Lebih banyak inisiatif akan diperkenalkan oleh Tadika Yayasan Masyarakat PAP (PCF) untuk memupuk persekitaran pembelajaran yang inklusif dan peralihan yang lebih lancar kepada persekolahan formal untuk kanak-kanak prasekolah.
Ini termasuk kerjasama dengan Institut Sains Klinikal Singapura (SIC) di bawah Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) dan Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk merintis alat kesediaan sekolah yang sudah diuji di 18 pusat dan memanfaatkan lebih 500 kanak-kanak.
Ini juga seiring pelaksanaan Program Development Support-plus (DS-Plus) – satu inisiatif perintis yang dibangunkan oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA).
Bercakap semasa pembukaan acara Hari Keluarga PCF yang dihadiri sekitar 300 keluarga di Bird Paradise pada pagi Ahad, Timbalan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong berkata:
“PCF telah berusaha keras untuk meningkatkan mutu perkhidmatan prasekolah. Ini memerlukan inovasi yang berterusan untuk merintis cara-cara baru untuk membantu anak-anak kita.
“Sebagai contoh, PCF bekerjasama dengan A*STAR dan NUS untuk membangunkan alat diagnostik baru dan senarai semakan untuk guru prasekolah agar lebih memahami keperluan pembelajaran dan pembangunan setiap kanak-kanak.
“Ini akan membolehkan guru PCF untuk menyesuaikan aktiviti bilik darjah mereka dengan lebih baik dan meningkatkan taraf pengajaran,” jelas Encik Wong.
Kerjasama itu hingga Jun 2025, melibatkan penggunaan alat kesediaan sekolah, yang berperanan sebagai alat memeriksa keupayaan pra-akademik kanak-kanak melalui aktiviti interaktif berasaskan permainan, penilaian bahasa kanak-kanak dan mengira.
Ini membolehkan guru untuk menentukan jenis sokongan tambahan yang mungkin diperlukan.
Sejajar dengan komitmen PCF ke arah inklusiviti dan terus menyokong kanak-kanak yang memerlukan bantuan pembelajaran, PCF telah melaksanakan Program DS-Plus oleh ECDA.
Program itu, khusus untuk kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, untuk membangun dan mengukuhkan pertuturan, kemahiran sosial dan keupayaan literasi mereka.
Ia juga bertujuan memupuk persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif untuk kanak-kanak PCF Sparkletots yang memerlukan campur tangan awal (EI), dan menyokong persediaan mereka dalam peralihan ke sekolah aliran utama.
Menjelang 2024, PCF bermatlamat untuk meluaskan Program DS-Plus kepada 50 prasekolah Sparkletots.
Selain prasekolah, PCF juga telah mula menyokong golongan warga emas dengan tujuh pusat jagaan warga emas, Spakle Care.
“Ia (pusat jagaan Sparkle Care) akan berkembang menjadi pusat penuaan aktif. Perkembangan baru ini sangat berguna untuk menjaga warga emas kita dengan lebih baik dalam masyarakat,” kata Encik Wong.
Bercakap kepada Berita Harian, Timbalan Pengarah bagi Divisyen Penjagaan Senior Yayasan Masyarakat PAP, Cik Geraldine Cheong menjelaskan lebih 6,000 warga emas berpotensi memanfaatkan empat pusat penuaan aktif baru – di PCF Sparkle Care Yew Tee, Shunfu, Braddell Heights dan Eunos - menjelang suku pertama 2025 setelah penilaian Kementerian Kesihatan dijalankan.
“Kami akan melakukan lebih banyak usaha untuk membantu keluarga, terutama mereka yang menghadapi tekanan berganda dalam menjaga ibu bapa menua dan juga membesarkan anak-anak yang masih kecil,” tambah Encik Wong.
PCF akan mengagihkan sekitar $4 juta pada 2023 untuk membantu kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah, menyediakan mereka dengan bantuan kewangan, akses kepada kegiatan pengayaan dan peningkatan kepada sekitaran rumah mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg