Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ISD: Ancaman pengganasan di S’pura kekal tinggi, didorong konflik seperti Israel-Palestin

Jul 29, 2025 | 5:21 PM
ISD, ancaman pengganasan, S’pura, konflik Israel-Palestin
Singapura terus dilihat sebagai ‘sasaran menarik’ oleh para pengganas kerana hubungannya yang baik dengan negara Barat dan Israel, serta statusnya sebagai negara sekular dan berbilang budaya. - Foto fail

Landskap dunia yang tidak menentu akibat pergolakan seperti konflik berterusan Israel-Palestin, terus mendorong ancaman pengganasan yang tinggi di Singapura, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Dalam laporan tahunannya mengenai pengganasan yang dikeluarkan pada 29 Julai, ISD berkata kumpulan pengganas telah mengeksploitasi situasi penindasan seperti di Gaza untuk menyebarkan propaganda mereka dan mengukuhkan naratif pengganasan.

ISD berkata kumpulan pengganas ISIS dan Al-Qaeda telah menghasut pengikutnya supaya melakukan serangan terhadap kepentingan Israel dan Yahudi, serta negara-negara yang dilihat menyokong Israel.

Ini selari dengan peningkatan kejadian diskriminasi terhadap orang Yahudi dan Islam di seluruh dunia, tambahnya.

ISD berkata buat masa ini, tiada maklumat perisikan khusus mengenai serangan pengganas yang bakal berlaku di Singapura.

Singapura terus dilihat sebagai ‘sasaran menarik’ oleh para pengganas kerana hubungannya yang baik dengan negara Barat dan Israel, serta statusnya sebagai negara sekular dan berbilang budaya.

Sejak laporan terakhirnya pada Julai 2024, ISD telah menangani lapan warga Singapura – enam lelaki dan dua wanita berumur antara 15 dengan 56 tahun – yang menjadi radikal sendiri.

Empat daripada mereka terpengaruh dengan peningkatan ketegangan konflik Israel-Palestin pada Oktober 2023. 

Dua individu lain pula terpengaruh oleh ideologi ekstremis pro-ISIS, manakala dua lagi dipengaruhi oleh fahaman pelampau sayap kanan yang ganas, lapor The Straits Times (ST).

ISD menambah bahawa fahaman pelampau sayap kanan semakin berkembang di Singapura, terutama dalam kalangan belia.

Ia merupakan kepercayaan radikal, yang antaranya, menekankan nasionalisme berlebihan, dan diskriminasi terhadap kelompok minoriti.

Sejak 2020, terdapat empat belia yang telah ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana berpegang pada ideologi tersebut.

ISD menyatakan kebimbangan terhadap pelbagai platform dalam talian yang semakin banyak digunakan dalam kes-kes belia menjadi radikal sendiri.

Radikalisasi sendiri kekal sebagai ancaman utama pengganasan dalam negara, dengan 60 individu – 48 daripadanya warga Singapura – telah dikenakan perintah ISA sejak 2015.

Bagi menangani ekstremisme, Singapura mengamalkan pendekatan menyeluruh, melibatkan seluruh masyarakat dengan menggabungkan langkah pencegahan seperti khidmat masyarakat bersama program pemulihan dan penyepaduan semula.

ISD bekerjasama dengan agensi pemerintah, rakan akar umbi serta masyarakat untuk menjalankan program mendekati pelbagai lapisan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ancaman pengganasan dan radikalisasi dalam talian.

ISD menekankan kepentingan mengenal pasti tanda-tanda radikalisasi serta keperluan untuk melaporkan individu yang berisiko dengan segera.

Antara tanda-tanda tersebut termasuk menyokong kumpulan pengganas dalam talian, kerap melayari laman web radikal, dan membuat kenyataan yang menggalakkan permusuhan atau kebencian terhadap kaum, agama atau masyarakat lain.

ISD berkata usaha membanteras pengganasan adalah tanggungjawab semua, serta “setiap tindakan, setiap laporan dan setiap daya usaha” membawa Singapura selangkah lebih dekat ke arah sebuah negara yang lebih selamat dan bersatu.

Orang ramai digalakkan menyertai gerakan SGSecure dan mempelajari cara mengenal pasti tingkah laku mencurigakan serta tanda-tanda radikalisasi, selain mengetahui langkah yang perlu diambil jika terlibat dalam serangan pengganas.

Mereka yang mengetahui atau mengesyaki seseorang telah menjadi radikal boleh menghubungi talian ISD di 1800-2626-473 atau menghantar e-mel kepada isd@mha.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg