Kealpaan seorang pegawai keselamatan untuk menghapuskan sebuah bom palsu mencetuskan kecemasan yang mengakibatkan pegawai Home Team dikerah ke tempat kerjanya.
Sementara pegawai menyiasat objek yang menyerupai peranti letupan yang diubah suai (IED) itu, lebih 100 orang dipindahkan atau dilarang masuk ke Sing Industrial Complex di Taman Perindustrian Ang Mo Kio 2 sekitar 90 minit pada 5 Januari.
Objek itu merupakan bom palsu yang diletak di situ sebagai sebahagian daripada latihan keselamatan yang dirancang di kompleks tersebut, lapor The Straits Times.
Pegawai keselamatan Durendran Vicknesh Venkatraman, 46 tahun, diarahkan oleh seorang perunding keselamatan supaya membuang bom palsu itu, namun dia terlupa berbuat demikian sebelum syifnya tamat.
Pada 12 Disember, lelaki warga Singapura itu mengaku bersalah atas tuduhan membuat catatan palsu dalam buku rekod tugasan dan meninggalkan tempat kerjanya.
Pada waktu itu, Durendran seorang pegawai keselamatan berlesen yang bekerja sambilan bersama One Imperial Security.
Pada akhir Disember 2023, pengarah syarikat itu melantik perunding keselamatan luar bebas, Cik Linette Soon dan Encik Kelvin Koh, untuk menjalankan penilaian keselamatan terhadap pegawai yang bertugas di Sing Industrial Complex, yang ditetapkan pada awal pagi 5 Januari.
Pada 4 Januari, Durendran memulakan syifnya pada 8 malam, tetapi meninggalkan pondok pengawal pada 11.20 malam untuk bertemu kawannya di Oxley Tower di Robinson Road.
Apabila Cik Soon dan Encik Koh tiba pada 4.30 pagi 5 Januari, mereka mendapati pondok pengawal itu kosong dan pintu pagar terbuka.
Encik Koh menghubungi Durendran, yang berkata dia sedang membeli makanan berhampiran dan akan pulang dalam beberapa minit.
Sementara itu, Encik Koh meletakkan bom palsu berhampiran pondok pengawal sebagai sebahagian daripada latihan tersebut.
Kededua perunding itu meninggalkan kompleks itu pada 5 pagi dan memberitahu pengarah One Imperial Security bahawa latihan itu dibatalkan kerana tiada pengawal bertugas.
Namun, mereka terlupa untuk mengambil bom palsu itu, dan mengarahkan Durendran melalui telefon untuk membuangnya.
Durendran gagal berbuat demikian walaupun berjalan melaluinya beberapa kali, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dan Pan.
Dia juga memalsukan log tugasannya dengan mencatat bahawa dia berada di tempat kerja sepanjang syif tersebut.
Pada 8 pagi, Encik Shiva Kumar Sayugan, 54 tahun, mengambil alih syif Durendran, yang tidak memberitahunya mengenai bom palsu itu.
Encik Shiva menemui objek menyerupai IED itu di tempat letak motosikal dan segera menghubungi polis.
Pegawai daripada beberapa unit, termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Divisyen Polis Ang Mo Kio dan Polis Trafik dikerah ke lokasi kejadian.
Objek itu kemudian disahkan sebagai bom palsu, dan Durendran ditangkap pada 8 April.
Dia dijangka dijatuhi hukuman pada 17 Disember.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg