Minat Cik Nurul Hannah Mirza Irwan dalam bidang perubatan berputik sejak kecil.
Semasa membesar, beliau sering mendengar kisah-kisah neneknya, Cik Jumiah Abdul Hamid, 74 tahun, seorang bidan sepenuh masa selama 45 tahun yang tekun bekerja di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, sebuah unit di bawah Kementerian Kesihatan, dan kemudian di poliklinik.
Sumbangan dan dedikasi neneknya itu menjadi inspirasi bagi Cik Hannah yang menanam cita-cita menjadi seorang doktor.
Anak tunggal berusia 19 tahun itu kini merupakan salah seorang daripada 150 pelajar yang terlibat dalam Majlis Kot Putih yang diadakan di Auditorium Nanyang pada 14 Ogos.
Majlis itu adalah satu istiadat yang dikekalkan bagi setiap pelajar yang berjaya masuk ke sekolah perubatan.
Kumpulan itu merupakan kohort pertama Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), yang akan melengkapkan pelajar dengan perkembangan terkini dalam teknologi kesihatan digital (sains data, kecerdasan buatan serta pembelajaran mesin).
Mereka juga bakal menjadi kumpulan pertama pelajar yang akan dilatih sebagai Duta Generasi Warga Emas sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), yang menawarkan kepada pelajar pengalaman melibatkan diri dengan warga emas dalam sektor penjagaan masyarakat.
Berkongsi cabaran yang bakal dihadapinya menjadi pelajar perubatan dengan Berita Harian (BH), Cik Hannah berkata:
“Pernah suatu ketika semasa saya berada di maktab rendah, saya menangis semasa pulang ke rumah kerana kurang yakin dengan kemampuan saya.
“Membandingkan diri saya dengan rakan-rakan lain, saya tertanya bagaimana saya boleh menjadi seorang doktor dengan gred yang kurang baik? Ia mendorong saya bertanya pada diri sendiri sama ada saya telah membuat keputusan yang tepat.”
Untuk membantunya, ibu bapa Cik Hannah, yang kededuanya berusia dalam lingkungan 50-an tahun dan bukan daripada bidang perubatan, memastikan beliau mempunyai pendedahan kepada kerjaya pilihannya itu.
Mereka membiasakan anak mereka itu dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang perubatan, termasuk mainan dan stetoskop yang menjadi mainan kegemaran Cik Hannah.
Semasa menuntut di Raffles Institution, Cik Hannah turut menyertai Program Pendekatan Penjagaan Kesihatan Muslim (MHOP) pada 2022.
MHOP, yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), menyediakan wadah bagi pelajar prauniversiti Islam yang berminat dalam kursus penjagaan kesihatan agar meneroka pilihan mereka dan mendapatkan pandangan berharga.
Ia merupakan usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar selain menggalak dan membimbing mereka yang berminat menceburi bidang penjagaan kesihatan sebagai kerjaya.
Semasa satu sesi bimbingan dan pengamatan kerja bersama seorang pesakit di Hospital St. Luke, Cik Hannah dapat mewujudkan hubungan dengan menggunakan satu hidangan ikonik Melayu, iaitu nasi rawon.
“Wajah pesakit itu berubah sesaat saya bercakap tentang hidangan itu. Saya pasti beliau mempunyai memori yang indah dengan ahli keluarga, dan saya dapat menggunakan untuk membentuk hubungan bersamanya.” kata Cik Hannah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg