Topik diikuti
Pergi ke BHkuSPH Media kekal komited sedia sumber sokong akhbar bahasa ibunda
Lihat potensi besar bagi penerbitan akhbar vernakular luas jangkauan di peringkat serantau, antarabangsa
SPH Media kekal komited sedia sumber sokong akhbar bahasa ibunda
SPH Media kekal komited untuk menyediakan sumber dan membangunkan semua penerbitan bahasa rasmi, termasuk akhbar vernakular seperti Berita Harian (BH).
Pengerusi Eksekutif SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, berkata bahawa peranan akhbar bahasa ibunda sentiasa penting dalam landskap media tempatan.
“Saya ingin menggelar diri kita sebagai syarikat berita nasional – ‘Singapura’, ‘Nasional’ – kita tidak boleh lari daripada masyarakat kita, bukan?
“Ya, bahasa Inggeris mungkin merupakan bahasa kerja kita, tetapi jika anda lihat Perlembagaan, kita mempunyai empat bahasa rasmi,” kata beliau.
“Selagi kita sebuah syarikat nasional, saya tidak melihat adanya hari yang kita tidak akan memperuntukkan sumber kepada penerbitan bahasa ibunda kita,” katanya semasa sesi wawancara bersama wartawan SPH Media.
Beliau menambah, berdasarkan hampir kesemua ukuran metrik, penerbitan bahasa ibunda sebenarnya mendapat lebih banyak sumber mengikut kadarnya, dan selagi ada ruang serta keupayaan untuk meningkatkan sokongan, “kami akan berusaha untuk berbuat demikian”, ujar Encik Chan.
Pada 1 Oktober, Encik Chan diumumkan sebagai Pengerusi Eksekutif SPH Media, mengambil alih daripada Encik Khaw Boon Wan, yang bersara selepas lima tahun menerajui dan memimpin transformasi syarikat media tersebut.
Dengan itu, Encik Chan sekali gus menggalas peranan kepimpinan yang lebih luas yang menggabungkan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebelum ini.
Menyentuh tentang cabaran dan perubahan tabiat pembaca, Encik Chan menekankan bahawa penerbitan bahasa ibunda perlu terus menyesuaikan format serta platform masing-masing seiring evolusi trend dan pilihan serta tabiat pengguna tempatan.
Langkah itu penting bagi memastikan kandungan berita kekal relevan dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Adakah audiens mula beralih platform? Jika ya, adakah kita juga perlu beralih platform?
“Begitu juga, jika audiens yang kita ada… mula memilih berita yang lebih serius atau kurang serius, maka adalah menjadi tanggungjawab kita juga untuk melihat bagaimana kita boleh menyesuaikan (keadaan) mengikut kecenderungan mereka dan sebagainya,” kata beliau.
“Oleh itu, apa yang saya ingin galakkan akhbar bahasa ibunda kita lakukan adalah untuk melihat kepada audiens dan lihat di manakah anda fikir kita dapat mengekalkan kerelevanannya,” tambah beliau.
Pada masa yang sama, Encik Chan berkata beliau turut melihat potensi besar bagi penerbitan bahasa ibunda untuk meluaskan jangkauan di peringkat serantau dan malah, antarabangsa.
Menurut beliau, Berita Harian sudah pun memperolehi kadar pembacaan yang agak baik di negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia, meskipun tanpa sebarang usaha pemasaran di sana.
Walaupun beberapa penerbitan di bawah naungan SPH Media mempunyai keupayaan berkembang ke peringkat serantau dan sejagat, Encik Chan berkata pasaran domestik tetap menjadi keutamaan sebelum langkah tersebut diambil.
“Sebaik sahaja kita memperkukuh dan memantapkan kedudukan domestik kita, ia merupakan sesuatu yang ingin saya lihat,” jelas Encik Chan.