Pembayar cukai diingatkan agar tidak membuat tuntutan palsu, tidak tepat atau tanpa bukti bagi perbelanjaan berkaitan pekerjaan, seperti kos makanan peribadi, bil telefon peribadi dan tambang pengangkutan awam bagi perjalanan antara rumah dengan tempat kerja, kata Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras).

Dalam kenyataan pada 21 Oktober, Iras berkata ia sedia maklum tentang penyebaran maklumat mengelirukan yang menggalak pembayar cukai membuat tuntutan palsu bagi perbelanjaan pekerjaan yang sebenarnya tidak ditanggung, atau tuntutan tidak tepat bagi perbelanjaan yang tidak layak mendapat potongan cukai.

“Pembayar cukai dinasihatkan supaya tidak bergantung pada maklumat sedemikian dan memastikan setiap tuntutan yang dikemukakan dalam borang nyata cukai mereka adalah sah, tepat serta disokong dengan bukti yang sewajarnya.

“Iras juga mungkin meminta pembayar cukai mengemukakan rekod bagi menyokong tuntutan mereka,” tambahnya.

Iras menyatakan bahawa menerusi semakan pematuhan yang sedang dijalankan, pihaknya telah mengenal pasti lebih 3,000 pembayar cukai setakat ini yang membuat tuntutan perbelanjaan pekerjaan, serupa dengan tuntutan yang dicadangkan dalam mesej yang sedang tersebar.

Menurutnya, pembayar cukai yang tuntutannya memerlukan semakan lanjut telah atau akan dihubungi Iras bagi mengesahkan ketepatan tuntutan mereka serta mengemukakan dokumen sokongan.

“Tuntutan yang tidak disokong dengan bukti akan ditolak. Mereka yang sengaja membuat tuntutan palsu boleh dikenakan penalti dan tindakan penguatkuasaan,” kata Iras, sambil menambah bahawa pembayar cukai yang mengemukakan tuntutan sah, tepat dan boleh disahkan tidak perlu bimbang.

Antara contoh perbelanjaan pekerjaan yang tidak layak mendapat potongan cukai, menurut Iras, termasuk kos makanan peribadi, sewa rumah, yuran langganan, bil telefon atau Internet, serta tambang pengangkutan awam bagi perjalanan antara rumah dengan tempat kerja.

Pembayar cukai turut diingatkan supaya menyimpan dokumen sokongan yang berkaitan, seperti resit dan invois, bagi membuktikan kesahihan tuntutan mereka serta mengemukakannya apabila diminta oleh Iras.

“Pembayar cukai bertanggungjawab memastikan pengisytiharan cukai mereka adalah tepat. Iras memandang serius tuntutan palsu, tidak tepat dan tidak disokong dengan bukti.

“Bagi tuntutan sedemikian, pembayar cukai boleh dikenakan cukai tambahan serta penalti sehingga tiga kali ganda jumlah cukai yang terkurang dibayar.

“Individu yang didakwa di mahkamah juga boleh dikenakan denda tidak melebihi $10,000 atau hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” kata Iras.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti