Peruntukan cuti penjagaan anak baharu untuk ibu bapa yang diumumkan dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan untuk dilaksanakan, memandangkan pemerintah perlu menyelesaikan butiran operasi serta membuat perubahan perundangan dan sistem yang diperlukan.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, berkata pada 2 September bahawa masih belum ada tarikh mula bagi skim yang dirombak itu, yang memberikan setiap ibu bapa bekerja sehingga 12 hari cuti penjagaan anak setahun.

Pemerintah juga akan membayar balik majikan bagi keseluruhan tempoh semua skim cuti berkaitan anak, seperti cuti bersalin dan cuti penjagaan anak, sehingga had tertentu.

“Saya tahu semua orang inginkan ia bermula awal, tapi ingat, semasa ia diumumkan pada NDR, Perdana Menteri ada kata ini baru gambaran awal, kan?” katanya pada 2 September semasa temu bual dengan siaran radio CNA938.

Sebelum pelaksanaan itu, pemerintah perlu menyelesaikan isu operasi bersama rakan tripartit seperti majikan, kesatuan sekerja dan ibu bapa, bagi memastikan semua butiran dimuktamadkan.

Perundangan juga perlu dipinda kerana cuti penjagaan anak kini diperuntukkan di bawah Akta Simpanan Bersama Pembangunan Anak, ujar Cik Indranee.

Sistem teknologi maklumat turut perlu diteliti – pemerintah perlu menjejaki siapa yang mengambil cuti penjagaan anak bagi memastikan mereka dibayar gaji, dan majikan mereka dibayar balik jumlah yang betul untuk membayar pekerja yang menggantikan tugas ibu bapa tersebut.

“Jadi saya rasa perkara itu akan ambil sedikit masa. Sekurang-kurangnya beberapa bulan. Saya tidak dapat berikan tarikh bila ia akan bermula. Yang saya boleh kata, ini semua perkara yang perlu diselesaikan dahulu, dan kami akan umumkan tarikh mula secepat mungkin,” tambah Cik Indranee.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pernah berkata semasa NDR pada 23 Ogos bahawa skim baharu itu akan memberikan ibu bapa bekerja yang mempunyai seorang anak berusia 12 tahun ke bawah, lapan hari cuti penjagaan anak setahun. 

Mereka yang mempunyai dua anak berusia 12 tahun ke bawah akan mendapat 10 hari, manakala ibu bapa yang mempunyai tiga anak atau lebih akan mendapat 12 hari.

Ini bermakna sepasang suami isteri yang kedua-duanya bekerja dan mempunyai tiga anak atau lebih akan mempunyai sehingga 24 hari cuti antara mereka berdua.

Buat masa ini, setiap ibu bapa bekerja mendapat enam hari cuti penjagaan anak setahun apabila anak bongsu mereka berusia enam tahun ke bawah, tanpa mengira bilangan anak. 

Namun, kelayakan itu berkurang kepada dua hari cuti penjagaan anak lanjutan apabila anak bongsu berusia tujuh hingga 12 tahun.

Semasa ucapan NDR, Encik Wong turut mengumumkan Pakej Sokongan Anak baharu yang akan menyediakan hampir $70,000 bantuan pemerintah untuk setiap anak warga Singapura, dari lahir hingga membesar.

Apabila ditanya bagaimana pemerintah mendapat angka tersebut, Cik Indranee menjelaskan bahawa jumlah itu terdiri daripada Pakej Bantuan Anak SG baharu, bernilai sehingga $62,000, serta faedah sedia ada seperti Geran MediSave untuk Bayi Baharu Lahir bernilai $5,000 dan sumbangan Edusave semasa di sekolah rendah dan menengah.

Pakej baharu itu merangkumi Hadiah Bayi bernilai $10,000, Kredit Anak bernilai $32,000, Geran Langkah Pertama Akaun Pembangunan Anak (CDA) bernilai $5,000, sumbangan padanan pemerintah sehingga $5,000, serta tambahan Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) bernilai $10,000.

Beliau berkata pemerintah meneliti perbelanjaan penting yang lazim dihadapi keluarga semasa anak membesar, termasuk makanan, utiliti, penjagaan kesihatan, prasekolah dan pendidikan.