Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah bakal jalankan kajian biodiversiti marin sebelum mula tambak pulau barat
Mengiktiraf nilai biodiversiti kepulauan barat Singapura dan perairan sekitarnya, pihak berkuasa kini sedang meneliti pelan penambakan masa hadapan dan bakal menjalankan kajian teknikal serta mendapatkan pandangan pihak berkepentingan.
Langkah ini diambil selepas saintis dan kumpulan pencinta alam menekankan keperluan bagi kajian menyeluruh serta perundingan awam dijalankan sebelum penambakan bermula.
Ini kerana mereka percaya kerja-kerja penambakan itu akan menyebabkan kehilangan kekal kepada habitat matang di kawasan berkenaan.
Jurucakap Kementerian Pembangunan Negara (MND) memberitahu The Straits Times (ST):
“Sebagai sebahagian daripada proses perancangan, pemerintah akan menjalankan kajian teknikal sebagai panduan bagi pelan pembangunan, termasuk profil penambakan tersebut.
“Kajian ini merangkumi kajian kebolehlaksanaan, penelitian dan tinjauan (tapak yang dikaji), serta kajian kejuruteraan dan alam sekitar bagi memahami dengan lebih baik pelbagai kemungkinan dari segi pembangunan serta kesan awalnya terhadap aspek seperti biodiversiti dan hidrodinamik.”
Beberapa saintis dan kumpulan pencinta alam telah menyuarakan pandangan mereka susulan pengumuman mengenai rancangan penambakan tanah itu sewaktu Rapat Hari Kebangsaan 2026.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sebelum ini mengumumkan pelan penambakan dan gabungan beberapa pulau di bahagian selatan Singapura untuk membangunkan sebuah ‘pulau barat’ baharu bagi keperluan industri, tenaga dan pertahanan dalam dekad-dekad akan datang.
Berdasarkan data Tinjauan Biodiversiti Kepulauan Selatan oleh Lembaga Taman Negara (NParks), habitat pasang surut bagi pelbagai pulau dan terumbu karang di sekitarnya yang berpotensi termasuk dalam kawasan penambakan merangkumi kawasan seluas kira-kira 592.8 hektar.
Keluasan ini lebih besar berbanding pulau peranginan Sentosa dan merangkumi lebih separuh daripada kawasan pasang surut di Kepulauan Selatan.
Pengarah Institut Sains Marin dan Lautan Kebangsaan (Nimos), Profesor Madya Huang Danwei, menyatakan bahawa terumbu karang di Pulau Hantu dan Pulau Semakau sudah wujud sejak kira-kira 8,000 tahun lalu.
“Kawasan yang dikenal pasti untuk potensi penambakan itu amat besar dan merangkumi banyak habitat serta ekosistem marin sensitif yang bernilai tinggi bagi mitigasi iklim, keterhubungan ekologi, sains dan potensi ubat-ubatan,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa Singapura akan kehilangan kebanyakan fungsi ini sekiranya keseluruhan kawasan tersebut ditambak.
Para penyelidik berkata projek mega itu boleh menjejas beberapa habitat marin paling penting dan bernilai di Kepulauan Selatan, yang merupakan habitat bagi hampir kesemua baki terumbu karang semula jadi Singapura.
Para saintis dan kumpulan pencinta alam menggesa agar sebanyak mungkin habitat dan spesies ini dilindungi kerana nilai ekologinya yang amat tinggi, sambil mereka turut mengiktiraf keperluan strategik di sebalik pelan penambakan tersebut.
Profesor Emeritus di Jabatan Sains Biologi Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Chou Loke Ming, berpendapat bahawa habitat marin matang seperti terumbu karang, rumput laut dan hutan bakau layak diiktiraf sebagai tapak warisan semula jadi.
Kawasan-kawasan ini secara konsisten telah memberi sumbangan bernilai kepada ekosistem dalam pelbagai cara, termasuk menjadi kawasan pembiakan bagi menyokong populasi ikan serta menyerap karbon dioksida yang menyebabkan pemanasan bumi.
Pakar sains marin itu menyeru agar Singapura mengamalkan pendekatan baharu dalam usaha penambakan, iaitu dengan membangunkan negara di samping memelihara alam semula jadi dan bukan mengorbankannya.
Sebagai contoh, beliau mencadangkan agar sempadan penambakan ditetapkan secara fleksibel bagi mencegah kebanyakan habitat berkenaan daripada tertimbus.
Para saintis marin dan pihak berkepentingan lain telah mengesyorkan dalam Pelan Biru Singapura 2018 agar Pulau Semakau, Pulau Hantu dan Pulau Jong, serta terumbu karang berhampiran diwartakan sebagai kawasan simpanan marin.
Usulan tersebut bagaimanapun tidak diterima.
Pakar biologi marin, Dr Zeehan Jaafar, yang merupakan editor utama pelan tersebut, berkata sistem pesisir terumbu karang, bakau, dan rumput laut yang saling terhubung di Pulau Semakau tidak lagi kelihatan di mana-mana kawasan lain di Singapura.
Terumbu karang di pulau tapak pelupusan sampah itu dan kawasan sekitarnya didapati dapat terus hidup meskipun kerja pembangunan dilakukan, dengan pelbagai penyelidikan dijalankan bagi memahami punca dan bagaimana ia mampu terus hidup.
Menurut beliau, kawasan terjejas itu merupakan antara tapak marin yang paling banyak dikaji di peringkat global, dan menegaskan bahawa kemusnahannya akan menjejas pemahaman jangka panjang mengenai proses sistem pesisir.
“Kawasan-kawasan ini amat penting untuk kita memahami dengan lebih mendalam tentang biodiversiti marin dan proses ekologi pesisir pantai kita, terutamanya kerana biodiversiti di sini menunjukkan daya tahan dalam berdepan pembangunan marin yang semakin meningkat,” katanya.
Pengarah Kemudahan Makmal Marin Kebangsaan Pulau St John, Dr Jani Tanzil, berkata kawasan-kawasan ini amat bernilai kerana ekosistem marin Singapura terletak di persimpangan perairan seperti Laut China Selatan dan Laut Jawa.
Ini menjadikannya sebagai koridor semula jadi yang menghubungkan biodiversiti dan sumber perikanan di rantau ini.
Dr Tanzil dan pakar pemuliharaan marin, Cik Ria Tan, turut menekankan peranan kawasan terjejas berkenaan sebagai ‘tapak induk’ yang menyediakan bahan genetik bagi menyokong ekosistem berdekatan di luar sempadannya.
“Kita perlu mempertimbangkan semua pilihan. Kajian dan penyelesaian perlu dibuat secara menyeluruh, walaupun ia bermakna kita harus mencabar cara pembangunan sedia ada dijalankan,” kata Dr Tanzil.
Kumpulan pencinta alam turut menekankan keperluan bagi pembangunan yang teliti di kawasan-kawasan tersebut, yang juga merupakan sebuah tapak utama bagi pendidikan dan riadah.
Jurucakap MND berkata mereka akan mengadakan sesi penglibatan dengan pihak berkepentingan bagi mendengar pandangan mereka sebelum kajian dan kerja-kerja bermula, dengan maklum balas mereka akan dipertimbangkan dengan teliti.
“Pengetahuan dan kepakaran mereka akan membantu membimbing kajian, menilai potensi kesan (penambakan) terhadap biodiversiti, serta mengenal pasti langkah-langkah untuk mengelak, mengehadkan dan mengurangkan kesan tersebut semampunya.”
