Persatuan Industri Marin Singapura (Asmi) mengiktiraf veteran industri yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi dan semangat yang tidak berbelah bagi dalam industri tenaga marin dan luar pesisir (M&O) dalam acara ulang tahun ke 56-tahunnya pada 15 November.
Pada 2024, Encik Abu Bakar Mohd Nor, yang menyandang jawatan Pengerusi Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Pengiktirafan Khas Asmi itu di acara makan malam yang diadakan di Marina Bay Sands.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), mantan Presiden Asmi itu berkata beliau berasa rendah hati atas pengiktirafan khas itu, setelah memainkan peranan penting dalam membentuk kededua Asmi dan industri.
“Bagi saya, pemenang sebenar adalah pekerja, tak kira lelaki atau wanita, yang tidak putus-putus menyokong dan menempuh perjalanan bersama saya dari zaman saya sebagai pelatih muda kepada pengurusan kanan dan sepanjang tempoh saya sebagai Presiden Asmi,” jelas beliau yang mengakui berbesar hati.
Tetamu terhormat, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, berkata dalam hantarannya di wadah LinkedIn:
“Adalah penting memupuk kepercayaan dan keterbukaan terhadap keselamatan dan kesihatan melindungi nyawa dan memperkasakan perniagaan dan pekerja mereka untuk menyesuaikan diri dan berkembang, kerana ia dapat mewujudkan ruang yang selamat untuk menyuarakan kebimbangan dan cadangan.”
Beliau menambah bahawa sektor M&O mengharungi perubahan yang lebih luas seperti peralihan tenaga dan pendigitalan, kepercayaan dan keterbukaan adalah penting untuk membina daya tahan dan kejayaan jangka panjang.
“Keselamatan, kesihatan dan kemajuan berjalan seiring, dan pemimpin seperti Abu Bakar adalah kunci dalam membentuk sektor M&O yang berdaya tahan dan berpandang ke hadapan,” tambah Encik Tan.
Selain jawatannya sebagai Pengerusi WSH, penerima Anugerah Jauhari Berita Harian pada 2017 itu turut menyandang jawatan sebagai Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
Menurut jurucakap Asmi, sumbangan dan sokongan Encik Abu Bakar yang berterusan memainkan peranan penting dalam membentuk Asmi dan industri.
“Encik Abu Bakar telah membuat sumbangan luar biasa kepada Asmi dan komuniti tenaga marin dan luar pesisir yang lebih luas.
“Sebagai mantan Presiden Asmi, beliau memainkan peranan penting dalam memperjuangkan penubuhan Pejabat Program Transformasi Industri, satu inisiatif penting yang bertujuan memacu inovasi dan kesediaan masa depan merentas sektor.
“Kepimpinan Encik Abu Bakar dalam peranan ini membawa projek transformatif dan meletakkan asas untuk pertumbuhan mapan dan daya saing dalam industri,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg