Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Perpaduan silang agama S’pura tegas tolak serangan di Pantai Bondi

Pergas kecam serangan, puji keberanian Encik Ahmed al-Ahmed
Dec 16, 2025 | 5:47 PM
Faishal, Perpaduan silang agama , Pantai Bondi
Sepasang suami isteri berhenti seketika melihat kawasan penghormatan di Pantai Bondi untuk mangsa tembakan di Sydney pada 16 Disember. Seramai 15 nyawa diragut, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Pantai Bondi pada 14 Disember, dengan pihak berkuasa menyifatkannya sebagai serangan antisemitik semasa perayaan Yahudi. - Foto AFP

Prinsip Islam Rahmatan lil ‘Alamin yang menekankan sifat belas kasihan, rahmat dan keamanan untuk semua tersimpul dalam respons padu pelbagai agama di Singapura terhadap serangan di Pantai Bondi, Australia, baru-baru ini.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, melahirkan rasa gembira dan syukur melihat rakyat Singapura, rakan silang agama dan pertubuhan agama bersatu padu menolak tegas pengganasan, kebencian dan perkauman dalam apa jua bentuk.

“Pendirian bersama ini mencerminkan kekuatan iltizam kita terhadap keamanan, maruah insan dan sikap saling menghormati.

“Inilah nilai yang menjadi teras Singapura. Kita berdiri teguh mempertahankan kebenaran.

“Kita saling melindungi dan mempertahankan satu sama lain. Kita menghormati dan melindungi kepercayaan serta amalan agama setiap masyarakat, khususnya dalam masa-masa yang mencabar,” kata Dr Faishal dalam catatan Facebook pada 16 Disember.

Badan-badan yang telah tampil mengecam kejadian tembakan berdarah di pantai paling terkenal di Australia itu termasuk Pertubuhan Antara Agama (IRO), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS), Roman Catholic Archdiocese of Singapore, Lembaga Kebajikan Yahudi (JWB), Lembaga Penasihat Hindu, Lembaga Penasihat Sikh, Persekutuan Buddha Singapura dan Persekutuan Tao Singapura.

Dalam hantaran Facebook yang berasingan, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) menyatakan sokongan kepada semua pihak yang menolak pengganasan, serta menjunjung keamanan, maruah dan sikap saling menghormati.

Pergas turut melahirkan rasa sedih mendalam atas kejadian di Pantai Bondi dan menyampaikan takziah kepada mangsa serta keluarga mereka.

“Kami dengan tegas menentang sebarang perbuatan keganasan terhadap orang awam dan yang tidak bersalah.

“Keganasan dan tindakan tidak masuk akal seperti itu memecahbelahkan masyarakat dan tidak mempunyai tempat dalam sebarang masyarakat,” kata Pergas.

Selain itu, Pergas turut tersentuh dengan keberanian Encik Ahmed al-Ahmed yang telah bergelut dengan salah seorang penembak dan merampas senjatanya demi melindungi orang lain dengan menyifatkan perbuatan itu sebagai pengesahan kukuh terhadap nilai kemanusiaan di tengah-tengah kekejaman.

Menurut laporan media tempatan, Encik Ahmed, seorang bapa dua anak berusia 43 tahun dari selatan Sydney, kini dirawat di hospital selepas bertindak berani merampas senjata suspek dalam insiden itu.

Encik Ahmed turut ditembak beberapa kali oleh penyerang kedua dan perlu menjalani pembedahan di sebuah hospital di Sydney.

Beliau difahamkan ditembak di bahu kiri dan tangan serta berdepan tempoh pemulihan sehingga enam bulan.

“Kita saling melindungi dan mempertahankan satu sama lain. Kita menghormati dan melindungi kepercayaan serta amalan agama setiap masyarakat, khususnya dalam masa-masa yang mencabar.”
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

“Kami dengan tegas menentang sebarang perbuatan keganasan terhadap orang awam dan yang tidak bersalah. Keganasan dan tindakan tidak masuk akal seperti itu memecahbelahkan masyarakat dan tidak mempunyai tempat dalam sebarang masyarakat.”
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg