Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inflasi teras S’pura turun kepada 0.5% pada Jul

Hanya harga makanan, pengangkutan privet catat kenaikan harga lebih tinggi
Aug 25, 2025 | 6:47 PM
Kadar inflasi teras yang lebih rendah pada Julai, didorong harga barangan runcit dan barangan lain yang merosot, serta inflasi elektrik dan gas yang lebih rendah,
Kadar inflasi teras yang lebih rendah pada Julai, didorong harga barangan runcit dan barangan lain yang merosot, serta inflasi elektrik dan gas yang lebih rendah, - Foto ST

Kenaikan harga pengguna berkurangan sedikit pada Julai, dengan inflasi teras turun kepada 0.5 peratus berbanding Julai 2024.

Inflasi teras mencatat 0.6 peratus pada Jun, sama seperti Mei, selepas ia mencapai paras terendah dalam empat tahun iaitu 0.5 peratus pada Mac.

Kadar inflasi teras yang lebih rendah itu didorong oleh harga barangan runcit dan barangan lain yang merosot.

Ia turut disebabkan inflasi elektrik dan gas yang lebih rendah, lapor Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan bersama pada 25 Ogos.

Inflasi teras tidak termasuk pengangkutan dan penginapan privet bagi menggambarkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih baik, lapor The Straits Times (ST). 

Kadar inflasi teras pada Julai adalah lebih rendah daripada ramalan 0.6 peratus oleh pakar ekonomi dalam satu tinjauan Bloomberg.

Sementara itu, inflasi keseluruhan berkurangan kepada 0.6 peratus pada Julai 2025 berbanding Julai 2024, dan 0.8 peratus pada Jun, disebabkan peningkatan lebih kecil dalam kos penginapan.

Inflasi teras turun 0.1 peratus pada Julai berbanding Jun, manakala inflasi keseluruhan susut kepada 0.4 peratus pada Julai berbanding Jun.

Dua kategori mencatat harga yang merosot pada Julai 2025 berbanding Julai 2024.

Harga barangan runcit dan barangan lain susut 0.5 peratus selepas kekal tidak berubah pada Jun, disebabkan harga pakaian, kasut, dan peralatan rumah yang lebih rendah.

Kos elektrik dan gas terus merosot sebanyak 5.6 peratus pada Julai, berbanding Julai 2024, disebabkan penurunan lebih besar dalam harga elektrik.

Kos penginapan meningkat pada kadar lebih perlahan, iaitu 0.5 peratus, berikutan kenaikan lebih kecil dalam kos penyelenggaraan dan pembaikan rumah, serta sewa rumah.

Namun, dua kategori mencatat kenaikan harga lebih tinggi.

Harga pengangkutan privet naik kepada 2.1 peratus pada Julai, disebabkan harga kereta yang naik pada kadar lebih tinggi.

Harga makanan pula naik kepada 1.1 peratus pada Julai, berbanding 1 peratus pada Jun, kerana harga perkhidmatan makanan dan makanan tidak dimasak naik pada kadar lebih pantas.

MAS dan MTI mengekalkan ramalannya bahawa inflasi teras dan keseluruhan akan mencapai purata antara 0.5 peratus dengan 1.5 peratus bagi 2025.

“Kejutan geopolitik boleh menyebabkan kos tenaga dan penghantaran barangan import meningkat dengan mendadak,” ujar MAS dan MTI.

Namun begitu, “jika pertumbuhan sejagat dan domestik lebih perlahan dan lebih lemah daripada jangkaan, inflasi teras mungkin kekal rendah untuk tempoh lebih lama”, katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg