Inisiatif Keluarga Sepanjang Hayat di Masyarakat (Families for Life @ Community), yang bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan melalui pelbagai program dan sokongan di peringkat akar umbi, kini diperluaskan ke semua 24 bandar di Singapura — lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan sebelum ini, iaitu penghujung 2025.
Perkembangan itu diumumkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa pelancaran Pesta Keluarga Nasional 2025 (NFF) di Singapore Expo pada 31 Mei.
Menurut beliau, peluasan ini penting bagi memastikan program kekeluargaan seperti persediaan perkahwinan, program pengayaan keluarga dan sokongan keibubapaan dapat dilaksanakan lebih dekat dengan tempat tinggal rakyat.
“Ini mewujudkan peluang penting untuk menghimpunkan program kekeluargaan, bagi menjangkau rakyat dengan lebih berkesan di peringkat komuniti,” ujar Encik Masagos dalam ucapannya di hadapan lebih 1,000 hadirin.
Pesta tahunan yang diusahakan Majlis Keluarga Sepanjang Hayat dan kali ini berlangsung dari 31 Mei hingga 29 Jun itu meraikan pertalian keluarga dan menggalak keluarga terlibat dalam kegiatan bermakna dan menyeronokkan untuk rapatkan ukhuwah antara anggota keluarga.
Encik Masagos turut menekankan bahawa peluasan inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada strategi lebih menyeluruh di bawah Pelan Singapura Mesra Keluarga atau A Singapore Made for Families 2025, yang dilancarkan pada 2022.
Setelah tiga tahun pelaksanaannya, pelan itu telah membawa perubahan ketara dalam cara sokongan kepada keluarga dilaksanakan.
“Kita telah melihat peralihan dalam pendekatan kita — daripada memberikan sokongan secara berasingan kepada satu pendekatan kerjasama, di mana pemerintah menyepadukan sokongan di setiap peringkat kehidupan berkeluarga.
“Ini bukan sekadar dasar, tetapi satu ekosistem sokongan menyeluruh yang dirangka agar setiap keluarga, tidak kira saiz atau latar belakang, mendapat bantuan dan dorongan yang sewajarnya,” tambah beliau.
Salah satu ciri utama NFF 2025 ialah penglibatan lebih mendalam dengan rakan korporat. CapitaLand Investment menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) baru untuk menyokong program mesra keluarga dan menyebarkan mesej kekeluargaan di premis mereka.
Syarikat ST Logistics pula diiktiraf kerana dasar tempat kerja yang progresif, seperti inisiatif Enrichment Time yang membolehkan pekerja pulang awal pada setiap Jumaat untuk masa peribadi atau bersama keluarga.
NFF 2025 ini merupakan hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk Keluarga Sepanjang Hayat, HomeTeamNS, ActiveSG dan rakan-rakan komuniti lain.
Acara ini akan menampilkan lebih 100 aktiviti mesra keluarga di seluruh negara, termasuk permainan interaktif, aktiviti luar, bengkel pendidikan keluarga dan promosi istimewa untuk keluarga besar.
Menurut Encik Iswandi Bin Masduki, 46 tahun, Pengarah Operasi HomeTeamNS, inisiatif seperti ini memberi ruang kepada keluarga untuk berinteraksi dan memperkukuh ikatan antara generasi.
“Kerjasama kami dengan gerakan Keluarga Sepanjang Hayat mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan aktiviti mengutuhkan jalinan kekeluargaan dapat dinikmati oleh semua, khususnya keluarga besar.
“Menerusi inisiatif seperti FFL dan Skim Keluarga Besar, kami telah menyelaraskan dan memperkenalkan promosi mampu milik serta acara pelbagai generasi yang direka khas untuk semua peringkat umur — daripada datuk nenek hinggalah ke anak-anak kecil.
“Matlamat utamanya adalah untuk mewujudkan ruang yang inklusif agar keluarga dapat berhubung dan berkembang bersama,” jelasnya.
Guru prasekolah, Cik Nur Syahidah Ahmad, 32 tahun, seorang ibu dua anak kecil, yang menghadiri acara itu buat kali pertama, berkata :
“Selalunya, kami keluar hujung minggu dan berjalan-jalan di taman, tetapi acara seperti ini membolehkan keluarga kami melibatkan diri dengan acara-acara menarik yang sudah ada, dan boleh disertai.”
Encik Masagos juga sempat berkunjung ke pameran interaktif yang menampilkan lebih 500 kisah sebenar tentang kehidupan berkeluarga di Singapura, hasil penyertaan orang ramai sejak Februari.
Kisah-kisah ini – daripada kenangan zaman kanak-kanak hingga ke cabaran usia emas – dipaparkan secara imersif, menggambarkan suka duka kehidupan berkeluarga.
Pameran itu bukan sekadar ruang bacaan, tetapi mengetengahkan pengalaman menyentuh hati yang meraikan nilai kekeluargaan dan semangat kekitaan dalam masyarakat.
Mengakhiri ucapannya, Encik Masagos menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk terus membina Singapura yang menyokong setiap keluarga.
“Kita semua ada peranan dalam perjalanan ini,” ujar beliau. “Marilah kita terus membina sebuah Singapura yang meraikan keluarga — di mana setiap keluarga rasa dihargai dan didukung, tidak kira fasa kehidupan mereka.”
Senarai acara NFF boleh diperolehi menerusi pautan go.gov.sg/familyfestsg-2025-deals
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg