Topik diikuti
Pergi ke BHkuInisiatif baharu perkasa orang kurang upaya, penjaga rancang masa depan secara proaktif
Inisiatif baharu perkasa orang kurang upaya, penjaga rancang masa depan secara proaktif
Usaha MSF, SG Enable mula 2027, rangkumi lima teras iaitu penjagaan kesihatan, perumahan, kewangan, aspek hubungan dan penglibatan bermakna
Inisiatif baharu perkasa orang kurang upaya, penjaga rancang masa depan secara proaktif
Orang kurang upaya dan penjaga mereka bakal menerima sokongan tambahan khusus agar mereka dapat merancang keperluan penjagaan masa hadapan secara proaktif mulai 2027 di bawah satu inisiatif baharu.
Dikenali sebagai Perancangan Penjagaan bagi Masa Hadapan atau Future Care Planning (FCP), perancang penjagaan daripada agensi sosial SG Enable akan mendampingi dan membimbing golongan ini merancang pengurusan penjagaan mereka.
Demikian kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan pada 4 Oktober.
Menurut MSF, perancangan tersebut merangkumi usaha mengenal pasti keperluan semasa dan masa hadapan, melakar pelan tindakan, serta menghubungkan golongan ini dengan perkhidmatan sokongan yang relevan.
Pelan tersebut juga akan dinilai secara berkala mengikut perubahan keperluan semasa.
Kementerian itu menambah, inisiatif tersebut akan tertumpu pada lima teras, iaitu penjagaan kesihatan dan perubatan, perumahan, kewangan, aspek hubungan dan penglibatan bermakna.
Daya usaha yang diterajui bersama MSF dan SG Enable itu merupakan salah satu usaha daripada hasil laporan saranan oleh Pasukan Petugas Jaminan bagi Keluarga dengan Orang Kurang Upaya yang diterbitkan pada 4 Oktober.
Pembentukan pasukan petugas ini kali pertama diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Disember 2025 demi memperkukuh sokongan bagi orang kurang upaya dan keluarga mereka mengharungi pelbagai peringkat kehidupan.
Ia dibentuk menyusuli kebimbangan yang diutarakan penjaga orang kurang upaya berhubung aspek kesediaan pekerjaan, usaha dalam membantu golongan tersebut menjalani kehidupan berdikari dan sokongan jangka panjang selepas mereka tamat pendidikan di Sekolah Pendidikan Khas (Sped).
Pembentukan pasukan petugas ini mendukung Pelan Induk bagi menyokong golongan kurang upaya (EMP2030) yang sedia ada, tambah MSF.
Inti pati laporan itu dibentangkan oleh anggota pasukan petugas, dipengerusikan Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, dalam sidang media di Enabling Village pada 2 Oktober.
Encik Goh menyifatkan falsafah di sebalik saranan yang telah dibentangkan sebagai langkah memperkukuhkan sokongan bagi orang kurang upaya dan keluarga mereka menempuhi titik peralihan utama sepanjang kehidupan.
Beliau berkata: “Kami lihat tempoh pembelajaran di bangku sekolah sehingga tempoh mendapat pekerjaan sebagai satu titik peralihan utama.
“Dari tempoh pembelajaran dan penyepaduan dalam masyarakat dan perkhidmatan masyarakat, ia juga satu titik peralihan. Kemudian pekerjaan itu sendiri boleh saling bertukar, jadi itu satu lagi titik peralihan.
“Apa yang kami lakukan adalah mengukuhkan lagi struktur sokongan dalam setiap tempoh peralihan untuk memastikan setiap tindakan yang penuh dengan ketidaktentuan disokong dengan baik.”
FCP sebagai contoh, tambah Encik Goh, merupakan inisiatif yang memberikan keyakinan kepada penjaga dan orang kurang upaya agar mereka “tidak dibebankan dengan terlalu banyak maklumat” daripada sumber berbeza dan mendampingi mereka untuk menempuhi masa hadapan bersama-sama.
Selain Encik Goh, pasukan petugas itu turut dianggotai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Ini di samping Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang.
Menurut laporan saranan itu, inisiatif FCP tersebut dilakar memandangkan terdapat kebimbangan dalam kalangan penjaga atau anggota keluarga golongan kurang upaya mengenai beban perancangan yang dipikul mereka, khususnya dalam tempoh peralihan.
Ini di samping tekanan kos sepanjang hayat terkait dengan perkhidmatan penjagaan bagi orang kurang upaya yang ditanggung penjaga atau anggota keluarga golongan ini.
Justeru, FCP kini diuji di tiga pusat perkhidmatan bagi golongan kurang upaya dan akan diperluaskan kepada lebih banyak pusat perkhidmatan dalam tahun-tahun mendatang bagi “memahami matlamat penjaga dan golongan ini dan mempersiapkan mereka untuk sebarang ketidaktentuan”.
Ia turut menghubungkan mereka kepada perkhidmatan yang tepat dan meneroka pilihan lebih luas, kata laporan itu.
Perancang Penjagaan di Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds), Cik Nur Rasheqah Mohd Rashed, berkata perancangan penjagaan adalah satu aspek yang harus dititikberatkan kerana ia memberi ruang kepada penjaga mengenal pasti keperluan mereka agar sebarang persiapan dapat dilakukan lebih awal.
Secara umum, beliau berkata proses rancangan penjagaan ini disimpulkan kepada empat bahagian – mengenal pasti latar belakang individu dan anggota keluarga, memenuhi keperluan dan matlamat jangka pendek, sebelum mengenal pasti perancangan penjagaan bagi jangka panjang dan kemudian mendampingi mereka menyesuaikan pelan ini merentasi peringkat kehidupan berbeza.
“Adalah penting untuk orang kurang upaya dan penjaga mereka mulakan perancangan awal.
“Sebagai contoh, seandainya penjaga meninggal dunia atau apa-apa berlaku (kepada diri penjaga), apa langkah atau aturan yang patut diambil.
“Jadi perancangan awal mempersiapkan golongan ini untuk sebarang kemungkinan yang boleh berlaku,” ujar Cik Nur Rasheqah.
Sejak insiatif itu diuji pada April, beliau telah mengadakan interaksi dengan sekitar 30 penjaga orang kurang upaya.
FCP ini, tambah laporan itu, akan turut melengkapi Pelan Peralihan Individu (ITP) bagi pelajar yang berada di bawah sekolah Sped.
ITP diorak secara bersama oleh pelajar dan Penyelaras Perancang Peralihan (TPC) di setiap sekolah Sped bagi menilai laluan yang paling sesuai dengan minat pelajar selepas mereka tamat persekolahan.
Pihak sekolah turut membantu menghubungkan mereka dengan perkhidmatan yang relevan.