Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) mengutip hasil cukai sebanyak $97.3 bilion bagi tahun kewangan 2025/2026, kenaikan sebanyak 9.4 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya (2024/2025), didorong aktiviti ekonomi dan perbelanjaan pengguna yang lebih kukuh.

Ia juga merupakan kutipan cukai tertinggi yang pernah dicatatkan, menurut data Iras sejak 2002.

Jumlah tersebut merangkumi 74.8 peratus daripada hasil pendapatan pemerintah, bersamaan dengan 12.3 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara.

Cukai pendapatan korporat kekal sebagai sumber hasil cukai terbesar, meningkat kepada $34.4 bilion berbanding $30.9 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, sekali gus merangkumi 35.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan.

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan penyumbang kedua terbesar pada 22.3 peratus. Sumbangan GST sebanyak $21.7 bilion berbanding $20 bilion sebelum ini mencerminkan perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi.

Kutipan cukai pendapatan individu pula meningkat kepada $20.9 bilion berbanding $19.1 bilion, menyumbang 21.5 peratus daripada keseluruhan hasil cukai.

Cukai hartanah menyumbang $6.9 bilion, manakala cukai setem menyumbang $7.3 bilion.

Sementara itu, cukai perjudian menyumbang $3.6 bilion kepada keseluruhan hasil cukai, manakala cukai pegangan menyumbang $2.5 bilion.

Iras juga memproses hampir $1.2 bilion geran dan pembayaran kepada kira-kira 126,200 perniagaan sepanjang tahun itu, menerusi pelbagai skim sokongan seperti Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS), Kredit Pekerjaan Warga Emas (SEC) dan Imbangan Peralihan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Menurut Iras, kadar pematuhan pembayaran cukai kekal kukuh, dengan tunggakan bagi cukai pendapatan, GST dan cukai hartanah berada pada kadar 0.64 peratus daripada jumlah bersih cukai yang ditaksir – rendah sedikit berbanding 0.66 peratus sebelum ini.

Penguasa cukai berkenaan juga telah mengaudit dan menyiasat 8,560 kes melibatkan pembayar cukai yang mengelak pembayaran cukai secara sengaja, dan meraih semula kira-kira $589 juta dalam bentuk cukai dan denda.

Mulai April 2028, semua perniagaan berdaftar GST secara berperingkat diwajibkan menyertai rangkaian InvoiceNow dan menghantar data invois secara langsung kepada Iras, dengan pelaksanaannya dilakukan secara bertahap sehingga April 2031.

Iras juga terus mempergiat usaha untuk menjadikan perkhidmatan digital sebagai pilihan utama.

Pembayaran elektronik mencapai kadar penggunaan sebanyak 99.8 peratus, manakala pembayaran balik wang secara elektronik berada pada kadar 99.7 peratus dan permohonan eGIRO mencatat kadar 96.6 peratus.