Lebih banyak bantuan akan diberikan kepada individu kurang upaya untuk hidup berdikari dalam masyarakat, dengan adanya dua program perintis oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Program Kehidupan Berupaya (ELP) dan Program Sokongan Rumah (HSP) akan menyokong individu kurang upaya yang memerlukan sokongan rendah hingga sederhana untuk terus hidup dalam masyarakat dan bukannya diinstitusikan jika mereka tidak mempunyai bantuan penjaga dan pilihan kediaman alternatif.
Sehingga 250 individu kurang upaya akan mengambil bahagian dalam kedua-dua program dalam tempoh perintis.
Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua, mengumumkan dua skim tersebut pada 10 Mac semasa perbahasan Belanjawan MSF.
Beliau berkata perkhidmatan lawatan HSP, iaitu apabila kakitangan melawat individu kurang upaya di rumah mereka, akan membantu ramai individu kurang upaya yang tinggal dengan penjaga yang semakin tua yang mungkin tidak lama lagi tidak dapat menjaga mereka.
“Tanpa pilihan lain, mereka mungkin akhirnya diinstitusikan,” kata Encik Chua.
Contohnya, seseorang yang kurang upaya intelek mungkin mendapat manfaat daripada perkhidmatan seperti perkhidmatan pemantauan dan peringatan, bimbingan tentang kehidupan berdikari dan kemahiran sosial, dan perancangan penjagaan masa depan tentang bagaimana mereka boleh hidup berdikari selepas penjaga mereka meninggal dunia.
HSP akan bermula pada 2026.
ELP akan membantu individu kurang upaya yang tidak dapat tinggal bersama keluarga dan memerlukan sokongan, seperti individu kurang upaya berpendapatan rendah yang penjaga mereka telah meninggal dunia.
Mereka akan tinggal berdua di flat sewa awam yang dikhaskan bagi perintis tersebut, di mana mereka boleh menerima perkhidmatan untuk kehidupan harian seperti penyeliaan asas, bantuan kewangan dan bimbingan tentang kehidupan berdikari dan kemahiran sosial.
ELP pula akan bermula pada separuh kedua 2025. Empat tapak bagi flat-flat ini akan disahkan sekitar pertengahan 2025.
Kedua-dua ELP dan HSP akan disubsidi berdasarkan ujian kemampuan, kata MSF.
Klien akan membayar yuran program, yang akan diumumkan kelak.
Program-program itu diperkenal di tengah-tengah desakan untuk menyokong golongan kurang upaya dalam meneruskan hidup berdikari dalam masyarakat selama mungkin.
MSF berkata sehingga Disember 2024, sekitar 1,000 individu kurang upaya tinggal di 11 rumah golongan kurang upaya dewasa di Singapura – kebanyakannya mempunyai kadar penghunian hampir 80 peratus.
Kemasukan individu kurang upaya ke rumah sebegitu harus dianggap “sebagai pilihan terakhir dan hanya apabila ia adalah demi kepentingan terbaik mereka”, tambah kementerian tersebut.
“Mereka harus digalakkan dan disokong untuk hidup dalam masyarakat selama mungkin.”
Selain itu, terdapat rancangan untuk meningkatkan pembelajaran sepanjang hayat untuk individu kurang upaya.
Encik Chua mengumumkan pelancaran Program Pendayaan Kemahiran untuk Kehidupan (Enabling Skills for Life) MSF dengan bengkel terlindung dan pusat kegiatan harian terpilih.
Program perintis akan dilancarkan pada suku keempat 2025 dan berlangsung sehingga 2028.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg