Sokongan lebih besar untuk keluarga, termasuk dalam menangani kos membesarkan anak dan penjagaan kanak-kanak, akan menjadi antara tumpuan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 23 Ogos.

Ia merupakan langkah yang disifatkan sebagai ‘gelombang pertama’ di bawah usaha penetapan semula Perkahwinan dan Keibubapaan, sedang Singapura berdepan jumlah kadar kesuburan (TFR) yang terus merosot dan mencecah paras terendah dalam sejarah.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, berkata kumpulan kerja yang telah dibentuk bagi meninjau usaha set semula perkahwinan dan keibubapaan mengemukakan beberapa saranan dasar sementara selepas mendapati terdapat isu yang boleh ditangani lebih awal, sebelum laporan penuhnya yang bakal dikeluarkan pada awal 2027.

Antaranya, ialah kos membesarkan anak, akses kepada penjagaan bayi dan kanak-kanak yang berpatutan serta bentuk sokongan lain untuk keluarga.

“Daripada menunggu, oleh sebab ini merupakan isu penting, lebih baik kita menanganinya lebih awal dan secara langsung,” kata Cik Indranee, yang mempengerusikan kumpulan kerja itu, ketika ditemui media di D’Marquee, Downtown East, sempena Majlis Makan Malam Hari Kebangsaan Pasir Ris-Changi, pada 15 Ogos.

Menurutnya, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan memberi tumpuan kepada “sokongan lebih besar yang boleh kita berikan kepada keluarga” dalam NDR.

“NDR akan datang ibarat gelombang pertama perkara yang ingin kami lakukan. Tetapi akan ada lebih banyak lagi usaha selepas ini,” katanya.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Cik Indranee berkata hasil pendampingan kumpulan kerja dengan rakyat sejak beberapa bulan lalu menunjukkan ramai masih berhasrat untuk berkahwin dan mempunyai anak.

Namun, mereka berdepan cabaran termasuk kos membesarkan anak, keperluan meluangkan masa bersama keluarga, aturan penjagaan serta perumahan.

Beliau turut menekankan dasar sahaja tidak mampu membalikkan trend TFR dan usaha itu memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.

Ini termasuk majikan yang membentuk budaya kerja mesra keluarga dan penyelia yang memberi kelonggaran apabila ibu bapa perlu menguruskan hal keluarga.

Ketika ditemui media, Cik Indranee berkata budaya tempat kerja akan menjadi satu lagi bidang utama yang diteliti, termasuk keseimbangan antara kerja-kehidupan, permohonan cuti dan pelaksanaan aturan kerja fleksibel (FWA).

“Jika penyelia anda mempunyai empati dan gembira untuk anda kerana mempunyai anak, ia menjadikan keadaan lebih mudah,” katanya.

TFR Singapura jatuh kepada 0.87 pada 2025, paras terendah sejauh ini. Jumlah kelahiran hidup turut merosot kepada bawah 30,000 buat kali pertama dalam 60 tahun, susut 11.4 peratus berbanding 2024.

Sekitar 24,700 perkahwinan pula didaftarkan pada 2025, turun 6.2 peratus berbanding tahun sebelumnya (2024).

“Memandangkan bilangan perkahwinan semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita berkemungkinan akan menyaksikan bilangan kelahiran yang lebih rendah pada tahun ini,” ujar Cik Indranee.