Program Sihat Membesar SG (Grow Well SG), iaitu inisiatif penggalakan kesihatan nasional untuk kanak-kanak dan remaja, akan diperluas kepada pelajar Menengah 1 dan 2 di 20 sekolah pada awal 2027.

Ia kemudian akan diperluas ke semua sekolah menengah pada 2028. 

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 22 Oktober.

Tujuannya adalah untuk mengukuhkan peranan sekolah sebagai tempat utama bagi golongan muda belajar membina daya tahan lebih awal dan menghadapi cabaran kesihatan mental, kata Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.

“Selain keluarga, sekolah ialah bahagian penting dalam kehidupan seorang anak muda. Di sinilah mereka belajar dan membesar, menerima dan memberi sokongan, serta berasa selamat untuk tampil meminta bantuan apabila menghadapi cabaran peribadi,” katanya ketika berucap pada Persidangan Terapi Keluarga Sistemik Singapura (Singapore Systemic Family Therapy Conference) di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

“Sekolah kita sudah pun melakukan sebahagian daripada ini, termasuk membina daya tahan melalui kurikulum, hubungan yang menyokong dan akses kepada kaunselor sekolah. Kami mahu memperkukuh usaha ini melalui Sihat Membesar SG.”

Golongan muda juga akan lebih mudah mendapat sokongan kesihatan mental apabila mereka memerlukannya.

Kementerian Kesihatan (MOH) akan menyatukan pasukan kesihatan mental masyarakat yang sedia ada ke dalam satu rangkaian di bawah rangka kerja bersepadu yang dipanggil  Minda Lebih Sihat SG (HealthierMind SG). 

Ini akan mengintegrasikan perkhidmatan dengan lebih baik dan membantu individu mengharungi sistem serta mendapatkan sokongan yang sesuai dengan lebih mudah, katanya.

Halangan yang paling ketara ialah stigma.

Golongan muda mungkin teragak-agak untuk meminta bantuan, bukan kerana mereka tidak mahu pulih, tetapi kerana bimbang tentang akibatnya, katanya.

“Mereka bimbang sama ada ia akan meninggalkan kesan kekal pada rekod mereka dan menjejaskan masa depan, sama ada ia akan mengecewakan keluarga, dan sama ada mereka akan dihakimi oleh orang di sekeliling,” tambahnya.

Justeru, penyelesaian jangka panjang, seperti cara penyakit kronik lain diurus, terletak pada pencegahan dan menangani masalah itu lebih awal sebelum ia menjadi teruk.

“Kita mesti campur tangan lebih awal untuk membantu orang kekal sihat dari segi mental, mengenal pasti masalah awal dan menyokong mereka dalam masyarakat.

“Jika kita melakukannya dengan baik, seseorang tidak perlu menghadapi tekanan ini bersendirian. Mereka boleh disokong oleh orang dan persekitaran di sekeliling mereka, terutamanya keluarga, sekolah dan masyarakat,” kata Encik Ong dalam ucapannya.

Keperluan kesihatan mental semakin meningkat di Singapura.

Satu daripada tiga anak muda berumur 10 hingga 18 tahun melaporkan simptom kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

Di bawah program  Sihat Membesar SG, setiap pelajar sekolah menengah akan menyediakan pelan kesihatan peribadi bersama pakar penjagaan kesihatan. 

Berbeza daripada pelan untuk pelajar sekolah rendah, Pelan Kesihatan Sihat Membesar SG untuk sekolah menengah akan memberi tumpuan kepada menjadikan perbualan tentang kesihatan mental sebagai perkara biasa dan meningkatkan kesedaran tentang sokongan kesihatan mental yang ada, kata Encik Ong.

 Sihat Membesar SG dilancarkan pada awal 2025 oleh MOH, Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF). 

Program itu bertujuan menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja bagi menangani kesihatan dan kesejahteraan mereka dalam era digital.