Malam ini, saya gembira berucap kepada anda dalam bahasa Melayu di Rapat Hari Kebangsaan saya yang pertama ini.
Semasa saya kecil ibu bapa saya ada berbual sesama mereka dalam bahasa Melayu.
Bapa saya orang Ipoh dan ibu saya dari Kampong Amber di sini.
Jadi, saya tahu serba sedikit bahasa Melayu.
Bagi saya, saya tidak berpeluang belajar bahasa Melayu dengan mendalam.
Tetapi sekarang, saya sedang tekun belajar. Saya harap bahasa Melayu saya akan bertambah baik. Atas sokongan anda semua, terima kasih!
Dekad demi dekad, saya melihat kemajuan ketara yang dicapai oleh masyarakat Melayu seiring dengan kemajuan Singapura.
Kadang-kadang, saya bertemu kawan-kawan Melayu saya dari sekolah yang sama, Haig Boys dan TK Tech (Sekolah Teknikal Tanjong Katong).
Mereka berjaya dan anak-anak mereka pula sudah pun dewasa.
Kini dalam kalangan masyarakat Melayu yang lebih muda pula saya melihat ramai yang lebih berpendidikan dan berjaya dalam bidang masing-masing.
Saya lebih-lebih gembira kerana mereka bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya mereka.
Tetapi juga aktif berbakti kepada masyarakat dengan menyertai M3 dan badan-badan Melayu/Islam yang lain.
Saya suka sekali meluangkan masa mendampingi belia dan pemimpin Melayu.
Baru-baru ini, saya makan tengah hari bersama mereka, mendengar aspirasi dan harapan mereka untuk masa hadapan.
Dalam kalangan mereka, ada yang meneroka peluang perniagaan yang menarik seperti Hafiz Kasman.
Hafiz ialah pengasas bersama sebuah syarikat pemula teknologi pendidikan yang berjaya menembusi pasaran Indonesia.
Seorang lagi ialah Dr Muhammad Nadjad – saintis di sebuah syarikat bioteknologi yang membangunkan kit ujian Covid pertama di Singapura. Dr Nadjad bakal membantu syarikatnya berkembang di Arab Saudi.
Kita tahu kejayaan ada banyak definisi dan kita meraikan kesemuanya. Saya sebagai peminat muzik, tertarik dengan kisah Nabillah Jalal.
Nabillah ialah anak Melayu Singapura pertama belajar di Royal College of Music, London. Kini, Nabillah membuka sebuah sekolah muzik dan menyediakan pendidikan seni kepada belia kurang bernasib baik.
Sebut tentang pemimpin wanita, saya juga mahu ketengahkan Guy Ghazali, Presiden Kanan wanita Mahkamah Syariah yang pertama.
Kecemerlangan profesional serta usaha-usaha masyarakat yang beliau terajui membawa kesan kepada bidang perundangan.
Ini membuka jalan bagi pemimpin wanita generasi masa depan.
Mereka semua suri teladan kepada masyarakat Melayu/Islam dan juga Singapura.
Kita bangga dengan pencapaian cemerlang anak-anak muda ini. Syabas!
Kita telah capai kemajuan hasil kerjasama dan kepercayaan yang sudah lama terjalin antara masyarakat Melayu dan masyarakat lain serta para pemimpin negara.
Saban tahun, para pemimpin Melayu/Islam bekerja rapat dengan semua Perdana Menteri kita – Encik Lee Kuan Yew, Encik Goh Chok Tong dan Encik Lee Hsien Loong dalam pelbagai isu.
Ini termasuk meningkatkan pencapaian pendidikan, membanteras fahaman radikal dan pengganasan, serta usaha memperbaik kehidupan golongan yang memerlukan.
Kita telah menangani isu-isu ini dengan telus dan berani.
Setiap kali, masyarakat Melayu/Islam kita berganding bahu dengan penuh azam, dipacu semangat gotong-royong yang padu.
Setiap kali itu juga, anda menjaga antara satu sama lain dan sama-sama meraikan kejayaan anda.
Projek terbaru ialah Kolej Pengajian Islam Singapura. Ia akan melahirkan para pemimpin Islam Singapura masa depan.
Saya akan umumkan butirannya kelak.
Saudara, saudari, sebagai Perdana Menteri, saya komited untuk meneruskan kerjasama yang kukuh ini.
Saya hargai semua maklum balas dan pandangan anda.
Saya akan bekerja rapat dengan anda untuk tangani isu-isu yang dekat di hati anda.
Saya akan pastikan semua anggota masyarakat Melayu/Islam meraih manfaat daripada kemajuan negara kita dan mampu mainkan peranan anda sepenuhnya demi membentuk masa depan kita.
Saya juga akan sokong anda dalam usaha membina sebuah masyarakat Melayu/Islam yang moden lagi progresif.
Tetapi masih mengekalkan adat resam dan cara hidup anda yang tersendiri.
Saya akan terus dampingi anda dan pastikan masyarakat Melayu/Islam maju ke hadapan.
Bersama-sama para Menteri, AP dan pemimpin Melayu/Islam kita saya akan bekerjasama dengan anda demi mencapai visi kita, visi Masyarakat Gemilang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg