Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ISD: Pengganas Indonesia rancang serang S’pura pada 2014 mungkin mahu serang lagi

Yudi Lukito Kurniawan ditangkap di Indonesia pada 21 Ogos; ISD sedang siasat, berhubung rapat dengan pihak berkuasa Jakarta
Sep 4, 2024 | 7:56 PM
Yudi Lukito Kurniawan ditangkap di Gorontalo, utara Sulawesi, pada 21 Ogos berhubung pelibatan dan peranannya pada masa ini dan masa lalu dalam rangkaian pengganas Indonesia.
Yudi Lukito Kurniawan ditangkap di Gorontalo, utara Sulawesi, pada 21 Ogos berhubung pelibatan dan peranannya pada masa ini dan masa lalu dalam rangkaian pengganas Indonesia. - Foto DETACHMENT 88

JAKARTA: Pihak berkuasa Singapura tidak menolak kemungkinan seorang suspek pengganas yang ditangkap pada 21 Ogos, yang dipercayai merancang serangan yang gagal sedekad lalu, mungkin sedang membuat persiapan untuk menyerang lagi apabila dia cuba memasuki negara ini setahun kemudian.

Siasatan sedang dijalankan dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menyatakan ia sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa di Indonesia mengenai penangkapannya.

Yudi Lukito Kurniawan, 51 tahun, ditahan di Gorontalo, di utara pulau Sulawesi, pada 21 Ogos berhubung pelibatan dan peranannya pada masa ini dan masa lalu dalam rangkaian pengganas Indonesia.

Menjawab pertanyaan media, ISD berkata ia sedar seorang warga Indonesia, yang dikenali dengan singkatan, ‘YLK’, dalam laporan media, ditangkap di Indonesia pada 21 Ogos bagi siasatan berkaitan pengganasan.

Dia juga disyaki bersekutu dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), dan dakwaan pelibatannya dalam rancangan serangan yang dikaitkan dengan AQAP yang menyasarkan bangunan Bursa Singapura (SGX) pada 2014, tambah ISD.

“ISD pertama kali menerima maklumat mengenai rancangan serangan terhadap SGX pada 2016 dan seterusnya mengenai dakwaan pelibatan YLK dalam rancangan itu, dan sedang menyelaras secara rapat dengan pihak berkuasa Indonesia dalam siasatan tersebut,” kata jabatan itu.

Menurut satu kenyataan yang diberikan kepada The Straits Times pada 3 September oleh skuad antipengganasan polis Indonesia, Detachment 88, Yudi berada bersama Al-Qaeda di Semenanjung Arab – cawangan Al-Qaeda di Yaman – ketika rancangan menyasar Pusat SGX di Shenton Way, dimulakan.

Menurut ISD, ia mengetahui mengenai YLK sejak awal 2000-an kerana kegiatan berkaitan pengganasan.

Sebagai anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) di Indonesia, YLK mengikuti latihan militan di Mindanao di Filipina dari akhir 1990-an hingga awal 2000-an.

Dia ditangkap dan dipenjara di Indonesia kerana memiliki senjata api secara haram, sebelum dibebaskan.

Disebabkan kegiatan pengganasan berkaitan JI, ISD meletakkan YLK dalam senarai pemantauan bagi pelawat yang tiba di Singapura, sebagai sebahagian langkah keselamatan sempadannya.

ISD mengesahkan YLK tidak dibenarkan masuk ketika cuba melawat Singapura pada Februari 2015, dan dihantar pulang ke Batam.

“ISD tidak menolak kemungkinan percubaan YLK melawat Singapura ialah bagi tujuan peninjauan untuk meneruskan rancangan serangan terhadap SGX.

“Siasatan masih diteruskan, dan kami berhubung rapat dengan pihak berkuasa di Indonesia berkaitan penangkapan ini baru-baru ini,” kata ISD.

Laporan media sebelum ini menyatakan Yudi telah berkahwin semula dan sering berpindah-randah untuk mengelak diri daripada dikesan.

Satu sumber menyatakan rancangan menyerang Singapura pada 2015 berupa serangan tidak langsung ke atas Amerika Syarikat, memandangkan negara ini dianggap sebagai sekutu Amerika.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg