Sepanjang perjalanan menceburi dunia maritim, Cik Sahira Sha’ri sering mendapat komen negatif daripada orang sekeliling termasuk rakan kursusnya yang meragui keupayaannya.
Antaranya, Cik Sahira diberitahu bahawa beliau tidak boleh berjaya dalam industri maritim yang dikuasai lelaki.
Ini tidak melemahkan, malah menyemarakkan keazamannya menentang arus dan membuktikan bahawa kaum hawa sepertinya mampu cemerlang dalam bidang tersebut.
Walaupun ada yang meragui kebolehannya, Cik Sahira berdepan dengan stigma tersebut.
Kini, pada usia 28 tahun, beliau dengan bangga dapat berdiri sebagai satu-satunya ketua pegawai wanita Melayu Singapura menerajui kapal persiaran mewah Celebrity Beyond, yang telah belayar ke pelbagai pelabuhan di seluruh dunia termasuk Amazon, China dan Brazil.
Namun, Cik Sahira mengakui bahawa belayar bukan sesuatu yang beliau mampu lakukan buat selama-lamanya.
Melihat rakan-rakan dan satu-satunya adik lelakinya mengharungi kehidupan untuk memulakan keluarga dan mempunyai cahaya mata, beliau turut memendam impian yang sama dan memahami bahawa tuntutan kehidupan berkeluarga akhirnya akan diutamakan.
Walaupun begitu, semangat masih membara dalam dirinya untuk terus menceburi kerjayanya dan berhasrat untuk terus belayar selagi beliau masih dalam lingkungan usia belia.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini, Cik Sahira berkata beliau sedang meredah taufan yang membadai lautan Carribbean.
Pelayaran tersebut adalah sebahagian daripada kontrak jadual perjalanan dua tahun yang bakal tamat pada April 2026, tambahnya.
Beliau berkongsi bahawa kerjayanya bermula di sebuah syarikat kapal kargo di limbungan Tuas, tempat beliau pernah menjalani latihan amali semasa pengajian diplomanya.
Beliau, yang telah menamatkan pengajian diploma dalam pengajian nautika di Politeknik Singapura (SP) pada 2017, berkata:
“Saya mula bekerja di limbungan Tuas sekitar hujung 2018 dan awal 2019. Sebagai pegawai penjaga, skop kerja saya termasuk mengubah suai kapal lama dan saya menganggapnya sebagai batu loncatan untuk saya meluaskan kepakaran maritim.”
Cik Sahira merupakan satu-satunya wanita dan warga Singapura di atas kapal itu dan sering berasa terasing. Keadaan menjadi lebih mencabar baginya apabila pandemik Covid-19 melanda dunia.
“Saya sudah berasa terasing kerana saya satu-satunya wanita, dan berasa lebih terasing apabila kami harus berkurung di kapal selama hampir setahun tanpa cuti pantai atau shore leave,” ujar beliau yang ibunya seorang suri rumah manakala ayahnya seorang perunding swasta.
Akibat pandemik, syarikatnya yang berpangkalan di Singapura itu ditutup dan Cik Sahira mula menilai semula pilihannya.
“Sebagai seorang wanita, saya menyedari akan kesukaran untuk diterima masuk. Ia agak mencabar bagi seorang wanita untuk menyertai industri maritim. Untuk mencari syarikat yang menerima wanita juga sukar,” kongsi beliau.
Namun kalau sudah jodoh, memang tiada siapa yang boleh menghalang. Di sebalik keraguannya tentang prospek pegawai wanita Singapura dalam industri maritim, rezeki Cik Sahira terletak pada bidang tersebut apabila peluang untuk bekerja di Royal Carribbean datang bergolek pada 2021.
Bermula sebagai pegawai kedua, beliau kemudian maju sebagai pegawai pertama dan kini berkhidmat sebagai ketua pegawai untuk Celebrity Beyond, sebuah kapal persiaran mewah yang dimiliki Celebrity Cruises.
Dilancarkan pada Mac 2021 dan menyambut penumpang pertama pada April 2022, Celebrity Beyond mempunyai 17 dek dan kapasiti hampir 4,000 penumpang dan 1,400 anak kapal.
Celebrity Cruises adalah anak syarikat Royal Caribbean dan ketika itu, pada 2021, telah memulakan pengambilan ramai kakitangan sebagai persediaan untuk kapal terbaru mereka, Celebrity Beyond.
“Tempoh kami berlayar berbeza kerana ia bergantung pada jawatan masing-masing. Semakin seseorang itu maju dalam kerjayanya, tempohnya juga semakin lama.
“Saya bermula dengan kontrak yang berlangsung selama empat hingga enam bulan. Kontrak boleh sesingkat tiga bulan,” jelas beliau yang setakat ini mendapat waktu berehat selama dua hingga tiga bulan.
Semasa tempoh rehatnya, Cik Sahira meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakannya untuk menebus semula masa yang sudah hilang termasuk menghadiri hari-hari penting seperti perkahwinan adik lelakinya, Encik Hariz Azwar Sha’ri, 27 tahun, yang menceburi bidang kerjaya kejuruteraan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).
“Baru-baru ini, adik saya telah berkahwin dan saya tidak dapat hadir bersama keluarga untuk menyaksikan detik berharga itu. Rakan-rakan saya juga ada yang sudah berkahwin... Mereka berada selangkah di hadapan saya dalam kehidupan kerana saya terpaksa menangguh rancangan kehidupan saya setiap kali saya kembali ke kapal.
“Saya juga mengimpikan untuk berkahwin dan berkeluarga tapi dengan keadaan pekerjaan saya, saya tahu saya tidak boleh mempunyai kededuanya pada masa yang sama – berumah tangga dan berlayar untuk berbulan-bulan lamanya,” kata beliau dengan agak sayu.
Beliau mempunyai matlamat jangka pendek untuk “terus berlayar buat lima tahun akan datang” dan kemudian akan kekal dalam industri maritim namun cuba “memegang jawatan yang berbeza” ataupun “beralih kepada pekerjaan di darat” agar dapat merealisasikan impiannya itu.
Cik Sahira sudahpun melakarkan rancangan kehidupannya kerana sedar bahawa “kehidupan berhenti untuknya apabila (beliau) kembali ke atas kapal tetapi ia tetap berterusan bagi mereka di rumah”.
“
Rakan-rakan saya juga ada yang sudah berkahwin... Mereka berada selangkah di hadapan saya dalam kehidupan kerana saya terpaksa menangguh rancangan kehidupan saya setiap kali saya kembali ke kapal. Saya juga mengimpikan untuk berkahwin dan berkeluarga tapi dengan keadaan pekerjaan saya, saya tahu saya tidak boleh mempunyai kededuanya pada masa yang sama.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg