Satu inisiatif penyelidikan nasional yang penting dalam bidang sains laut telah dilancarkan secara rasmi pada 22 September, dengan bidang kuasa untuk membantu Singapura dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas menangani cabaran daripada pembangunan pesisir pantai hingga kepada perubahan iklim.

Institut Sains Marin dan Lautan Kebangsaan (Nimos) yang bernilai $60 juta, ditubuhkan oleh Lembaga Taman Negara (NParks) bersama Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dua program penyelidikan sains marin sebelum itu merupakan program selama lima tahun yang masing-masing dibiayai sebanyak $25 juta. 

Kedua-dua program tersebut lebih menumpukan kepada penggunaan sains bagi menangani cabaran dalam negara, seperti mengenal pasti langkah dan penyelesaian kejuruteraan yang mampan untuk mewujudkan habitat laut baharu.

Majlis pelancaran Nimos yang berlangsung di Auditorium NUS University Hall itu dihadiri Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, serta kira-kira 150 hadirin termasuk penyelidik, wakil universiti dan pegawai pemerintah.

Pengarah Nimos, Profesor Madya Huang Danwei, seorang ahli biologi karang, berkata pelancaran institut baharu itu berlaku ketika beberapa perubahan dijangka berlaku di kawasan perairan Singapura.

Di peringkat serantau pula, perairan Asia Tenggara mengalami tekanan akibat pembangunan pesisir pantai dan perubahan iklim.

Di Singapura, Profesor Madya Huang merujuk kepada rancangan yang baru diumumkan untuk mewujudkan sebuah pulau baharu di bahagian barat sebagai contoh bagaimana kerjasama antara saintis dengan agensi pemerintah amat penting bagi memastikan kawasan laut Singapura dapat diurus secara mampan.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Ogos telah mengumumkan rancangan untuk menggabungkan beberapa pulau di selatan bagi menambak sebuah “pulau barat” baharu untuk memenuhi keperluan industri, tenaga dan pertahanan.

Pada masa yang sama, Singapura tidak lama lagi akan mempunyai taman marin keduanya di kawasan terumbu Lazarus-South Kusu yang berdekatan. Taman marin kedua itu pertama kali diumumkan pada Mei 2024, tetapi masih belum diwartakan secara rasmi.

Profesor Madya Huang berkata: “Sebagai sebuah negara pulau kecil yang sangat pesat membangun dan terletak di tengah-tengah salah satu kawasan marin yang paling banyak digunakan di dunia, Singapura boleh menjadi makmal hidup bagi masa depan persekitaran pesisir tropika.

“Oleh itu, matlamat kami adalah lebih daripada sekadar memahami perairan Singapura. Matlamatnya adalah untuk membangunkan ilmu sains dan alat yang diperlukan bagi mengekalkan ekosistem marin seiring dengan pembangunan ekonomi.”

“Ini termasuk penyelesaian yang boleh dilaksanakan dan ditunjukkan oleh Singapura di peringkat tempatan, sebelum dikongsi dengan negara-negara Asia Tenggara yang sedang melalui perubahan pesat,” tambahnya.

Beliau berkata bandar-bandar pesisir di Asia Tenggara kini semakin berkembang dan mengalami pembandaran pesat, mengikuti jejak pembangunan yang telah dilalui Singapura beberapa dekad lalu.

NUS berkata dalam satu kenyataan bahawa Nimos akan memulakan operasinya sebagai sebuah institut maya sementara kemudahan jangka panjangnya sedang dibangunkan.