SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

NTUC sasar $500j untuk kukuhkan sokongan anak, warga emas

NTUC sasar $500j untuk kukuhkan sokongan anak, warga emas

Dana Masyarakat NTUC yang dilancar pada 9 April satukan dua dana sedia ada
Apr 9, 2026 | 5:29 PM

NTUC sasar $500j untuk kukuhkan sokongan anak, warga emas

Dana Masyarakat NTUC, Ng Chee Meng, 500 juta dolar
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng (empat dari kanan), berkata dana baharu itu akan membantu lebih banyak keluarga berpendapatan rendah atau yang memerlukan sokongan tambahan mendapat akses yang lebih baik kepada pendidikan awal dan sokongan intervensi, manakala lebih ramai warga emas akan menerima sokongan untuk perkhidmatan penting serta program menua. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dana endowmen baharu berjumlah $500 juta akan diwujudkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dalam tempoh lima tahun akan datang, bagi memperkasa sokongan kepada anak-anak dan warga emas di Singapura.

Sejumlah $12 juta akan disalurkan pada 2026 untuk program yang menyokong pertumbuhan kanak-kanak dan penjagaan warga emas.

Dana Masyarakat NTUC, yang dilancarkan pada 9 April, menyatukan dua dana sedia ada di bawah NTUC. Langkah ini bertujuan menyelaras bantuan dengan lebih cekap dan meluaskan jangkauan sokongan kepada lebih ramai individu.

Dana ini menggabungkan Dana Bright Horizons daripada NTUC First Campus dan Dana Kesihatan Sepanjang Hayat, membentuk modal asas awal sebanyak $200 juta.

Dana Masyarakat NTUC kemudiannya akan terus berkembang melalui sumbangan daripada perniagaan di bawah NTUC Enterprise.

Kini, dana ini menyokong 7,000 kanak-kanak dan 2,000 warga emas setiap tahun.

Dalam tiga tahun mendatang, sasaran akan diperluas untuk menyokong 10,000 kanak-kanak dan 3,000 warga emas setiap tahun.

Bercakap pada majlis pelancaran di Pusat Penjagaan Harian Warga Emas NTUC di Serangoon, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkongsi bahawa ramai keluarga berpendapatan rendah meluahkan kerisauan tentang cara memastikan peluang yang saksama untuk anak-anak mereka dan penjagaan yang baik buat ibu bapa yang semakin uzur.

Beliau menekankan bahawa kerisauan ini “sehaluan dengan misi sosial utama NTUC”, dan dana baharu ini akan mengukuhkan bantuan untuk keluarga yang menghadapi pelbagai cabaran hidup.

“Dengan sasaran $500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang, kami akan terus menyokong pekerja dan keluarga mereka di setiap fasa kehidupan, menunjukkan keprihatinan dan mendampingi mereka dalam mengharungi segala cabaran,” kata beliau.

“Melalui perluasan usaha dana ini, lebih banyak keluarga berpendapatan rendah atau yang memerlukan bantuan tambahan akan mendapat akses yang lebih baik kepada pendidikan awal dan sokongan intervensi. Sementara itu, lebih ramai warga emas akan menerima bantuan untuk perkhidmatan penting serta program penuaan sihat,” tambah Encik Ng.

Beliau juga menegaskan bahawa Dana Masyarakat NTUC akan sentiasa diperluas untuk memenuhi keperluan masa depan, melalui pelancaran inisiatif dan pendekatan yang inovatif.

“Matlamat kami adalah untuk menggandakan manfaat, dengan meningkatkan mutu penjagaan keseluruhan dan memastikan sokongan yang disediakan berkembang selaras dengan keperluan masyarakat,” tambahnya.

Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng (kanan) dan Speaker Parlimen dan Anggota Parlimen GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Seah Kian Peng (kiri) berinteraksi dengan kanak-kanak di majlis pelancaran Dana Komuniti NTUC pada 9 April. Dana Komuniti NTUC akan menyokong pelbagai program intervensi awal melalui pendedahan kepada seni, sukan dan muzik.
Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng (kanan) dan Speaker Parlimen dan Anggota Parlimen GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Seah Kian Peng (kiri) berinteraksi dengan kanak-kanak di majlis pelancaran Dana Komuniti NTUC pada 9 April. Dana Komuniti NTUC akan menyokong pelbagai program intervensi awal melalui pendedahan kepada seni, sukan dan muzik. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dana baharu ini akan memastikan kanak-kanak mendapat akses saksama kepada pendidikan awal, terutama bagi mereka daripada keluarga berpendapatan rendah dan yang memerlukan sokongan pembangunan tambahan.

Salah satu inisiatifnya ialah Program Pakar Sokongan Pembangunan, yang menawarkan intervensi dan terapi di prasekolah. Pakar-pakar ini akan bekerjasama dengan guru untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan, sekali gus meningkatkan interaksi sosial, kawalan emosi, dan penyertaan dalam kelas.

Program ini, yang kini dilaksanakan di My First Skool, akan diperluaskan kepada pengendali prasekolah lain.

Bagi warga emas pula, mereka akan menerima bantuan kewangan untuk perkhidmatan penting, seperti rumah jagaan dan jagaan harian, khususnya bagi yang berpendapatan rendah.

Dana tersebut juga akan mengukuhkan program untuk membantu warga emas mengatasi kesunyian sosial dan menyokong penuaan yang aktif, termasuk program Bola Sepak Berjalan dan Kafe Masyarakat.

Bagi warga emas, Dana Masyarakat NTUC akan menyediakan bantuan kewangan untuk mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan penjagaan, serta program untuk menyokong penuaan secara aktif dan holistik.
Bagi warga emas, Dana Masyarakat NTUC akan menyediakan bantuan kewangan untuk mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan penjagaan, serta program untuk menyokong penuaan secara aktif dan holistik. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Antara yang menerima manfaat dana ini ialah Cik Zuliyana Hamid.

Beliau bangkit daripada kepiluan setelah kehilangan suami secara mengejut akibat serangan jantung pada Mac 2025.

Mengimbau detik mencabar itu kepada Berita Harian (BH), ibu berusia 45 tahun ini bergelut dengan kesedihan mendalam sambil membesarkan dua cahaya mata – seorang bayi lelaki berusia enam bulan dan anak perempuan berusia lima tahun.

Cabaran bertambah apabila guru-guru di prasekolah My First Skool memaklumkan bahawa anak perempuannya, Sera Fina Mohd Fikri, memerlukan sokongan untuk membina kemahiran bertutur, mengira, dan membaca.

Menerusi Dana Masyarakat NTUC dan bantuan pelbagai pihak, Cik Zuliyana berjaya kembali ke landasan yang stabil.

Sejak Mei 2025, beliau menerima sokongan pemulihan emosi, bantuan kewangan, dan rujukan kepada skim sokongan seperti Comlink+ dan KidStart.

Kini, Cik Zuliyana kembali bekerja sebagai pekerja perkhidmatan di McDonald’s setelah terpaksa berehat seketika.

Beliau juga bersyukur pendaftaran anak perempuannya ke Pusat Intervensi Awal AWWA telah mempersiapkannya untuk memulakan pengajaran di sekolah rendah pada 2027.

“Saya amat bersyukur atas sokongan berterusan pihak NTUC. Bukan sahaja bantuan kewangan, malah sokongan emosi juga diberi.

“Bantuan daripada dana itu turut membantu saya memberi tumpuan kepada menjaga anak-anak dan membina masa depan yang cerah,” katanya sambil tersenyum.

Cik Zuliyana Hamid, 45 tahun, bersyukur kerana Dana Masyarakat NTUC menyediakan sokongan menyeluruh, termasuk bantuan kewangan dan emosi, yang membantunya membina masa depan yang lebih cerah untuk dua anaknya selepas mengharungi tempoh sukar menyusuli pemergian suaminya pada Mac 2025.
Cik Zuliyana Hamid, 45 tahun, bersyukur kerana Dana Masyarakat NTUC menyediakan sokongan menyeluruh, termasuk bantuan kewangan dan emosi, yang membantunya membina masa depan yang lebih cerah untuk dua anaknya selepas mengharungi tempoh sukar menyusuli pemergian suaminya pada Mac 2025. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg