat khas yang diadakan pada 28 Jun.
Supermajoriti kader mengundi Encik Pritam kekal sebagai Setiausaha Agung parti, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Gerald Giam, semasa merumuskan mesyuarat khas kader itu.
Kepimpinan teras WP mengadakan bermesyuarat pada tengah hari 28 Jun bagi meneliti kesesuaian Encik Pritam untuk kekal sebagai Setiausaha Agung.
Mesyuarat tersebut diminta oleh 25 kader yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Encik Pritam.
“Majoriti besar, bahkan supermajoriti mengundi beliau (Encik Pritam) untuk kekal sebagai Setiausaha Agung WP, jadi saya fikir ini mencerminkan komitmen parti terhadap proses demokrasi dan proses sewajarnya yang diberikan kepada Encik Pritam dan kepada semua orang yang telah meminta mesyuarat khas ini,” ujar Encik Giam kepada media.
Difahamkan jumlah kader WP yang terlibat dalam undian ini melebihi sedikit daripada 100.
Sumber parti memberitahu The Straits Times (ST) Pritam memperolehi sekitar 80 peratus undian.
Menurut Encik Giam, terdapat perbincangan yang rancak dan sivil, namun enggan memberikan butiran lanjut.
“Mesyuarat itu berakhir dengan baik, dan saya fikir undian itu merupakan petunjuk penting tentang kedudukan parti dan kedudukan kader, dari segi sokongan mereka terhadap Pritam Singh,” tambah beliau.
Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan WP selepas mesyuarat khas tersebut, parti itu berkata keputusan mesyuarat mencerminkan pertimbangan teliti oleh kader Parti, dan komitmen WP terhadap prinsip demokrasi dan proses yang sewajarnya.
“Parti ini bersatu di belakang kepimpinannya dan kekal fokus sepenuhnya kepada tugasnya bagi semua rakyat Singapura, di Parlimen dan di lapangan.
“Kami meneruskan kerja membina sistem politik yang lebih seimbang bagi Singapura,” ujar kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah semasa Persidangan Khas Anggota Kader yang diadakan, beberapa anggota kader telah memberikan pandangan mereka dan mengemukakan soalan mengenai penghakiman Mahkamah Tinggi.
Ia mensabitkan Encik Pritam kerana memalsukan keterangan melibatkan mantan Anggota Parlimen WP, Cik Raeesah Khan, di hadapan jawatankuasa Parlimen.
Encik Pritam menjawab soalan yang mereka ajukan sebelum undian rahsia dijalankan oleh kader bagi memutuskan sama ada beliau akan meneruskan peranannya sebagai Setiausaha Agung atau meletak jawatan.
Supermajoriti kader telah mengundi untuk mengekalkannya, meskipun jumlah sebenar mahupun peratusan undi tidak didedahkan WP.
WP memiliki kira-kira 100 kader, iaitu kelompok teras yang bertanggungjawab dalam proses pemilihan kepimpinan parti.
Dengan keputusan tersebut, Encik Pritam, yang kini menjawat penggal keempat sebagai AP GRC Aljunied, akan terus memegang tampuk kepimpinan WP, tanggungjawab yang dipikulnya sejak 2018.
Ditanya tentang suasana semasa mesyuarat khas pertama, Encik Pritam berkata ia adalah “mesyuarat yang dikendalikan dengan sangat profesional”.
Beliau menambah WP faham tujuannya adalah untuk bertindak secara rasional dan bertanggungjawab serta mewakili rakyat Singapura dengan setia.
“Parti ini memahami bahawa tujuannya adalah untuk berkelakuan dengan cara yang rasional dan bertanggungjawab serta mewakili rakyat Singapura... dan jika kita mahu terus melakukannya, saya fikir kita perlu bersatu seperti mana-mana parti politik yang munasabah dan dihormati patut lakukan.”
Dalam pada itu, WP juga telah mengadakan Persidangan Ahli Kader, di mana anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dilantik.
Encik Pritam dilantik semula sebagai Setiausaha Agung tanpa dicabar bagi jawatan itu.
“Ia merupakan undian yang baik dan saya sangat berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.
“Kami ada prestasi yang baik daripada individu-individu yang bersedia untuk ke hadapan dan menjadi ahli CEC,” tambah beliau.

