Insentif $500, bantuan kewangan bagi individu ComLink+ yang sambung belajar, jalani latihan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insentif $500, bantuan kewangan bagi individu ComLink+ yang sambung belajar, jalani latihan

Mar 6, 2026 | 1:28 PM

Insentif $500, bantuan kewangan bagi individu ComLink+ yang sambung belajar, jalani latihan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim - Foto MDDI

Individu di bawah skim ComLink+ akan menerima insentif $500 bagi setiap suku tahun melalui program perintis, jika mereka kembali menuntut sepenuh masa atau menjalani latihan vokasional, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Ini bertujuan menggalak mereka mempertingkat kemahiran, sekali gus melonjak prospek pekerjaan.

Pilihan kursus termasuk kelayakan sepenuh masa seperti Nitec, Higher Nitec, dan diploma politeknik, serta kursus vokasional terpilih yang ditawarkan oleh institusi biayaan MOE, diiktiraf WSQ, atau layak bagi PSEA.

Program Perintis Sokongan Peningkatan Kemahiran ComLink+ itu – diperkenalkan pada Januari 2026 – juga akan menyediakan sokongan kewangan bagi perbelanjaan kehidupan asas jika mereka berhenti kerja untuk mempertingkat kemahiran.

Sokongan ini boleh dinikmati sehingga tiga tahun, bergantung pada tempoh kursus.

Program perintis itu menyasar individu berusia 18 hingga 39 tahun yang kini bekerja dengan gaji rendah atau yang pernah berhenti sekolah untuk bekerja.

Bercakap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di Parlimen pada 6 Mac, Encik Zhulkarnain berkata pekerjaan ialah kunci utama untuk membantu keluarga berpendapatan rendah mengecapi masa depan yang lebih baik.

Namun, keluarga ini sering berhadapan dengan halangan rintangan yang sukar ditempuhi, terutama dengan kekangan kewangan.

“Sesetengah keluarga ComLink+ hari ini mempunyai pencari kerja yang lebih muda, yang jika mempunyai kemahiran yang betul, boleh mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik.

“Walaupun skim berasaskan luas seperti SkillsFuture wujud, keluarga ComLink+ mungkin meraih manfaat daripada pendekatan yang lebih disasarkan.

“Keluarga menanggung beberapa kos apabila mereka memilih untuk meningkatkan kemahiran. Contohnya, pendapatan mereka terganggu semasa pengajian mereka, dan tidak pasti sama ada mereka akan mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi selepas itu.

“MSF telah memerhatikan bahawa ini menghalang sesetengah keluarga ComLink+ daripada meningkatkan kemahiran, walaupun mereka mahu dan mempunyai peluang,” kata beliau.

Encik Zhulkarnain menambah, kementeriannya sedang menyemak cara menyediakan sokongan yang lebih disesuaikan bagi keluarga berpendapatan rendah dalam menempuh alam pekerjaan. Ini kerana mereka mungkin berdepan lebih banyak cabaran untuk mencari pekerjaan yang sesuai.

Sebagai contoh, beliau menjelaskan bahawa pencari kerja berpendapatan rendah sering bekerja dalam sektor perkhidmatan di mana jadual kerja sukar diubah dalam masa yang singkat.

Ini menyukarkan mereka untuk menguruskan kecemasan, seperti mengambil anak dari sekolah apabila mereka jatuh sakit.

“MSF sedang bekerjasama dengan rakan seperti Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), AKG dan TOUCH Community Services untuk memperkukuh sokongan pekerjaan bagi keluarga ini untuk mempersiapkan mereka bagi alam kerja, mencari pekerjaan yang sesuai, dan akhirnya berjaya dalam kerjaya tersebut,” kata beliau.

Kini, kira-kira 11,000 keluarga berada di bawah ComLink+, sebuah inisiatif nasional. Skim ini bertujuan melonjakkan mobiliti sosial keluarga berpendapatan rendah, melalui insentif kewangan dan sokongan padu, agar mereka dapat meraih impian mereka.

Impian ini merangkumi mendapat pekerjaan stabil, memastikan anak-anak ke prasekolah secara konsisten, atau memiliki rumah sendiri, semua dengan bimbingan erat pembimbing keluarga atau pekerja kes.

Semasa Belanjawan 2026, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengumumkan beberapa peningkatan kepada ComLink+.

Antara perubahan utama ialah pengenalan bayaran perkongsian baru sebanyak $500 – iaitu dalam bentuk $200 wang tunai dan $300 disalurkan dalam CPF – setiap suku tahun mulai suku ketiga 2026 kepada keluarga yang terus bekerjasama dengan pembimbing keluarga atau pekerja kes.

Menjawab pertanyaan Encik Xie Yao Quan (Jurong Central) sama ada pembimbing keluarga akan bekerjasama dengan institut pengajian tinggi (IHL) bagi Program Perintis Sokongan Peningkatan Kemahiran ComLink+, Encik Zhulkarnain berkata:

“Pembimbing keluarga bekerjasama rapat dengan keluarga yang melahirkan minat menyertai program perintis itu. Program ini baru diperkenalkan pada Januari dan kami menyasar 100 keluarga.

“Kami juga mendekati IHL untuk membantu individu dengan permohonan mereka.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg