Di tengah-tengah arus perkembangan teknologi yang melanda industri media secara global, SPH Media memilih untuk tidak berundur atau menentang kemajuan kecerdasan buatan (AI).

Sebaliknya, syarikat media nasional itu mengambil pendekatan proaktif untuk menyepadukan kandungannya secara aktif ke dalam platform AI baharu demi memastikan suaranya kekal relevan dan diyakini pembaca.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Eksekutif SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, dalam sesi wawancara bersama wartawan SPH Media susulan pengumuman pelantikan peranan baharunya pada 1 Oktober.

Encik Chan, 61 tahun, dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SPH Media Trust (SMT) dan SPH Media Holdings (SPHMH).

Pelantikan itu memperluas portfolio kepimpinan beliau, yang kini menyaksikan Encik Chan turut menggalas jawatan sedia ada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media.

Pelantikan itu sekali gus menandakan penutup babak lima tahun kepimpinan Encik Khaw Boon Wan, yang bersara selepas berkhidmat sebagai Pengerusi SMT dan SPHMH sejak 2021.

“Apabila saya melihat ke seluruh dunia, saya tidak fikir mana-mana syarikat berita di dunia, sama ada syarikat gergasi mahupun syarikat tempatan, telah benar-benar memahami apakah impak yang akan berlaku. Adalah penting untuk kita terus terhubung dan terlibat secara langsung.

“Jadi, kita mempunyai dua pilihan dari segi AI. Satu adalah untuk kita bertahan, melindungi apa yang kita ada, dan kemudian cuba menentang apa jua arus AI yang datang.

“Satu cara lagi adalah meskipun kita tidak akan melepaskan apa yang sudah kita miliki kerana masih ada sesuatu yang menjadi teras utama, tetapi apa jua platform baharu atau AI baharu, persoalannya ialah bagaimana kita boleh menjadi sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripadanya?,” kata beliau.

USAHA SEPADU AI

SPH Media sudah pun mengorak langkah dalam landskap media yang sedang berubah pesat dengan perkembangan teknologi, dengan syarikat itu dan syarikat teknologi Google mengumumkan kerjasama pada April 2026 dalam empat bidang utama – pembangunan keupayaan AI, kandungan dan pengedaran, pembangunan bakat dan ekosistem, serta pendekatan audiens.

Encik Chan berkata SPH Media turut bekerjasama dengan syarikat teknologi lain selain Google, sambil menambah bahawa “apabila seseorang meminta berita dan maklumat daripada sumber AI, kami mahu suara (kandungan) kami turut hadir” di dalam platform tersebut.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa meskipun AI mampu mempercepatkan tugasan teknikal seperti penterjemahan automatik, aspek teras kewartawanan tidak akan dapat digantikan oleh mesin.

Tugasan seperti pelaporan di lapangan atau on-the-ground reporting, sesi temu bual penuh empati dengan anggota masyarakat, serta pertimbangan editorial yang mendalam kekal sebagai kebolehan unik manusia.

“Bagi sebuah syarikat berita seperti kita, kandungan asli bukanlah sesuatu yang boleh dijana oleh AI.

“Oleh itu, ada satu pekerjaan yang saya harap tidak akan pernah lenyap – anda masih memerlukan seorang wartawan untuk keluar dan mendapatkan berita asli yang baharu.

“Saya rasa ia akan mengambil masa yang agak lama sebelum robot mempunyai empati yang cukup seperti manusia, untuk anda pergi menemui seorang mak cik, dan kemudian membuatkan mak cik itu meluahkan serta menceritakan segala kisahnya kepada anda.

“Pada pandangan saya, ini adalah satu bidang yang sangat penting,” kata beliau.

KESINAMBUNGAN STRATEGI TRANSFORMASI

Selain teknologi dan AI, sesi wawancara bersama wartawan SPH Media itu turut merangkumi pelbagai topik utama lain, termasuk hala tuju strategik syarikat serta kepimpinan syarikat bagi tahun-tahun mendatang.

Encik Chan menjelaskan secara terperinci mengenai perubahan struktur kepimpinan tertinggi SPH Media, di mana peranan beliau sebagai Pengerusi Eksekutif bertujuan memastikan wujudnya kesinambungan dan kestabilan dalam perjalanan transformasi dan strategi syarikat.

Beliau mengambil alih tugas kepimpinan itu daripada Encik Khaw, yang dilantik sebagai Pengerusi SMT pada Mei 2021, menyusuli penstrukturan semula syarikat tersenarai awam Singapore Press Holdings (SPH) yang memisahkan operasi medianya kepada sebuah syarikat awam berhad yang dijamin (CLG).

Sebagai Pengerusi Eksekutif, tumpuan utama Encik Chan terletak pada strategi jangka pertengahan hingga panjang yang memerlukan hala tuju yang mantap, terutamanya berhubung strategi dan pembangunan keupayaan.

