Mulai 2027, seramai 50 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah bakal menerima latihan seni khusus secara percuma menerusi Akademi Muda ‘You’ve Got Talent’ (YGT) yang baru.

Kanak-kanak itu, yang telah lulus daripada Program YGT di bawah kendalian Dana Masyarakat Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), akan mengikuti kurikulum seni selama setahun di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).

Di sana, mereka bakal menerima pendidikan berstruktur serta pembangunan berimpak tinggi bagi mengasah minat dan bakat mereka dalam bidang seni.

Yuran pengajian akan ditaja sepenuhnya oleh Dana Masyarakat NTUC.

Dana Masyarakat NTUC dan Nafa mengumumkan inisiatif tersebut semasa majlis penyampaian sijil bagi peserta YGT dari Jalan Kayu pada 17 Oktober.

Majlis tersebut, yang berlangsung di Kelab Masyarakat Fernvale, meraikan pencapaian 31 kanak-kanak dan sembilan warga emas yang telah menamatkan program seni dan kraf merentas generasi.

Program YGT diperkenalkan oleh Dana Masyarakat NTUC menerusi pusat prasekolah, My First Skool (MFS), pada 2025.

Ia menawarkan kegiatan berkaitan seni dan sukan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, di samping memupuk hubungan mesra antara generasi.

Pada Oktober lalu, program tersebut diperluas ke peringkat masyarakat umum melalui kerjasama dengan pelbagai agensi perkhidmatan sosial di luar rangkaian NTUC.

Kini, program YGT beroperasi di 13 kawasan perumahan, merangkumi 60 pusat MFS, dan telah memberi manfaat kepada 820 kanak-kanak serta warga emas.

Seiring dengan pelancaran Akademi Muda YGT, Dana Masyarakat NTUC merancang memperluas program YGT ke 20 kawasan perumahan, termasuk 90 pusat MFS, menjelang 2027 bagi menyantuni sekitar 1,200 benefisiari.

Setiausaha Agung NTUC yang juga Penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng, berkata:

“Sebagai satu masyarakat, kita mahu setiap kanak-kanak mempunyai peluang untuk belajar, meneroka dan memupuk minat mereka.

“Pengalaman di luar bilik darjah, sama ada dalam bidang seni, muzik atau sukan, membantu anak-anak kita membina keyakinan diri, kreativiti dan keberanian untuk mencuba perkara baharu.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan