Dalam keadaan yang betul, hidup lebih lama boleh menjadi satu kelebihan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.

“Hakikat bahawa rakyat Singapura hidup lebih lama merupakan salah satu pencapaian negara kita yang terbesar,” katanya. 

Ia mencerminkan kemajuan selama beberapa dekad dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan, perumahan, kesihatan awam dan pembangunan ekonomi.

“Masyarakat sangat tua ialah masyarakat yang mempunyai lebih ramai orang dengan pengalaman, pengetahuan dan modal sosial yang terkumpul selama berdekad.

“Mereka telah bertahun-tahun membina kerjaya, membesarkan keluarga, membimbing orang lain dan menyumbang kepada masyarakat. Mereka boleh terus berbuat demikian selagi mereka sihat dan cergas,” tambahnya.

Sebuah masyarakat dikenali sebagai sangat tua apabila sekurang-kurangnya 21 peratus penduduknya berumur 65 tahun dan ke atas. Singapura mencapai tahap itu pada 2026.

Jangka hayat semasa lahir bagi penduduk Singapura pada 2025 ialah 83.9 tahun, antara yang tertinggi di dunia.

Cik Indranee, juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), berkata Singapura harus meraikan peningkatan jangka hayat itu dan memanfaatkannya dengan baik.

“Sekarang kita sudah melepasi ambang itu. Masyarakat sangat tua bukan lagi sekadar sesuatu yang kita bicarakan, malah sudah menjadi kenyataan.

“Kita perlu terus bertanya soalan yang sukar: Apakah yang perlu ada supaya jangka hayat yang panjang ini menjadi satu kelebihan dan bukannya beban?” tambahnya.

Namun kelebihan itu tidak datang dengan sendirinya, katanya.

“Ia bergantung pada sama ada tahun-tahun tambahan itu dilalui dengan sihat, dan sama ada kita menyediakan warga emas lebih awal,” ujar Cik Indranee.

Jurang antara jangka hayat dengan jangka hayat sihat di Singapura adalah kira-kira 11 tahun. Ini bermakna lebih sedekad dihabiskan dalam keadaan kurang sihat.

Beliau menyampaikan ucaptama di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 20 Oktober, ketika melancarkan simposium tahunan anjuran Pusat Penyelidikan Penuaan Berjaya (Rosa).

Beliau mencadangkan tiga bidang untuk membina ‘masyarakat umur panjang’, iaitu masyarakat yang membolehkan rakyatnya menjalani kehidupan yang panjang, sihat dan cergas.

Pertama, Singapura sedang membina asas bagi umur panjang yang sihat dan cergas melalui penjagaan kesihatan pencegahan dan penjagaan jangka panjang yang mudah diakses.

Untuk mendapat manfaat daripada umur panjang, tahun-tahun tambahan itu mesti dilalui dengan sihat. 

Bagi tujuan itu, Singapura telah beralih daripada merawat penyakit kepada menggalakkan kesejahteraan, melalui penjagaan pencegahan, sokongan masyarakat lebih kukuh dan hubungan sosial bermakna, katanya.

Menerusi inisiatif penjagaan kesihatan pencegahan negara, SG Lebih Sihat, penduduk digalakkan mengambil langkah proaktif untuk menjaga kesihatan, mencegah penyakit kronik dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat sebelum masalah kesihatan yang serius timbul.

Kedua, Singapura sedang mewujudkan kejiranan dan persekitaran binaan yang mesra warga emas. Ini melibatkan usaha menjadikan kejiranan lebih mudah diakses, inklusif dan menyokong penuaan di rumah sendiri.

Ketiga, Singapura perlu mengukuhkan daya tahan sepanjang hayat supaya rakyatnya lebih bersedia untuk hidup lebih lama.