Sementara itu, Encik Kuek Yu Chuang, 47 tahun, yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan CEO, dilantik sebagai Pengarah Urusan bagi memacu operasi harian dan mengendalikan rancangan jangka pendek hingga pertengahan syarikat.

Mengulas mengenai perjalanan SPH Media yang telah menyaksikan empat CEO dalam tempoh enam tahun lalu, Encik Chan berpendapat bahawa kestabilan kepimpinan adalah penting untuk menjayakan pelan strategik jangka panjang.

“Anda tidak boleh mempunyai strategi baharu setiap tahun atau setiap dua tahun, dan anda tidak boleh melakukan transformasi melainkan wujud sebilangan kestabilan serta kesinambungan dari segi arah tuju,” kata beliau.

Meskipun memegang peranan Pengerusi Eksekutif buat masa ini, Encik Chan menegaskan bahawa keadaannya bersifat sementara.

Beliau merancang untuk melepaskan tugas eksekutifnya dalam tempoh “dua atau tiga tahun” akan datang, atau selewat-lewatnya sebelum 2030.

Hasrat beliau adalah untuk mengembalikan struktur kepimpinan SPH Media kepada model tradisional, iaitu pemisahan antara Pengerusi Bukan Eksekutif dan CEO.

“Terdapat kelebihan apabila mempunyai seorang pengerusi yang bukan eksekutif.

“Dengan itu, anda mempunyai tahap – saya tidak katakan sebaliknya akan wujud konflik kepentingan – tetapi anda mempunyai pemisahan dari segi bahagian tadbir urus berbanding peranan eksekutif,” kata beliau.

Beliau menambah bahawa pendekatan kepimpinan kolektif yang diamalkan di dalam Jawatankuasa Eksekutif (Exco) SPH Media ketika ini memastikan setiap keputusan utama dibuat secara bersama, sekali gus menjamin kestabilan organisasi walaupun berlaku perubahan kepimpinan pada masa hadapan.

KEKAL RELEVAN SEBAGAI MEDIA TERPERCAYA

Dalam era di mana maklumat palsu dan “fakta alternatif” semakin berleluasa akibat perkembangan media sosial dan AI, Encik Chan percaya bahawa peranan SPH Media sebagai sumber berita yang berwibawa dan dipercayai adalah lebih penting daripada sebelumnya.

“Peranan kita adalah untuk memaklumkan dan membentuk sebuah masyarakat yang bermaklumat. Kita cuba menyatukan masyarakat dan berusaha untuk meredakan jurang polarisasi yang kita lihat berlaku di luar negara dengan menjadi sumber berita dan maklumat yang berwibawa serta dipercayai.

“Masyarakat mungkin tidak bersetuju tentang kesimpulan yang dibuat, tetapi sekurang-kurangnya apabila mereka membuat kesimpulan, ia sepatutnya berpandukan sumber yang berasaskan fakta dan boleh dipercayai,” kata beliau.

Strategi SPH Media seperti pendekatan ‘multi-X’ – iaitu kepelbagaian format, saluran, platform, nada dan bahasa – telah membuahkan hasil yang baik, kata Encik Chan.

Dapatan Kajian Landskap Media dan Audiens Singapura yang diterbitkan pada Disember 2025 menunjukkan bahawa hampir sembilan daripada 10 rakyat Singapura membaca dan menonton kandungan yang dihasilkan SPH Media setiap minggu.

Secara berasingan, satu kajian Institut Reuters pada 2026 menunjukkan kadar kepercayaan masyarakat terhadap penerbitan SPH Media berada di paras yang tinggi, dengan The Straits Times merupakan antara jenama berita paling dipercayai di Singapura pada kadar 77 peratus.

Selain ST, penerbitan lain di bawah SPH Media termasuk Lianhe Zaobao (ZB), The Business Times (BT), Berita Harian (BH) dan Tamil Murasu (TM) – setiap daripadanya bukan sekadar memiliki platform akhbar cetak, laman web dan aplikasi, namun juga saluran masing-masing di media sosial.

Secara kolektif, Encik Chan berkata SPH Media meraih lebih 300 juta paparan halaman setiap bulan di platform yang dimiliki dan dikendalikannya seperti laman web, aplikasi dan akhbar digital. Sementara itu, purata paparan dan tontonan video di media sosial pula mencecah 1.2 bilion sebulan.

SPH Media kekal komited untuk menyediakan sumber dan membangunkan semua penerbitan bahasa rasmi, termasuk akhbar vernakular seperti BH, tambah beliau.

“Kita mahu terus berkembang dan melalui transformasi. Hasrat kita adalah untuk kekal memberi impak dan mudah diakses.

“Kita pergi ke mana-mana sahaja audiens utama kita berada. Kita berharap mereka akan datang ke platform kita, tetapi kita sendiri yang akan pergi mendapatkan mereka dan cuba menarik mereka menggunakan platform kita.

“Kita mahu kekal relevan kepada seluruh rakyat Singapura, dan bukan untuk kumpulan tertentu sahaja,” kata Encik Chan.