Singapura harus terus menyokong rakyat Palestin dalam usaha mereka untuk mempunyai negara sendiri, tetapi tidak seharusnya menggunakan sebarang bentuk keganasan atau ekstremisme, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Bercakap dalam satu acara tertutup pada 16 Julai anjuran badan kemanusiaan, Humanity Matters, di Gereja Apostolik Armenia di Hill Street, Encik Zaqy berkata beliau turut simpati bersama ramai rakyat Singapura terhadap krisis kemanusiaan dan penderitaan rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik di Gaza.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran rakyat Singapura tidak seharusnya tertarik untuk menyokong keganasan bersenjata, mempunyai pandangan ekstremis, atau cuba mencederakan orang lain dalam proses melakukan pengganasan.
“Ramai di antara kita berasa simpati dengan perjuangan rakyat Palestin apabila kita mendapat berita dan melihat video di media sosial setiap hari.
“Tetapi terdapat perbezaan yang ketara antara bersimpati dengan menyokong usaha mereka, berbanding dengan menyokong keganasan bersenjata, mempunyai pandangan ekstremis, atau mencederakan orang lain dalam proses melakukan pengganasan.
“Kita harus terus menyokong rakyat Palestin, dalam usaha mereka untuk mempunyai negara sendiri, sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara.
“Tetapi kita tidak boleh menggunakan kekerasan. Kita mesti mengecam dan menolak keganasan dalam apa jua bentuk,” kata Encik Zaqy.
Encik Zaqy berkata demikian sebagai respons kepada laporan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 15 Julai yang telah mengeluarkan Arahan Sekatan (RO) ke atas dua warga Singapura yang telah menjadi radikal sendiri.
Seorang daripada mereka, pelajar lelaki berusia 14 tahun, telah mempertimbangkan untuk melalukan serangan di Singapura setelah menjadi radikal sendiri dalam talian berikutan konflik Israel-Hamas yang berterusan.
Seorang lagi wanita, bekas penjawat awam, berusia 33 tahun, dikenakan RO kerana telah mempromosikan keganasan terhadap warga Israel dan Yahudi, dan merupakan penyokong tegar pelbagai pertubuhan pelampau dan pengganas.
Encik Zaqy menambah wadah digital telah membolehkan akses mudah untuk bahan pelampau dan mempercepat proses radikalisasi, terutamanya dalam kalangan belia yang mudah terpengaruh dan terdedah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dalam zaman media sosial dan kecerdasan buatan ini, apa yang berlaku di tempat lain boleh memberi kesan kepada kita di sini di Singapura.
“Ia lebih daripada sekadar mesej dan pengaruh. Ia juga mengenai kelajuan maklumat menjadi tular, bagaimana algoritma mempengaruhi masyarakat dan segmen sasaran, dan ini memasuki ruang gema,” kata Encik Zaqy.
Encik Zaqy menambah bahawa sementara pemimpin dunia dan kedua-dua Israel dan Palestin terus berusaha ke arah keamanan di Gaza, Singapura harus terus menghulurkan belas kasihan dan mengumpulkan sumber untuk membantu meringankan kesakitan dan penderitaan rakyat Palestin.
Beliau memberikan contoh pelbagai bantuan kemanusiaan yang telah dihantar dari Singapura ke Gaza, termasuk operasi yang dijalankan oleh Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) pada Mac yang menggugurkan lebih 20 tan bekalan makanan kepada rakyat Palestin di Gaza.
“Saya amat terharu dengan sokongan ramai rakyat Singapura.
“Orang ramai datang dari semua lapisan masyarakat, bekerja dengan pelbagai badan untuk mengumpul dana bagi menyediakan bekalan makanan dan perubatan, yang digugurkan oleh RSAF di Gaza untuk mengurangkan krisis kemanusiaan,” kata Encik Zaqy.
Bagi menangani isu kepelbagaian pendapat dan pemahaman yang semakin ketara di Singapura, beliau menambah pendekatan Singapura tidak boleh hanya bersandarkan toleransi sahaja.
Malah, beliau berkata masyarakat juga harus menyediakan ruang untuk mendengar dan menerima kepelbagaian, dan menukar pendapat.
Untuk mencapai matlamat itu, beliau berkata masyarakat memerlukan keterbukaan, sumber dan usaha yang lebih besar untuk menangani kemajmukan masyarakat yang semakin meningkat dan memastikan kestabilan, keharmonian dan keselamatan Singapura.
“Kita berada dalam dunia yang berbahaya dan zaman bergolak, yang terdiri daripada konflik bersenjata, ketegangan geopolitik, maklumat salah, perubahan iklim dan bencana alam.
“Memandangkan tidak mungkin untuk kita memutuskan hubungan kita dengan dunia, kita mesti sentiasa dan sewajarnya mendidik, menyuntik dan melengkapkan diri dan masyarakat kita untuk menghadapi ancaman ini dengan lebih baik.
“Kewajipan ini bukan sahaja tanggungjawab pemerintah semata-mata, malah tugas yang memerlukan komitmen dan kerjasama seluruh masyarakat,” kata Encik Zaqy.
“
Ramai di antara kita berasa simpati dengan perjuangan rakyat Palestin apabila kita mendapat berita dan melihat video di media sosial setiap hari. Tetapi terdapat perbezaan yang ketara antara bersimpati dengan menyokong usaha mereka, berbanding dengan menyokong keganasan bersenjata, mempunyai pandangan ekstremis, atau mencederakan orang lain dalam proses melakukan pengganasan. Kita harus terus menyokong rakyat Palestin, dalam usaha mereka untuk mempunyai negara sendiri, sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara. Tetapi kita tidak boleh menggunakan kekerasan. Kita mesti mengecam dan menolak keganasan dalam apa jua bentuk.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg