Ekstremisme sayap kanan adalah kejadian yang sangat jarang berlaku di Singapura, tetapi terdapat trend sejagat di mana orang bukan kulit putih semakin dipengaruhi oleh gerakan sedemikian.
Dengan perkembangan teknologi dan media sosial, adalah menjadi lebih penting untuk keluarga, ibu bapa dan rakan memainkan peranan dalam menyekat ideologi ekstremis daripada mempengaruhi generasi muda, menurut beberapa pengamat yang ditinjau.
Malah, pengamat berpendapat bahawa ibu bapa adalah barisan pertama pertahanan terhadap radikalisasi dan lebih banyak perlu dilakukan dalam menangani masalah itu dari sudut seperti pendidikan dan kecelikan digital.
Profesor Pengajian Keselamatan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Professor Rohan Gunaratna, menjelaskan bahawa ideologi sayap kanan muncul dan mula tersebar secara dalam talian ke Asia sebagai reaksi terhadap demokrasi liberal Barat.
“Pelampau sayap kanan menyokong keganasan sebagai satu cara untuk menjaga kesucian etnik dan untuk mencapai matlamat politik.
“Walaupun penyokong sayap kanan secara umum berkulit putih, semakin ramai orang bukan kulit putih turut menyokong retorik yang memperjuangkan ketuanan etnik, xenofobia, perkauman, ultra-nasionalisme, Islamofobia dan sentimen antiimigresen.
“Terdapat trend sejagat di mana orang bukan kulit putih dipengaruhi oleh gerakan ketuanan kulit putih,” ujarnya.
Bagaimanapun, Profesor Rohan berkata risiko radikalisasi ideologi sayap kanan di Singapura adalah rendah kerana “semangat Singapura menekankan kesederhanaan, toleransi dan kewujudan bersama”.
Beliau berkongsi pandangannya setelah seorang remaja Cina warga Singapura dikenakan Arahan Penahanan (DO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas menjadi radikal secara sendiri.
Dalam satu kenyataan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 10 Februari, Nick Lee Xing Qiu, 18 tahun, dikenakan DO pada Disember 2024 setelah remaja lelaki itu didapati menjadi radikal oleh ideologi ekstremis ganas sayap kanan dan ingin melakukan serangan terhadap masyarakat Melayu/Islam di Singapura.
Profesor Rohan akur pemerintah Singapura dan rakan kongsi masyarakat sudah banyak berusaha mendekati golongan belia dan kanak-kanak dalam membina perpaduan sosial.
Namun, lebih banyak boleh dilakukan oleh keluarga, rakan-rakan dan guru dalam memantau individu.
Dalam kes Nick Lee, dia mempunyai tatu Sonnenrad, yang sering dikaitkan dengan golongan sayap kanan dan mempromosikan ideologi berteraskan ketuanan kulit putih.
Dia juga membeli kemeja-T dengan simbol yang dikaitkan dengan neo-Nazi, pelampau kulit putih serta kumpulan sayap kanan lain.
“Ini semua adalah tanda-tanda radikalisasi – ia adalah petunjuk dan tanda sebelum serangan.
“Jika kita berwaspada, warga Singapura yang menjadi radikal terhadap idea, ideologi, retorik dan kegiatan sayap kanan dapat dikesan,” kata Profesor Rohan.
Felow Kanan dalam Pengajian dalam Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP), RSIS, NTU, yang juga Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, pula berpendapat keluarga dan ibu bapa memainkan peranan sangat penting dalam mengekang fahaman radikal daripada mempengaruhi minda orang muda.
Bahkan, beliau berkata institusi keluarga berada di “barisan pertahanan pertama menentang radikalisasi”.
“Radikalisasi selalunya berlaku di rumah... seseorang anak muda itu hanya perlu duduk di hadapan komputer sahaja.
“Ibu bapa dan penjaga – mereka mempunyai peranan amat penting dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka dan jika mereka mendapati anak itu berada di ambang radikalisasi, mereka mesti campur tangan dari awal agar anak itu tidak dapat dipengaruhi idea-idea merosakkan dengan lebih mendalam,” ujar Dr Mohamed.
Beliau menambah ibu bapa mesti tahu dan fahami tanda-tanda radikalisasi dan mempunyai keberanian untuk campur tangan.
“Jika mereka mendapati anak mereka sudah melungsuri laman yang salah, mereka mesti hentikan perbuatan itu, nasihatkan mereka.
“Jika mereka tidak dapat dinasihati, mereka mesti mendapatkan bantuan daripada asatizah misalnya.
“Atau jika kes itu lebih serius, ibu bapa mesti berani melaporkannya kepada pihak berkuasa,” tegas Dr Mohamed.
Namun, ramai ibu bapa yang tidak mempunyai alat atau pengetahuan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal radikalisasi, kata Profesor Rohan.
Oleh itu, kempen pendidikan awam yang ditujukan kepada ibu bapa boleh membantu mengisi jurang ini.
Beliau menambah keluarga boleh mempunyai “protokol Internet” masing-masing dan memastikan semua kegiatan dalam talian boleh dilihat. Ibu bapa juga boleh membincangkan isu-isu dunia dengan anak-anak mereka.
“Sekolah perlu mencipta kurikulum yang mengajar literasi digital dan kemahiran berfikir secara kritikal.
“Program sedemikian berguna dalam membantu pelajar mengenal pasti algoritma manipulatif... dan bias pengesahan dalam media sosial.
“Kaunselor yang dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda awal radikalisasi harus disediakan di institusi pendidikan.
“Sistem pemantauan rakan sebaya juga boleh dilaksanakan untuk mengetengahkan secara senyap tentang tingkah laku yang mencurigakan,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg