Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insiden Pantai Bondi: Polis S’pura tingkat rondaan, gesa orang ramai waspada

Dec 17, 2025 | 12:22 PM
MHA, Pantai Bondi, gesa orang ramai berwaspada
Orang awam di Singapura dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 16 Disember, susulan serangan tembakan di Pantai Bondi, Australia. - Foto ST

Polis meningkatkan rondaan di kawasan terpilih seluruh Singapura ekoran serangan tembakan di Pantai Bondi di Sydney, Australia, yang meragut16 nyawa, termasuk salah seorang penyerang, dan mencederakan berpuluh-puluh orang.

Dalam kenyataan pada 16 Disember, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan, agensi keselamatan sedang “memantau persekitaran ancaman dengan teliti”.

“Polis telah meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan tertentu dan akan terus menyesuaikan langkah-langkah keselamatan dengan sewajarnya,” kata MHA.

MHA menggesa orang ramai agar berwaspada dan menghubungi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) di talian 1800-2626-473 sekiranya mengenali atau mengesyaki sesiapa menjadi radikal atau terlibat dalam kegiatan ekstremis.

“ISD memandang serius sebarang bentuk sokongan terhadap pengganasan.

“Sesiapa sahaja – warga asing atau sebaliknya – yang terlibat dalam kegiatan mengancam keselamatan Singapura akan dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang,” tambah kementerian itu.

Warga Singapura yang melihat individu atau barang mencurigakan juga perlu segera melaporkannya kepada polis, ujar MHA.

Mangsa kejadian tembakan pada 14 Disember, yang berlaku ketika acara cuti Yahudi, termasuk kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Ia serangan bersenjata terburuk di Australia dalam tempoh sekitar 30 tahun.

Satu lagi kejadian tembakan berlaku di Universiti Brown di Amerika Syarikat sehari sebelum serangan di Pantai Bondi.

Dua orang terbunuh manakala sembilan yang lain cedera, dengan pelaku serangan masih bebas.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 14 Disember berkata Singapura mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas itu.

Dalam surat yang diutuskan kepada Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, beliau berkata:

“Tindakan sedemikian tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita dan menjejas keamanan dan keselamatan yang kita semua hargai.”

Encik Albanese pula berkata seorang bapa dan anak lelakinya yang melepaskan tembakan rambang itu didorong oleh “ideologi ISIS”.

Menerusi rakaman podcast pada 16 Disember, beliau mendedahkan, Sajid Akram, dan anak lelakinya, Naveed Akram, melepaskan tembakan ke arah penganut Yahudi yang memenuhi Pantai Bondi bagi acara sambutan Hanukkah pada petang 14 Disember.

Beliau memberi petunjuk awal pasangan itu telah menjadi radikal oleh “ideologi kebencian” dan menambah, salah seorang daripada penyerang itu akan didakwa di mahkamah pada 17 Disember.

Pihak berkuasa menyatakan serangan itu bertujuan mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat Yahudi di negara itu, namun tiada butiran lanjut tentang motivasi sebenar mereka didedahkan.

Badan-badan agama di Singapura telah tampil mengutuk serangan itu, dengan para pemimpin Islam di sini menyifatkan serangan Pantai Bondi sebagai tindakan tidak masuk akal yang memecahbelahkan masyarakat, dan berkata pengganasan sedemikian tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.

Antara badan agama di Singapura yang tampil mengutuk serangan itu termasuk Pertubuhan Antara Agama (IRO), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS), Roman Catholic Archdiocese of Singapore, Lembaga Kebajikan Yahudi (JWB), Lembaga Penasihat Hindu, Lembaga Penasihat Sikh, Persekutuan Buddha Singapura dan Persekutuan Tao Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg